Wednesday 29 July 2009

Tradisi Kerja Lepas Subuh.


Pagi tadi selepas Subuh, saya sempat menyelesaikan dua tulisan untuk majalah Anis. Terasa idea meluncur laju tanpa tersekat-sekat. Lepas Subuh memang “prime time” untuk menulis. Fikiran, emosi dan hati masih tidak tercela oleh kesebukan, godaan dan kelalaian. Sejak puluhan tahun tradisi ini saya kekalkan. Walaupun sudah sebati, kadangkala terganggu juga. Ada masanya saya menulis waktu malam atau petang. Namun saya sering diperingatkan oleh rasa “tersekat-sekat”, berat dan perlahan. Kurang menjadi.

Malam semalam, fikiran masih ligat berfikir – betapa banyak “kesayangan-kesayangan” kita menjadi halangan dalam kehidupan. Akhirnya, saya tumpahkan segalanya dalam tulisan bertajuk Kill Your Darling. Begitu juga kelohan-kelohan hati sepanjang sambutan majlis Maulid Nabi tahun-tahun yang lalu. Saya pernah menjadi penceramah, ahli panel, pengacara dalam acara rasmi dan tidak rasmi – hati saya merintih kenapa program-program sedemikian belum benar-benar “landing” dalam hati masyarakat.

Al hasil, Maulud tinggal hanya soal basa-basi, jamuan dan laungan selawat… yang itu-itu juga. Tidak ke mana. Sekadar mengulang-ulang apa yang akhirnya menjadi tradisi dan terlalu bermusim sifatnya. Semua itu kemudiannya saya luahkan dalam tulisan – Sunyi Sekeping hati di kemeriahan Maulid Nabi, juga untuk majalah Anis.

Minggu lalu, saya masih asyik menulis buku dan menghabiskan kerja menghasilkan, menyemak dan menambah baik artikel-artikel dalam majalah SOLUSI edisi ke 4. Berbincang dengan Dr Sidek Baba tentang Jihad Ilmu – melayani impian, harapan dan visinya tentang tarbiah dan perjuangan. Ambil kesempatan berguru dengan keghairahan dan pengalamannya. Alhamdulillah, prinsip yang cuba dipraktikkan dalam hidup – what you see is what you get - ternyata memberi kebaikan. Ertinya, kita mesti melihat sisi positif pada setiap individu, situasi dan kondisi yang kita hadapi… barulah kita akan mendapat sesuatu yang positif juga. Bagaimana kita hendak mendapat yang positif, kalau yang kita lihat negatif? Kalau begitu yang kita praktikan, insya-Allah kita boleh belajar daripada sesiapa sahaja dan apa sahaja.

Sering juga saya peringatkan diri sendiri, jadilah orang yang rendah diri, kerana orang yang merendah diri boleh belajar bukan sahaja daripada orang yang baik dan bijak, malah daripada orang yang jahat dan dungu juga. Fira’un yang jahat mengajar kita tentang keyakinannya terhadap kehidupan selepas mati dan persediaan menghadapinya. Piramid adalah lambang komitmen Fir’aun tentang itu. Manakala mengenai ‘guru’ yang dungu pula Luqman Al Hakim pernah berkata, aku mengutip hikmah daripada orang yang bodoh… di mana kesalahannya, tidak akan aku lakukan!

Pagi tadi juga, saya menerima SMS daripada sahabat karib Zakaria Sungip, yang kini walaupun berlainan “bahtera” tetap mempunyai kesatuan hala. Dia tertarik dengan kaedah “melapangkan masa vs menunggu masa lapang” – satu kaedah yang “biasa-biasa” sahaja dalam mengharungi kesebokan tugasan dan tanggung-jawab. Itu yang saya belajar dalam usaha untuk terus belajar walaupun di tengah kesebokan “mengajar”. Lapangkanlah masa ditengah kesebokan memandu (apalagi ketika menghadapi kesesakan lalu-lintas) untuk belajar melalui kaset dan CD. Gunakan waktu senggang menunggu di bank atau di klinik dengan membaca buku.

Luahkan apa yang kita dapat, baca dan lihat kepada anak-anak, isteri dan sahabat. Belajar setiap masa. Atau jadilah “telinga’ (pendengar) yang baik dalam setiap komunikasi dan interaksi. Jangan cepat menyampuk dan bercakap. Diam, adalah satu kaedah belajar yang berkesan juga.

Namun, segala-galanya mesti bermula dengan muqaddimah yang baik. Lepas Subuh, waktu yang paling berkat untuk memulakan tugasan, pemikiran dan tindakan sesama insan seperti dinihari adalah waktu yang paling optimum berhubung dengan Tuhan. Menurut pakar psikologi, masa sepuluh minit selepas bangun tidur adalah waktu yang paling kritikal menentukan keceriaan dan kecemerlangan pada hari tersebut. Menurut mereka, jangan dicemari pembukaan hari dengan rasa-rasa yang negatif, kata-kata yang buruk, raut wajah yang masam. Nanti kesannya akan berpanjangan sepanjang hari.

Menjadi seorang muslim, kita tidak akan menghadapi pembukaan hari dengan yang negatif. Bayangkan sebaik bangun tidur, kita terus membaca doa. Terus membersihkan diri, berwuduk dan mendirikan solat. Mata kita merenung tempat sujud. Mulut kita membaca ayat Quran dan selawat. Hati dan perasaan kita terfokus kepada kepada Allah – zat yang Maha Suci, Baik, Penyayang, Pemurah dan lain-lain sifat kesempurnaan-Nya. Jadi apa yang dikatakan oleh pakar psikologi itu akan tercapai secara automatik bila kita atur kehidupan secara Islamik.

Baik, isterehat dulu ya. Nanti kita ketemu lagi. Insya-Allah.


Ketupat emak


Memberi lebih menggembirakan daripada menerima. Begitu yang selalu ditegaskan oleh pakar-pakar motivasi. Dalam Islam, kita memang digalakkan memberi berbanding menerima. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah, begitu maksud hadis. Tapi itu teorinya sahaja, dalam praktiknya payah hendak dirasakan memberi itu lebih menggembirakan, lebih baik. Memberi ertinya mengurangkan milik kita, bagaimana itu boleh menggembirakan?

Semua persoalan itu terjawab dari segi ‘rasanya pada hari raya tahun yang lalu. Seperti biasa saya pulang beraya di kampung bersama isteri dan anak-anak. Kami pulang agak lewat, tetapi sempatlah sembahyang raya di kampung. Selepas solat raya seperti tradisinya kami bermaaf-maafan dengan emak dan ayah. Meriah melihat anak, isteri, emak dan ayah berkumpul bersama.

Hari masih pagi bila kawan-kawan lama saya datang berkunjung. Kemudian, mereka beria-ria mengajak saya ke rumah mereka. Saya tidak patut menolak. Hari raya. Dari situ, melarat-larat ke rumah kawan-kawan yang lain. Lepas satu, satu. Tanpa disedari hampir sepuluh buah rumah semuanya. Hampir zuhur baru pulang ke rumah semula. Letih. Kenyang. Tiba-tiba adik bongsu saya datang dan berbisik, “bang, jangan lupa…”

Saya tersentak lantas berkata, “emak kat mana?”
“Dalam bilik.”
“Ketupat?”
“Macam biasa. Ada di balik pintu belakang,”jawabnya pendek.
Saya bergegas ke bilik emak.
“Emak, ketupat ada lagi tak?”
Seperti biasa emak senyum lantas bangun dari duduknya. Tangkas.

“Tulah, ingatkan kau dah lupa. Manalah tahu dah jumpa kawan-kawan…”
Kami bersama duduk di meja makan. Hampir zuhur begitu, tidak ada tetamu yang datang. Bapa dan anak-anak saya ada program sendiri. Isteri turut serta. Jadi tinggal saya dan emak. Adik bongsu di dalam bilik.

Kami berbual sambil makan ketupat. Itulah saat intim antara saya dengan emak sejak dahulu. Bukan sekadar makan ketupat tapi lebih dari itu. Semua itu membawa seribu satu makna dan rasa di sebalik pelbagai peristiwa. Suka duka kami bagai terjalin segalanya di sebalik jalinan daun ketupat, suapan dan kunyahan.

“Dulu kita susah…” emak berbicara sambil tangannya membelah sebiji ketupat untuk saya.
“Tapi emak tetap buatkan ketupat untuk saya setiap hari raya,” balas saya.
“Kekadang hanya tiga empat biji. Tanpa rendang, tanpa kuahnya.”
Dulu kami hidup susah. Adik-beradik ramai. Ayah seorang buruh. Setiap hari raya kami menyambutnya di bawah paras sederhana. Tapi, apa pun emak tetap buat ketupat untuk kami. Kekadang hanya empat atau lima biji. Kami adik-beradik makan beramai-ramai.

“Sekarang kita beli sahaja daun di pasar,” kata emak lagi. Dia sibuk memotong ketupat itu kecil-kecil. Begitulah saya dahulu, jika ketupat suka dimakan kecil-kecil. Emak masih ingat… sampai sekarang.
“Dulu susah benar. Puas kau ke sana ke sini mencarinya,” balas emak. Tersenyum. Ketupat bagaikan metafora yang melambang kasih-sayang antara kami. Masih ingat emak mengajar saya menganyam ketupat. Emak mengenalkan saya ketupat ‘jantan’ dan ketupat ‘betina’ – yang berbeza gaya mematikan anyamannya. Kekadang emak sengaja buat ketupat ‘kerbau’ hanya untuk menghiburkan saya.

“Emak, makan le…” pinta saya.
Dari tadi emak hanya mencuit sedikit, untuk memulakannya sahaja. Dia tahu saya tidak akan mula makan sebelum dia memulakan.
“Makan, makan… Emak puas tengok kau makan. Dari kecil, hinggalah sekarang dah beranak-pinak, emak masih syukur kerana masih mampu buat ketupat untuk kau…”
“Susah atau senang tetap ada ketupat…” kata saya.
“Selagi ada kasih sayang… selama emak hidup, insya-Allah.”
Perlahan suara emak. Emak telah tua. Tangannya mula terketar-ketar. Kaki emak tak kuat lagi berdiri dan mengangkat air. Adik bongsu saya menceritakan betapa ‘peritnya’ emak hendak menghasilkan ketupat kali ini.

“Emak tak payahlah susah-susah buat ketupat lagi…”
“Kau ingat emak susah? Tidak, emak gembira. Dari rumah ni masih kecil, masih rumah papan lagi hinggalah rumah ini dah besar, dah luas seperti sekarang… hati emak tetap gembira setiap kali membuat ketupat untuk anak-anak emak pada hari raya,” kata emak sambil mata tuanya merenung jauh. Saya yakin dia merenung masa silam dan masa depannya.
“Insya-Allah, anak-anak emak pun begitu. Kami akan sentiasa mendoakan emak.”
“Emak pun begitu. Selain takbir dan solat raya, emak paling gembira bila semua anak dan cucu berkumpul dan bermaaf-maafan. Dan jangan beritahu adik-adik kamu… satu lagi kegembiraan emak ialah bila dapat makan ketupat bersama dengan anak sulung lelaki emak ni,” kata emak seakan berbisik.

Begitulah emak, pandai mengambil hati saya. Tapi dengan adik-adik lain, tentu emak ada kata-kata khususnya tersendiri. Masing-masing rasa ‘dilebihkan’. Tetapi sebagai anak sulung memang saya yang banyak melihat derita dan kesusahan emak menjaga dan membesarkan adik-adik. Tetapi percayalah setiap kali kami duduk bersama menganyam ketupat menjelang raya, kemudian mengisinya dengan beras yang direndam… Dan keesokan harinya mencari kayu, menjaga api, menukar air dan kemudian menggantung ketupat yang masak di belakang pintu… kami berdua gembira. Ketupat bukan sekadar ketupat, ia cerita suka-duka kami, ia lambang jalinan kasih-sayang kami…

Ya, saya memahami rasa gembira emak. Rasa gembira hasil memberi. Justeru emak memberi dengan kasih-sayang. Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri. Allah memberi untuk kita memberi. Mulianya emak kerana tangannya selalu di atas, manakala tangan kita anak-anaknya selalu di bawah. Hidup akan kelam, duka dan kecewa bila kita hanya menerima… Ceriakanlah kembali dengan memberi.

Satu perkataan pendek yang menggambarkan seluruh pengajaran dari puasa dan Hari raya ialah: MEMBERI. Dan itulah pengajaran dari ketupat emak. Hidup mesti memberi!



Jan 2009


Kalau Hati Baik , Wajah Sentiasa Cantik.


Belajar dari ‘ayam’ tua.
“Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?” keluh seorang sahabat rapat kepada saya.
“Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri,” tambahnya lagi.
“Mengapa? Teruji sangatkah?”
“Apa tidaknya… di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian.”
“Kau menjaga pandangan?”
“Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu.”
“Ya, iman kita sering teruji,” balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.
“Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik… cantik. Tapi entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri.”
“Kita akan dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini,” pujuk saya untuk meredakannya.
“Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita hadapi ujian itu.”
Saya senyum. ‘Bantuan’ yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.

“Kau yang mesti mulakan dulu, insya-Allahlah isteri akan mengikut nanti,” cadang saya.
“Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat ’signal’ tu…”
“Amin.”
Saya termenung memikirkan ‘masalah kecil’ yang kekadang boleh mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias. “Apa guna, kita dah tua.” “Alah, awak ni tumpu ibadat lah.” “Dah tua buat cara tua.” Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.

Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik… (eh, seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.
“Tak berani poligami?”
Dia menggeleng kepala.
“Tak ada calon ke?” saya mengusik lagi.
“Ramai…”
Memang saya lihat pada usia awal 40′an dia tambah segak dan bergaya.
“Habis kenapa?”
Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.

“Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia… Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka.”
” Kau sudah berterus terang dengannya?”
“Tentang apa tentang poligami?”
“Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?”
“Aku takut melukakannya.”
“Tak palah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka,” saya berkata dengan nada sinis.
Dia faham maksud saya.
“Aku sedang mencari jalan berterus-terang,” dia mengaku juga akhirnya.

“Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik…”
“Lagi?”
“Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk… dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua,” saya senyum. Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana ‘ayam-ayam’ tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa… Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka – berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?

Mencari kecantikan isteri, bukan isteri yang cantik.
“Kita para suamipun banyak juga salahnya,” kata saya.
“Kita tak berhias?”
“Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu,” tambah saya lagi.
“Salah bagaimana?”
“Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!”
“Dalam makna kata-kata kau tu…”
“Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri… Di mana kecantikan sejati mereka selama ini.”
“Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga.”

“Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”
“Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi… aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya.”
“Kasih ke kasihan?” saya menguji.
“Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan.”

Tongkat ‘muhasabah diri’ vs tongkat Ali
“Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua.”
“Maksud kau?”
“Bila kita sedar kita telah tua… kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi.”
” Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?”
Saya diam.
“Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.”

Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50′an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.
“Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi…” tegas sahabat saya itu.
“Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan.”
“Ya, kalau kita baik, isteripun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!”
Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Seperti imam Safie …pada usia-usia begini ramai suami yang mula mencari tongkat… Sayangnya, bukan ‘tongkat muhasabah diri’ tetapi tongkat Ali!



Jan 2009

Tuesday 28 July 2009

Iktibar Batu Belah Batu Bertangkup: Ibu Tidak Boleh Merajuk


Cerita dongeng batu belah batu bertangkup pernah kita dengar. Setidak-tidaknya sekali terutamanya semasa kecil hati kita mungkin pernah merasa seram dan ditakut-takutkan oleh kisah seorang ibu menyerahkan dirinya ke dalam sebuah gua batu yang boleh menelan manusia. Lalu hati kita kecut, takut-takut ibu kita pula akan ditelan batu. Lalu kita pun berhenti menangis atau merajuk takut-takut ibu kita akan mengalami keadaan yang sama. Walaupun cerita ini jelas berunsurkan dongeng malah di sesetengah tempat terdapat elemen tahyul, namun cerita ini tetap masyhur disampaikan dari generasi ke satu generasi. Malah karyawan seni Melayu telah memertabatkan kisah ini menjadi sebuah filem suatu masa dahulu.

Diringkaskan kisahnya berlegar disekitar seorang balu miskin dengan dua orang anaknya yang masih kecil. Yang sulung, seorang perempuan, manakala yang bongsu pula seorang lelaki. Ibu tersebut terpaksa menyara dan memelihara kedua anak itu setelah suaminya meninggal dunia. Justeru ibu miskin tadi terpaksa menyara kehidupan anaknya dengan membuat berbagai-bagai kerja, dari bercucuk tanam, mengambil upah bekerja di rumah orang hinggalah menangkap ikan. Matlamatnya cuma satu, yakni janganlah kedua anaknya mati kebuluran.

Pada suatu hari, ibu tadi berjaya menangkap seekor ikan Temakul yang mempunyai telur. Setelah ikan ini siap dimasak, siibu tadi berpesan kepada anak perempuannya agar memberi anak lelaki kecilnya makan. Manakala dia terpaksa keluar kerana masih ada kerja yang hendak dibuatnya. Sebelum pergi siibu mengingatkan anak perempuan agar menyimpan sedikit telur ikan Temakul yang telah siap dimasak untuk dimakannya sewaktu pulang ke rumah nanti. Sepeninggalan ibunya, kakak tadipun memberi adiknya makan. Setelah habis bahagian siadik, kakaknya menjadi bimbang kerana siadik masih belum puas, dia terus menerus minta tambah sedangkan tidak ada lagi telur ikan yang tinggal kecuali yang telah disimpan untuk siibu.

Siadik terus menangis, merayu-rayu dan merengek-rengek minta tambah. Setelah beberapa lama, sikakak tidak sampai hati, lalu memberi baki telur ikan Temakul bahagian siibu untuk adiknya. Telur ikan itupun habis semuanya. Tidak lama kemudian siibu pun pulang. Alangkah kecewa hatinya apabila didapati telur ikan yang sangat diinginkannya telah habis dimakan oleh anaknya. Ia kecewa, marah dan benar-benar terkilan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk keluar membawa dirinya ke batu belah batu bertangkup untuk ditelan. Dia pun berlari ke tempat batu itu sambil berkata, “batu belah batu bertangkup, telanlah aku, ambillah aku… aku keempunan telur ikan temakul.” Begitu diseru berulang-ulang sambil berlari dengan deras menuju batu belah batu bertangkup. Melihat keadaan itu, sikakak pun mengejar ibunya sambil mengendung adiknya. “Ibu, ibu… jangan, jangan tinggalkan kami.” Pendek cerita, siibupun ditelan batu dan tinggallah kedua anak tadi menjadi yatim piatu.

Cerita itu terus bersambung dengan pelbagai episod lagi. Hinggalah kononnya kisah ini berakhir dengan ‘happy ending’ bila siadik lelaki berkahwin dengan puteri raja dan sikakak juga turut berkawin dengan putera raja. Namun apa yang hendak diiulas menerusi tulisan ini cukup hanya setakat itu sahaja. Sebenarnya, fokus kisah ini boleh diberikan ditujukan kepada dua subjek. Pertama, subjek pendidikan, kedua subjek komunikasi. Dalam soal pendidikan, jelas terdapat kepincangan yang besar pada karektor ibu dalam kisah ini. Sebagai ibu, perbuatan merajuk atas perbuatan anak (dalam kes ini sehingga sanggup membunuh diri) adalah salah. Ibu adalah individu yang mesti mengasehi anaknya sepenuh hati yakni secara ‘love without condition’. Maksudnya, cinta tanpa syarat. Apa sahaja sanggup dikorbankan demi kebahagian anak, hatta diri sendiri.

Dalam kisah ini, jelas kelihatan jiwa siibu terlalu kecil dan rapuh, sehingga begitu terkesan dengan perbuatan anaknya yang masih kecil dan belum matang berfikir. Sedangkan dalam proses mendidik anak, kesabaran dan kebijaksanaan sangat diperlukan. Seorang ibu adalah juga seorang pendidik yang benar-benar merasakan tugas mendidik anak ialah amanah besar daripada Allah. Siibu harus sedar bahawa dia sedang memikul tugas warisan para rasul khususnya nabi Muhammad SAW. Jika seorang jurutera, doktor, peniaga dan juruterbang berdepan dengan benda atau persoalan yang berbentuk fizikal, lain halnya pula dengan siibu yang berdepan dengan karenah anak yakni manusia yang punya jiwa, akal, nafsu dan perasaan. Oleh itu seorang ibu sedikit-sebanyak mesti memiliki kesabaran para Rasul.

Jika kita buka lembaran sejarah, banyak iktibar yang boleh kita ambil khususnya tentang kesabaran para Rasul menghadapi karenah umatnya. Beberapa kesilapan para Rasul kadangkala diperbetulkan oleh Allah terutamanya apabila mereka ‘berasa hati’ dengan umatnya. Walaupun telah sekian lama berdakwah dan tetap ditolak seruannya, namun Allah terus mengingatkan para Rasul-Nya agar tidak berasa kecewa, apalagi merajuk bila berdepan dengan kedegilan umat. Dan beberapa insiden telah berlaku yang merupakan didikan lansung dari Tuhan agar para Rasul tidak mengulangi kesilapan mereka. Nabi Yunus AS misalnya, telah ditelan ikan kerana bertindak meninggalkan kaumnya. Begitu juga yang terjadi kepada Nabi Zakariya AS, Nabi Yahya AS dan lain-lain. Bukan itu sahaja bahkan setiap Rasul merasakan kesilapan masing-masing apabila dihadapkan di mahkamah Allah di Padang Mahsyar kelak. Oleh hal yang demikian, para Rasul tidak berani menunaikan permintaan umat masing-masing untuk memohon kepada Allah bagi mempercepatkan perbicaraan di Padang Mahsyar. Hanya Nabi Muhammad sahaja yang sanggup memohon kepada Allah untuk dipercepatkan perbicaraan itu.

Nabi Muhammad saw telah menunjukkan keunggulan berbanding para Rasul yang lain apabila baginda tidak sedikitpun berasa hati apalagi merajuk terhadap karenah umatnya. Baginda telah menunjukkan ketinggian peribadi apabila sering mendoakan orang yang menentangnya. Peristiwa di Taif misalnya, menunjukkan bagaimana baginda menolak tawaran para malaikat untuk menghancurkan penduduk Taif yang menghinanya. Bukan itu sahaja, bahkan baginda mendoakan agar generasi kemudian penduduk Taif akan mendapat hidayah. Inilah sifat mulia yang menjadi syarat untuk menjayakan proses pendidikan. Tetapi inilah yang tidak ada pada siibu dalam kisah batu belah bertangkup ini. Sifat mudah merajuknya, bukan sahaja membinasakan dirinya tetapi juga kedua anak yang ditinggalkannya. Siibu telah merajuk atas sebab yang sangat remeh, yakni sekadar tidak dapat makan telur ikan, bukan sebab-sebab besar yang boleh dianggap penting dalam hidup. Sikap yang sepatutnya diambil oleh iibu ialah berlapang dada dengan sikap anak yang belum boleh berfikir apalagi merasai keinginan dan perasaannya.

Anak yang belum baligh, dan mungkin dalam kes ini belum mumaiyiz, sekali-kali tidak boleh dilayan sebagai orang dewasa kerana mereka masih tidak boleh berfikir, menilai dan bertindak dengan betul. Bukan sahaja ibu-bapa, malah Allah sendiripun tidak meletakkan sesuatu tanggung-jawab atau kewajiban terhadap anak-anak yang masih belum mumaiyiz dan belum baligh. Hanya apabila baligh barulah anak-anak dikira mampu menilai, berfikir, memilih memutuskan dan seterusnya bertindak dengan betul. Ketika itu barulah input berbentuk ilmu, ajaran dan didikan boleh diterima, difahami dan diamalkan oleh anak-anak. Dan ini hanya dapat dicapai apabila seorang anak itu mencapai usia baligh. Bila baligh barulah sianak dianggap layak untuk diberi pertanggung-jawapan dan dihukum sekiranya mengabaikan tanggung-jawab itu.

Islam sangat mementingkan tahap akil baligh ini. Ia telah diletakkan sebagai syarat wajib yang perlu ada pada seseorang muslim sebelum diwajibkan melakukan sesuatu perintah. Ini bermakna jika seseorang belum baligh, maka dia belum wajib melaksanakan sesuatu hukum. Manusia yang masih kecil tidak tahu bagaimana menilai yang baik dan buruk untuknya. Fikirannya ketika itu hanya selapis sahaja, nampak seronok, nampak sedap, nampak suka… terus dibuat. Tanpa memikirkan apa akibat buruk yang mungkin berlaku. Samada akibat buruk itu berlaku di dunia ataupun di akhirat.

Mengambil kira hakikat ini, kesalahan ibu dalam cerita ini ialah kerana dia menganggap anak-anak sepertinya juga. Dia terlalu mengharap anak-anak itu akan memahami, bersimpati terhadapnya dan melakukan tindakan yang selaras dengan kehendaknya. Tetapi realitinya tidaklah sebegitu. Anak-anak mempunyai kelemahan yang banyak. Justeru mereka belum mampu berfikir dan menilai seperti mana orang dewasa. Dengan yang salah ini, sering terjadi para ibu memarahi merajuk, kecewa bahkan menghukum anak-anaknya tanpa mempertimbangkan kelemahan-kelemahan anak-anak itu. Dalam konteks ini Rasulullah telah berpesan berpesan “suruhlah anak-anak sembahyang pd umur 7 tahun. Pukullah mereka jika tidak sembahyang apabila umur 10 tahun.”

Kenapa anak-anak 7 tahun tidak boleh dipukul? Ini kerana kalau mereka melakukan kesalahan pada usia itu, bukanlah kerana kedegilan atau keengganan mereka tetapi kerana mereka belum cukup matang untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Sebab itu diperingkat ini, memberi ilmu, membimbing dan menunjukkan teladan yg baik lebih utama dr menghukum. Saidina Ali juga telah memberi panduan bahawa anak-anak yg berumur 7 tahun ke bawah hendaklah diberi kasih sayang secara banyak bermain-main bersama mereka. Supaya dengan itu anak-anak meyakini bahawa ibu-bapa memang kasihkan mereka. Setelah mereka berumur 10 tahun ke atas, barulah menurut Saidian Ali, mereka itu boleh didisiplinkan dengan adab-adab dan peraturan.

Malangnya ibu dalam kisah ini, tidak mengikut panduan-panduan yg tepat dalam mendidik dan menangani karenah anak-anaknya. Dia melakukan kesalahan besar kerana menyangka anak-anaknya mementingkan diri dan tak menyayanginya kerana memakan telur tembakul. Sedangkan sebenarnya, anak itu sayang kepadanya. Tetapi oleh kerana fikiran mereka tidak dapat menjangkau fikiran dan perasaan si ibu, si kakak memberi telur temakul kepada adiknya. Bukan kerana mementingkan adik lebih dari ibunya, tetapi semata-mata kasihan melihat adik yang menangis-nangis meminta telur tersebut. Dan si anak kecil juga, kerana terlalu kecil, apa yg difikirkan hanyalah makan. Dia belum boleh berfikir tentang perasaan dan kehendak ibunya. Apalah yang boleh difikir oleh anak sekecil itu, melainkan lapar, sakit, bermain dan sebagainya?

Subjek kedua dalam kisah ini ialah masalah komunikasi antara ibu dan anak-anak. Dalam kisah ini, jelas tidak adanya komunikasi berdasarkan simpati dan empati antara kedua-dua belah pihak iaitu pihak si ibu dengan pihak si kakak tadi. Dalam komunikasi yang baik, sikap ‘seek to understand then to be understood’ – sikap memahami orang lain terlebih dahulu barulah orang memahami diri kita sangat perlu. Kita mesti cuba menyelami perasaan, keadaan dan juga kesusahan yang dihadapi oleh orang lain sebelum membuat sesuatu tanggapan, atau suatu penilaian terhadapnya. Dalam ini misalnya, si ibu gagal menyelami perasaan sikakak yang simpatikan kepada adiknya. Dan ibu juga gagal perasaan siadik yg begitu sukakan telur ikan.

Sedangkan si ibu boleh membuat pelbagai alasan bagi pihak anaknya, tentang kenapa anaknya bertindak demikian. Contohnya, si ibu boleh beranggapan bahawa anaknya terlalu lapar. Mungkin telur ikan itu yg paling sedap pernah dirasainya dan pelbagai alasan yg lain. Apabila kita meletakkan diri kita pada kedudukan orang yg sedang kita berkomunikasi dgnnya, maka mudahlah kita membuang rasa negatif seperti sikap prasangka, prajudis dan marah yg tidak diketahui puncanya. Dalam perhubungan, kita tak boleh mementingkan diri sendiri. Yakni kita terlalu memikirkan diri kita tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Kalaulah si ibu dapat menyelami dilema yang dihadapi oleh anak perempuannya, dan kelaparan yang dialami oleh anak lelakinya, maka sudah pasti dia rela mengorbankan telur ikan itu.

Si ibu berada di satu keadaan yang boleh menyelami perasaan seorang anak, sedangkan sianak tidak mampu menyelami perasaan siibu. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu tersebut ialah menahan sabar, menahan lidahnya, menahan perasaan dan berkata pada dirinya sendiri… “anakku hanya seorang budak lelaki yang kecil, terlalu kecil untuk mengerti penderitaanku.” Dia harus sedar bahawa anak itu tidak boleh dilayani sebagai seorang dewasa. Dan dia telah meminta terlalu banyak daripada anaknya yang masih kecil. Siibu harus sedar… bahawa Tuhan pun tidak menghukum anak yang masih kecil. Kesimpulannya, jiwa siibu dalam kisah batu belah batu bertangkup ini terlalu kecil… Terlalu kecil untuk memainkan peranan yang terlalu besar. Ya, orang yang berjiwa kecil tidak akan mampu mendidik sekalipun seorang anak yang kecil!


http://genta-rasa.com
Dis 2008


Wednesday 22 July 2009

Yahudi untuk dikenang sepanjang masa!


Sejak 27 Disember lalu, bersamaan 29 Zulhijjah 1429H, hari ini sudah masuk hari ke 16 Gaza dihujani peluru dan bom. Saya melilau ke blog-blog dan web yang berdiskusi hal ini. Saya suka ulasan Ustaz Nik Abduh diblognya, masanyamemilihjalanyanglurus.wordpress.com. [Panjang sangatlah nama blognya...kalau boleh pendekkan, alangkah bagus!]

Saya ingat semula tulisan Ustaz Hasrizal di saifulislam.com bertajuk Palestin: Antara Ilusi dan Realiti. Sangat bagus diulang tayang buat mencerahkan minda dan memahami hakikat apa ertinya kita bergelar muslim.

Sejak hari pertama Gaza dibedil, handphone saya sering menerima sms menentang pencerobohan Yahudi laknatullah. Ada mengenai boikot barangan Yahudi, saranan doa dan derma untuk muslimin Palestin serta pelbagai lagi. Saya merenung semua itu, meneliti impak disebalik semua tindakan tersebut… saya juga terkenangkan seorang gadis Palestin yang pernah tinggal sebilik dengan saya di Jordan dulu. Apa khabar dia? Masih hidupkah dia?

Islam mengukur impak dari setiap tindakan

Melihat kempen boikot barangan Yahudi, saya kira ia sudah lama dikumandangkan yakni sejak saya berada di Jordan dulu. Kira-kira lebih 10 tahun yang lalu. Alhamdulillah, komitmen saya untuk boikot barangan Yahudi masih berterusan sejak ia dilancarkan. Justeru kempen itu tidak lagi memberi kesan bagi mana-mana individu yang istiqamah beramal dengannya. Walaubagaimana pun maklumat senarai produk Yahudi terbaru amat dihargai. Mana-mana barangan yang saya belum bercerai dengannya kerana tidak tahu, saya mesti jatuhkan talak tiga sebaik-baik mengetahuinya.

Kita perlu menerima kempen itu dengan rasional dan faham, bukan semata-mata kerana semangat dek letupan isu semasa. Semangat sifatnya tidak konsisten. Ada pasang surutnya. Sedangkan menerima sesuatu dengan faham, faqih dan penghayatan adalah prinsip yang tetap dan jitu. Ia tidak memerlukan isu untuk dibangunkan dan disedarkan. Asalkan kita beriman dengan setiap kalamullah, kita akan sentiasa beringat dan berwaspada dengan musuh walaupun musuh sedang tidur.

Allah mengingatkan,

وَلَنْ تَرْضٰى عَنْكَ الْيَهُوْدُ وَلَا النَّصٰرٰى حَتّٰى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ‌
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah sesat itu). [Al-Baqarah 2:120]

Ayat ini memberi maksud Yahudi dan Nasrani itu selama-lamanya tidak akan rela dengan penganut Islam KECUALI setelah para muslimin menurut cara hidup dan akidah mereka. Justeru apa justifikasi kita untuk kembali melanggan produk-produk Yahudi walau berlakunya gencatan senjata?

Cuba kira, jika sejak 10 tahun yang lalu kita (ummat Islam di seluruh dunia) konsisten memboikot barangan Yahudi, adakah Yahudi hari ini mampu bermewah dengan bom dan peluru untuk dihalakan kepada saudara-saudara kita? Hari ini, sesudah mereka melancarkan serangan… kita baru terhegeh-hegeh melonjakkan semula semangat BOIKOT! BOIKOT! BOIKOT! Kita bersemangat setelah dana mereka mencukupi. Hujan sudah turun baru mahu cari payung! Bom sudah digugurkan baru mahu cari penangkis!

Tidak mengapalah untuk mereka yang asyik tidur dan berkhayal mahu terkejut kali ini. Harap-harapnya dapat terus konsisten untuk 10 tahun akan datang dan lebih lagi. Banyak perkara yang kita lakukan kerana semangat semata, menjadi hangat-hangat tahi ayam! Benarlah ingatan Allah pada kita,

يُرِيْدُ اللّٰهُ اَنْ يُّخَفِّفَ عَنْكُمْ‌ۚ وَخُلِقَ الْاِنْسَانُ ضَعِيْفًا‏
Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. [Al-Nisa’ 4:28]

Realiti manusia: Semangatnya lemah. Daya konsistennya lemah. Penghayatan Islamnya lemah. Zikrullahnya lemah. Justeru perlu dimotivasikan sepanjang masa. Meskipun musuh sedang berehat.

Kenangan menyedihkan

Mengenangkan kempen boikot ini, ada kenangan yang menyedihkan hati.

Suatu musim, kira-kira tahun 1994 ke atas, Israel membuka pintu pelancongan ke Qubbatussakhra dan Al-Quds. Paspot Malaysia mengharamkan Israel dari dikunjungi. Namun demi meraih sumber buat menyuburkan pertumbuhan industri peluru, roket dan bom, Yahudi sanggup bertolak ansur seketika membenarkan pelancong menyeberangi sempadan Jordan-Palestin dengan bayaran yang agak mahal. Kalau tidak silap saya sekitar DJ25 (1 dinar Jordan pada masa itu bersamaan RM4). Walhal, kita semua tahu, Yahudi menganggap manusia selain bangsanya seperti haiwan. Lebih-lebih lagi umat Islam yang beriman kepada semua nabi dan rasul yang diutuskan.

Prof Dr Yusuf al-Qaradawi segera memberi respon terhadap dasar buka pintu pelancongan oleh Yahudi ini. Beliau menegaskan bahawa haram bagi sesiapa yang bukan warga Palestin mengunjungi Palestin pada waktu itu. Setiap dinar yang dihulurkan adalah sumbangan membeli peluru untuk disasarkan kepada saudara seakidah di Palestin. Namun bagi penduduk tempatan yang keluar dari Palestin, tidak mengapa untuk mereka kembali ke negeri mereka. Berdasarkan situasi pada masa itu, saya tentunya menyokong penuh fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi.

Namun, sebahagian sahabat teruja untuk mengambil peluang bersolat di Masjid al-Aqsa di samping melawat Qubbatussakhra. Mereka menyeberangi juga sempadan Jordan-Palestin. Puaslah hati mereka dapat solat dengan andaian mendapat pahala berganda bagi setiap rakaat solat di Masjidil Aqsa serta bergambar di beberapa tempat menarik. Mereka mungkin tidak tahu prinsip fiqh, ‘Menolak kerosakan lebih utama dari menuai kebaikan’. Maksud prinsip ini ialah apabila bertembung maslahah dan mafsadah (kerosakan) dalam perkara yang ingin dikerjakan, maka lebih utama kita memilih tindakan yang boleh menolak hasil yang merosakkan. Moga Allah ampunkan mereka. Saya yang hobinya bermusafir ini pun terpaku kaki dan tersekat impian untuk menziarahi Al-Quds. Saya tidak mampu menyambut kepulangan sahabat yang memasuki Al-Quds dengan senyuman. Saya sedih dan hati saya pedih.

مَنْ قَتَلَ نَفْسَۢا بِغَيْرِ نَفْسٍ اَوْ فَسَادٍ فِىْ الْاَرْضِ فَكَاَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيْعًاؕ وَمَنْ اَحْيَاهَا فَكَاَنَّمَاۤ اَحْيَا النَّاسَ جَمِيْعًا‌ؕ وَلَـقَدْ جَآءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنٰتِ ثُمَّ اِنَّ كَثِيْرًا مِّنْهُمْ بَعْدَ ذٰلِكَ فِىْ الْاَرْضِ لَمُسْرِفُوْنَ‏
Sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa rasional yang membolehkan orang itu harus dibunuh atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Sesiapa yang menyelamatkan nyawa seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan nyawa semua manusia. Demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka para utusan kami dengan membawa keterangan yang cukup jelas. Kemudian sesudah itu, kebanyakan dari mereka bersungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi. [Al-Maidah 5:32]

Kita bimbang, tanpa sengaja dan tanpa niat, kita turut menyumbang modal untuk Yahudi memerangi saudara kita di Palestin dan di seluruh dunia.

Alternatif Barangan Yang di Boikot

Menjadi prinsip Islam, apabila satu-satu jalan ditutup (perkara HARAM), maka jalan HALAL automatik terbuka luas. Apabila arak diharamkan, maka banyak lagi minuman lain yang lazat-lazat dihalalkan; air kelapa muda, air oren, kopi radix dan sebagainya. Maka usahlah ditogok arak yang mampu menukarkan manusia menjadi haiwan.

Begitu juga kalau kita mahu boikot Colgate contohnya, sebutlah sekali ubat gigi Halalgel, Mukmin dan sebagainya sebagai ganti. Senaraikan sekali barangan terutama produk muslim yang mampu menjadi alternatif kepada senarai barangan yang telah diboikot tadi. Ianya sekaligus membantu mengencangkan ekonomi umat Islam. Ini menurut prinsip Al-Quran lah. Baru Islam itu dilihat melapangkan dan bukan menyempitkan, membuka dan bukan sekadar menutup, menghalalkan dan bukan sekadar mengharamkan.

Pengusaha-pengusaha muslim juga haruslah sentiasa meningkatkan kualiti produk agar tidak mampu lagi ditandingi produk yang tidak halal. Tidak halal dari sudut jenamanya, lebih-lebih lagi tidak halal untuk dimakan dan diminum.

Sebagai contoh juga, apa alternatif kepada jenama Huggies bagi jenis napkin bayi? Bagi mereka yang tidak tahu, akan beli Pampers. Kemudian dapat pula info, Pampers juga jenama Yahudi. Habis itu, jenama apa yang halal? Permudahkan dalam memberi maklumat agar masyarakat umum tidak merasa tertekan dengan larangan boikot terutama barangan keperluan harian.

Akhir kalam, betullah, kejahatan Yahudi dan dendam kesumatnya terhadap ummat Islam harus dikenang sepanjang masa. Justeru permusuhan mereka terhadap Islam dan Arab akan kekal hingga hari kiamat. Barulah kita tidak terleka tatkala melihat mereka sedang nyenyak tidur!

Allah berpesan melalui surah al-Maidah, ayat 82,

لَـتَجِدَنَّ اَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّـلَّذِيْنَ اٰمَنُوْا الْيَهُوْدَ وَالَّذِيْنَ اَشْرَكُوْا‌ۚ
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.
Jan 2009

Sunday 5 July 2009

Cermin yang baik.

Oleh kerana ada pertanyaan mengenai persahabatan, saya sertakan artikel di bawah yang merupakan salah satu tulisan saya untuk buku ‘Dari Lubuk Hati Ibu’. Namun ia telah diedit semula dan ditambah sedikit isinya. Insya Allah, buku itu sekarang dalam proses menyiapkan layout dan akan segera dicetak. Sesiapa yang berminat mendapatkannya, boleh tempah dengan saya melalui email; ummuabbas@yahoo.com.


Masa kecil main bersama, sudah besar belum tentu hatinya sama. Moga Allah pelihara hati-hati mereka untuk iman dan taqwa. Kelihatan di belakang ialah Sg Murray. Kawasan anak-anak main ialah NSW. Seberang sana Victoria.
Cermin yang Baik

Anakku,

Malam ini purnama mengambang penuh. Marilah sama-sama kita perhatikan cahayanya yang redup dan menawan sekali. Bulan itu dipagari pula oleh bintang yang berkelipan. Bertambah indahnya langit dihiasi ribuan lampu mengelip-ngelip.

Anakku,
Nabi Muhammad itu bagaikan purnama. Para bintang di langit pula ialah sahabat-sahabat baginda yang senantiasa mendampinginya. Kita dapat saksikan satu gambaran persahabatan yang indah terlukis di kanvas Sirah Nabi.

Jika Nabi Muhammad berstatus kekasih Allah yang maksum pun perlukan kepada sahabat, lebih-lebih lagi kita yang banyak kelemahan dan sering alpa ini. Nabi dan para sahabat saling mengasihi dan menasihati kerana Allah.

Anakku,
Semasa kecil iaitu semasa ibu bersekolah rendah, datuk menasihati ibu supaya memilih kawan yang suka belajar dan cemerlang pelajarannya. Ibu akur dengan pesanan tersebut kerana ibu dapati berkawan dengan orang yang rajin membuatkan ibu termotivasi untuk rajin belajar juga. Bahkan kami berlumba-lumba untuk dapat kedudukan cemerlang di dalam kelas.

Semasa di sekolah menengah, pesanan datuk itu terus ibu amalkan tapi bukan untuk dapatkan motivasi belajar sahaja, bahkan ibu luaskan skop untuk memilih kawan-kawan yang baik akhlaknya.

Alhamdulillah, sekolah ibu dulu punya persekitaran yang solehah. Sekolah ibu ialah sebuah sekolah agama untuk pelajar perempuan sahaja. Ibu masih ingat, hari pertama ibu di sekolah itu, ibu tertarik dengan perawakan seorang ustazah merangkap guru disiplin yang sedang memberi taklimat disiplin sekolah. Wajah ustazah itu begitu tenang dan mendamaikan jiwa yang melihatnya. Walaupun dia bercakap tentang disiplin sekolah namun dia sering melemparkan senyuman kepada kami.

Setelah berada di sekolah itu, ibu dapati ramai juga kakak-kakak yang berwajah jernih berseri. Terutama mereka yang memakai purdah. Airmuka mereka syahdu dan lembut. Ibu bertambah-tambah cinta pada sekolah itu. Sekolah yang pada mulanya ibu beriya-iya menolak untuk belajar di situ. Ia suatu permulaan bagi ibu mengenal dunia persahabatan kerana Allah.

Anakku,
Benarlah pesan Nabi Muhammad S.A.W yang mengatakan,

مثل الجليس الصالح والسوء كحامل المسك ونافخ الكير فحامل المسك إما أن يحذيك وإما أن تبتاع منه وإما أن تجد منه ريحا طيبة ونافخ الكير إما أن يحرق ثيابك وإما أن تجد ريحا خبيثة

Maksudnya;

Perumpamaan berkawan dengan orang yang baik dan orang yang jahat, adalah seperti pembawa minyak wangi dan peniup dapur tukang besi. Pembawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikannya kepadamu atau kamu akan membeli darinya, atau mungkin kamu akan mendapati aroma harum darinya. Adapun peniup dapur, mungkin dia akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau busuk darinya.

Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim

Dikelilingi oleh kakak-kakak yang solehah, ibu turut terikut-ikut dengan tabiat mereka. Mereka suka belajar, mereka menghormati guru, mereka suka menambah ilmu dengan mendengar kuliah-kuliah selain matapelajaran di dalam kelas, mereka juga berbangga untuk tidak berkawan dengan mana-mana lelaki ajnabi di luar sekolah, mereka berlumba-lumba untuk mengenal Allah dan memburu cintaNya, mereka bangga menjaga maruah dan kesucian diri, mereka suka menolong ibubapa ketika di rumah dan pelbagai lagi sikap yang baik. Ibu turut mendapat tempiasnya walau tidaklah sebaik mereka.

Semasa ibu di Tingkatan Dua, ibu punya sahabat rapat yang berusia 4 tahun lebih tua dari ibu. Ibu namakan dia sebagai Kak Ida sahaja. Pada waktu itu, ibu sengaja memilih dia dibandingkan rakan sebaya yang lain. Ibu mahu tumpang taqwanya. Ibu mahu kutip mutiara hikmah dari lisannya. Lebih menarik, Kak Ida mula mengenakan niqab atau purdah setelah selesai menduduki peperiksaan SPM. Wajahnya yang sedia putih bersih itu semakin bercahaya disimbah nur iman dari hati.

Suatu peristiwa yang ibu tidak dapat lupakan hingga ke hari ini ialah; suatu hari ibu terserempak dengan Kak Ida di lobi sekolah, masya Allah! Subhanallah! Hati ibu langsung teringat kepada Allah. Allahuakbar! Ibu tersentak anakku. Tidak pernah selama hayat ibu pada masa itu, tiba-tiba hati teringat Allah bila menatap wajah seseorang. Selepas itu dan sehingga sekarang pun, ibu masih sukar mencari airmuka yang mengingatkan ibu kepada Allah. Ia bukan jarang-jarang, bahkan nadir sekali. Pada masa itu, ibu berada agak jauh darinya. Jadi ibu tidak menegurnya. Inilah kali pertama ibu luahkan pengalaman tersebut. Kak Ida tidak tahu. Tiada siapa pun tahu kerana ibu tidak pernah kongsikan pengalaman itu sebelum ini.

Kita mungkin pernah melihat wajah yang menenangkan, wajah yang bersih namun untuk terus langsung teringat Allah, aduh sukarnya anakku. Agaknya hati Kak Ida pada masa itu tidak putus dengan zikrullah.

Anak-anakku,
Pesanan Nabi sebelum ini adalah untuk semua ummatnya lelaki dan wanita. Justeru ibu percaya apa yang ibu pernah alami dari kesan pengaruh berkawan adalah sama bagi kaum lelaki jua.

Ibu perhatikan kawan-kawan ibu yang agak nakal-nakal sedikit, mereka suka rapat sesama mereka sahaja. Mereka juga kurang pemalu, kurang menghormati guru, suka menyakiti hati kawan-kawan dan lain-lain lagi sikap yang kurang baik. Mereka ini agaknya merasa tidak cukup dengan jumlah syaitan yang ada, maka mahu ditokok tambah jumlahnya. Benarlah kata-kata Nabi Muhammad,

المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل
Maksudnya;

Seseorang itu menurut agama rakannya. Maka perhatikan dengan siapa dia akan berkawan.

Hadis direkod oleh Abu Dawud, al-Tirmizhi dan Imam Ahmad.



DIS 2008
keranacinta.wordpress.com

Tip kyusyuk dalam solat.



Ummat Islam solat di sekeliling Kaabah
Ini adalah sebahagian tulisan saya untuk buku kedua, ” Dari Lubuk Hati Ibu”. Moga beroleh manfaat.

 Memahami tujuan solat iaitu satu bentuk komunikasi formal dengan Allah. Justeru wajarlah kita menghadirkan hati dan fikiran semasa sedang berkomunikasi dengan Allah.
 Contoh: Kita menghadiri satu temuduga memohon pekerjaan. Lazimnya kita akan berpakaian kemas kerana mahu menjaga imej dan penampilan yang meyakinkan penemuduga. Kemudian kita akan jaga tata tertib masuk ke bilik temuduga, berdiri dan duduk. Seterusnya kita akan mendengar dengan teliti apa yang dikata dan ditanya. Kita juga akan menjawab dengan berhati-hati dan penuh mengharap. Pendekata, kita memusatkan seluruh perhatian kita pada proses temuduga tanpa berfikir lagi tentang perkara-perkara lain. Kalau sesama manusia pun begitu sekali kita berusaha agar memperolehi sesuatu, bagaimana dengan Allah yang kita harapkan hidayah, pertolongan dan perlindungan dariNya? Iya, kita harus menjaga tatatertib solat menurut sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
 Bagi menambah penghayatan solat, kita perlu memahami makna bacaan solat serta memahami makna perbuatan (rukun dan wajib) solat.

 Selain menjaga tertib solat yang kita istilahkan dengan fikah ibadah, perkara lain yang mesti dijaga bagi mendapatkan solat yang khusyuk ialah meminimumkan dosa antara waktu-waktu solat. Segera beristighfar setiap kali tersalah atau terlupa melakukan perkara dilarang seperti memandang dan mendengar perkara yang diharamkan. Termasuk jugalah memohon maaf dari manusia yang berkecil hati dengan kita selagi kita menyedarinya. Dosa-dosa akan menghijab hati dari merasa kehadiran Allah di dalam solat.

Antara perkara yang sering dicuaikan oleh muslim yang mahu mendirikan solat ialah mengambil wuduk dengan air yang berlebihan. Sedangkan membazir itu sahabat syaitan.
Ayat 27 surah al-Isra’ memberitahu,
“ Sesungguhnya orang-orang yang suka membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

 Mengelakkan dari makan terlalu kenyang. Nabi Muhammad S.A.W berpesan,

ما ملأ آدمي وعاء شرا من بطن بحسب بن آدم أكلات يقمن صلبه فإن كان لا محالة فثلث لطعامه وثلث لشرابه وثلث لنفسه
Maksudnya;

Tiada satu bekas dipenuhi anak Adam lebih buruk dari perutnya. Memadai bagi anak Adam beberapa suapan sekadar menyambung hidupnya. Jika ia tidak mencukupi, maka hendaklah sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasannya.

Hadis direkod oleh Sunan al-Tirmizhi

 Sebagai alternatif meninggalkan perbuatan-perbuatan haram itu tadi, kita digalakkan membanyakkan zikrullah, bertasbih dan bertahmid. Apabila di luar solat, kita sudah melazimi mengingati Allah, maka lebih mudahlah bagi kita untuk khusyuk di dalam solat.

NOV 2008

Tip mudah menjadi kaya.

Suatu hari Hassan al-Basri dikunjungi seorang lelaki yang mengadu mengenai keadaan daerahnya yang kering kontang kerana dilanda kemarau. Hassan menjawab, “ Mohonlah ampun kepada Allah.”

Selepas itu, datang lagi seorang rakan yang mengadu bahawa dirinya ditimpa kemiskinan. Sekali lagi, Hassan menjawab, “ Mohonlah ampun kepada Allah.”

Tidak lama kemudian datang pula seseorang meminta didoakan agar dikurniakan anak dan reaksi Hassan ialah, “ Beristighfarlah kepada Allah.”

Kemudian datang lagi orang yang lain mengadukan tentang kebunnya yang tandus, Hassan juga memintanya supaya beristighfar.

Jawapan Hassan itu menimbulkan rasa tidak puas hati para sahabatnya, lalu mereka bertanya mengapa semua masalah itu hanya dapat diselesaikan melalui istighfar.

Hassan berkata, “Saya tidak mengatakan semua itu secara suka-suka. Tetapi, berdasarkan janji Allah dalam Surah Nuh ayat 10 hingga 12 yang bermaksud, ‘ Maka aku katakan kepada mereka, mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.’

- Dipetik dari Majalah NUR Oktober 2003, hlm 34 dengan sedikit pembetulan ayat.

Abu Hurayrah pernah melaporkan dari Nabi Muhammad (SAW) bahawa beliau berkata, “ Kaya itu bukan kerana banyak harta, tetapi kaya itu adalah kaya jiwa.”

Seorang penceramah berbangsa India yang belum Islam menyebut di dalam ceramahnya di Kota Bharu, “ Orang yang paling kaya di dunia ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana dia tidak tamakkan harta rakyat dan merasa cukup dengan rezeki yang ada.” Pada masa itu zaman awal reformasi.

Penceramah berbangsa India itu sekarang sudah pun menjawat jawatan Ahli Parlimen. Pandai sungguh dia mentafsir sesuai dengan ajaran Islam. Konsekuen pula dengan hadis yang disebutkan di atas. Betul kata-kata dia itu yang mana dia huraikan lagi orang yang banyak duit atau harta tetapi masih merasa tidak cukup dan mengharapkan harta orang lain sebenarnya orang miskin. Hanya orang miskin yang sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang ada padanya.



OKT 2008
keranacinta.wordpress.com

Alahan yang menginsafkan 2.

MENCARI AYYUB DAN SULAIMAN

“ Letih betul pregnant kali ini. Selalu tidak sihat dan sakit-sakit. Tidak banyak perkara yang boleh dibuat padahal tanggungjawab begitu banyak. Rasa macam manusia tidak berguna je!”

Begitulah bunyi mesej ringkas (SMS) yang saya terima sebentar tadi. Saya rasa terharu bila membacanya. Saya teringat pengalaman hamil anak ke lima yang begitu meletihkan. Saya balas SMS sahabat saya itu,

“ Alhamdulillah, kak masih punya pembantu. Try baca artikel ‘Alahan Yang Menginsafkan’ di keranacinta.wordpress.com.”

Iya, benar… dalam artikel saya sebelum ini, saya jelaskan betapa Allah menegur kita yang kurang berterima kasih kepadaNya. Walhal nikmatNya begitu banyak. Bahkan tidak terhitung kalau mahu dikira. Allah menyatakan kepada kita dalam Surah Al-Nahl, ayat ke18, “ Sekiranya kamu mengira nikmat-nikmat Allah, kamu tidak mampu menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Rasa tidak berguna, rasa menyusahkan orang lain dan pelbagai perasaan negatif lain sering juga hinggap pada diri saya. Namun, saya akan muhasabah semula apa yang sedang saya lalui dan telah lalui selama ini. Iya, orang yang paling berguna di sisi Allah ialah orang yang punya HATI YANG HIDUP. Apa sahaja yang dia tempuhi, semuanya dikembalikan kepada Allah. Itu pun jika matlamat hidupnya sememangnya untuk meraih REDA ALLAH. Cara-cara atau kaedahnya juga diselaraskan dengan aturan-aturan Allah.

HATI YANG HIDUP tidak semestinya berada pada badan yang sihat dan kuat, harta yang banyak, kuasa yang besar dan pengaruh yang luas. HATI YANG HIDUP bisa sahaja berada dalam apa jua situasi meskipun jasad lahirnya kelihatan tidak berguna langsung. Kenang sahaja tokoh yang menderita sakit sehingga dihalau dari kampung halamannya sendiri, Nabi Ayyub. Hanya isteri yang setia menemani Nabi Ayyub ke mana sahaja dia pergi dan walau apa pun keadaan dia; Ketika kaya dan miskin, saat sihat dan kuat atau sakit yang lama. Isteri Nabi Ayyub tidak pernah melafazkan bahawa suaminya tidak berguna lagi.

Bukan sahaja Nabi Ayyub disisihkan, orang ramai juga tidak mahu mengambil isterinya bekerja setelah dikenali bahawa dia ialah isteri Ayyub. Pelbagai tanggapan buruk dilontarkan kepada Nabi Ayyub seperti menganggapnya tidak ikhlas dan lain-lain. Namun Nabi Ayyub yakin pada diri sendiri. Dia yakin HATINYA HANYA UNTUK ALLAH: tika senang, tika kaya, tika ramai kawan, tika ramai anak cucu, tika jatuh miskin, tika anak-anak semuanya ditarik kembali kepada Allah, tika badan luluh ditimpa penyakit, tika dihalau oleh orang-orang kampung, HATINYA tetap BERTASBIH, BERTAHMID dan BERSYUKUR kepada ALLAH. Justeru, ALLAH menyebut berulang-ulang kali melalui mukjizat Al-Quran, “ Sangat sedikit dari kalangan hamba-hambaNya yang bersyukur.”

Betapa ramai orang yang kaya raya, badan gagah perkasa, kuasa yang ampuh, pangkat yang tinggi, pengaruh yang merata dan pelbagai nikmat lagi, namun HATINYA rapuh terhadap ALLAH. Orang beginilah SEBENARNYA tidak berguna di sisi ALLAH. Bukan dia tidak mampu menjadi hamba yang bersyukur dengan kelebihan nikmat duniawi yang secubit cuma. Namun kalau dia memilih jalan kufur nikmat, maka kufurlah dia.

Kalau dia rasa dia mahu bersyukur tapi tidak mampu, dia patut tahu pernah ada manusia yang kuasanya meliputi manusia, jin, angin dan haiwan tapi HATINYA tetap PATUH dan TAAT kepada ALLAH. Juga manusia yang sama diberikan kekayaan melimpah ruah serta pelbagai keistimewaan lain namun HATINYA tetap sahaja BERTERIMA KASIH kepada ALLAH. Sehingga terlafaz doa, “Wahai Tuhan! Jadikanlah daku tetap bersyukur atas nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku dan kedua ibubapaku, juga agar aku senantiasa melakukan amal soleh yang Engkau redai. Masukkanlah daku – dengan belas kasihanMu- dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.” Siapakah insan bertuah itu? Siapa lagi kalau bukan Nabi Sulaiman. ÿ

Allah jua sebaik-baik teman.



OGOS 2008
keranacinta.wordpress.com

Petunjuk mendekati Tuhan

‘UMAR AL-KHATTAB BERKATA;

Aku berpesan kepadamu;

Hendaklah engkau takut kepada Allah tentang urusan manusia tetapi janganlah engkau takut kepada manusia tentang urusan Allah.

SALMAN AL-FARISI BERKATA;

Solat itu bagaikan timbangan, maka barangsiapa menepati timbangannya maka ia diberi cukup dan siapa yang mencuri timbangan maka kamu mengetahui ancaman Allah terhadap pencuri timbangan.

LUQMAN HAKIM BERKATA KEPADA ANAKNYA;

Sesungguhnya dunia ini lautan yang sangat dalam, dan di dalamnya telah tenggelam kebanyakan manusia. Oleh itu jadikan bahteramu di dunia TAQWA kepada Allah.

TIGA PERKARA YANG MENJADIKAN KERAS HATI;

•Tertawa tanpa sesuatu yang boleh mentertawakan.
•Makan tanpa rasa lapar.
•Bicara yang tidak perlu.
KALAU MEMILIH SAHABAT, PILIHLAH YANG MEMPUNYAI SIFAT BERIKUT;

1.Jika kamu melihat kepadanya teringat kamu kepada Allah
2.Jika kamu bercakap dengannya bertambahlah ilmu agamamu
3.dan Jika kamu melihatnya beramal teringat kamu kepada mati.
RASULULLAH SAW BERSABDA;

Wanita solehah ibarat gagak putih di tengah-tengah kumpulan gagak hitam dan terlalu sukar untuk kita mencarinya.



Jan 2008
keranacinta.wordpress.com

Kod babi pada makanan - penting untuk ummat Islam.

(Artikel ini telah diedit sedikit untuk memudahkan pembacaan- ummuabbas)
Oleh Dr.
M. Anjad Khan

Salah seorang rakan saya bernama Syeikh Sahib bekerja sebagai pegawai di
Badan Pengawasan Ubat & amp; Makanan (POM) di Pegal, Perancis. Tugasnya
adalah mencatat semua barang, makanan dan ubat-ubatan.

Produk apa pun yang akan dipasarkan oleh suatu perusahaan, produk tersebut harus mendapat izin terlebih dahulu dari Badan
pengawas Ubat dan Makanan Perancis. Syeikh Sahib bekerja di Badan tersebut bahagian QC. Oleh sebab itu dia mengetahui pelbagai jenis
bahan makanan yang dipasarkan.

Banyak daripada bahan-bahan tersebut ditulis dengan istilah ilmiah
namun ada juga beberapa yang ditulis dalam bentuk matematik seperti
E-904, E-141 . Awalnya, saat Syeikh Sahib menemui bentuk matematik
tersebut, dia ingin tahu dan kemudian menanyakan kod matematik tersebut
kepada seorang Perancis yang pakar dalam bidang itu. Orang
tersebut menjawab, “KERJAKAN SAJA TUGASMU, DAN JANGAN BANYAK TANYA.”

Jawaban tersebut menimbulkan rasa curiga buat Syeikh Sahib. Kemudian dia
mula menyelidiki kod matematik tersebut dalam dokumen yang
ada. Ternyata apa yang dia temui cukup memeranjatkan kaum muslimin
di dunia.

Hampir seluruh negara barat termasuk Eropah, pilihan utama untuk
daging adalah daging babi. Penternakan babi sangat banyak di
negara-negara tersebut. Di Perancis sendiri jumlah penternak babi
mencapai lebih dari 42000.

Jumlah kandungan lemak dalam tubuh babi sangat tinggi dibandingkan
dengan haiwan lain. Namun orang Eropah dan Amerika berusaha
menghindari lemak-lemak tersebut.

Yang menjadi pertanyaan sekarang; di manakah lemak-lemak babi
tersebut? Jawapannya adalah: Babi-babi tersebut dipotong di tempat
perniagaan (secara) kecil-kecilan dalam pengawasan Badan POM. Kemudian badan babi tersebut dipusing untuk membuang lemak. Kira-kira 60 tahun yang lalu, lemak-lemak tersebut dibakar.

Mereka berfikir untuk memanfaatkan lemak-lemak tersebut. Awal kajian, mereka membuat sabun dengan bahan lemak tersebut dan ternyata ia berhasil.

Lemak-lemak tersebut diproses secara kimiawi, dikemas sedemikian rupa
dan dipasarkan. Dalam pada itu negara-negara di Eropah memperlakukan
aturan yang mengharuskan bahan-bahan dari setiap produk makanan dan ubat-ubatan dicantumkan pada kemasan.

Oleh kerana itu bahan yang terbuat dari lemak babi dicantumkan dengan
nama Pig Fat (lemak babi) pada kemasan produk. Mereka yang sudah tinggal di Eropah selama 40 tahun terakhir ini mengetahui hal tersebut.

Namun produk dengan bahan lemak babi tersebut dilarang masuk ke
negara-negara Islam pada saat itu sehingga menimbulkan defisit
perdagangan bagi negara pengeksport.

Menoleh ke masa lalu, jika anda hubungkan dengan Asia Tenggara, anda
mungkin tahu tentang faktor yang menimbulkan perang saudara. Pada saat itu, peluru senapang dibuat di Eropah dan diangkut ke belahan benua
melalui jalur laut. Perjalanannya memakan waktu berbulan-bulan untuk sampai tempat tujuan sehingga bubuk mesiu yang ada di dalamnya
mengalami kerosakan akibat terkena air laut.

Kemudian mereka punya idea untuk melapisi peluru tersebut dengan lemak
babi. Lapisan lemak tersebut harus digigit dengan gigi terlebih dahulu
sebelum digunakan. Saat berita mengenai lapisan tersebut tersebar dan
sampai ke telinga tentera yang kebanyakan muslim dan beberapa vegetarian
(orang yang tidak makan daging), maka tentera – tentera tersebut menolak
berperang sehingga mengakibatkan perang saudara (civil war).

Negara-negara Eropah mengakui fakta tersebut dan kemudian menggantikan
catatan lemak babi dalam kemasan dengan mencatat lemak haiwan. Semua orang yang tinggal di Eropah sejak tahun 1970-an mengetahuinya.

Saat pengeluar produk ditanya oleh pihak berwajib dari negara Islam
mengenai lemak haiwan tersebut, maka jawapannya ialah lemak tersebut
adalah lemak sapi (lembu) & amp; domba, meskipun begitu, lemak-lemak tersebut masih haram bagi muslim kerana kaedah penyembelihan haiwan ternak tersebut tidak menurut syarak. Justeru itu produk dengan label baru tersebut tetap dilarang masuk ke negara-negara Islam.

Akibatnya, pengusaha produk menghadapi masalah kewangan yang
sangat serius kerana 75% penghasilan mereka diperoleh dengan menjual
produknya ke negara Islam, di mana laba pasaran ke negara Islam bisa
mencapai jutaan dolar.

Akhirnya mereka memutuskan untuk membuat kodifikasi bahasa yang hanya
diketahui oleh Badan POM sementara orang awam tidak mengetahuinya. Kod
tersebut diawalkan dengan kod E-CODES. E-INGREDIENTS ini terdapat di
banyak produk perusahaan multinasional termasuk pasta gigi, sejenis permen karet, coklat, gula-gula, biskut, makanan dalam tin, buah-buahan dalam tin dan beberapa multi vitamin dan masih banyak lagi jenis produk makanan & amp; ubat-ubatan lainnya.

Semenjak produk – produk tersebut di atas banyak di konsumsi [penggunaan
barang-barang (spt hasil pertanian, perusahaan, dll)] oleh
negara-negara muslim, kita sebagai orang Islam tidak terkecuali
sedang menghadapi masalah penyakit masyarakat yakni hilangnya rasa
malu, kekerasan dan seks bebas.

Oleh itu, saya mohon kepada semua umat Islam untuk memeriksa terlebih
dahulu bahan-bahan produk yang akan kita konsumsi dan merujuk
dengan daftar kod E-CODES berikut ini. Jika ditemukan kod-kod berikut
ini dalam kemasan produk yang akan kita beli, maka hendaknya dapat
dihindari kerana produk dengan kod-kod tersebut di bawah ini mengandungi
lemak babi.

E100, E110, E120, E 140, E141, E153, E210, E213, E214, E216, E234,
E252,E270, E280, E325,E326, E327, E334, E335, E336, E337, E422, E430,
E431, E432, E433,E434, E435, E436, E440,E470, E471, E472, E473, E474,

E475,E476, E477, E478, E481, E482, E483,E491, E492, E493,
E494, E495, E542,E570, E572, E631, E635, E904.

Menjadi tanggung jawab kita semua sebagai umat Islam untuk mengikuti
syariat Islam dan juga menghebah informasi ini kepada saudara kita.




JAN 2008
keranacinta.wordpress.com

Friday 3 July 2009

14 MEI - TERTUBUHNYA NEGARA HARAM YAHUDI


Dengan nama Allah yang Maha Agung.


Senarai rentetan peristiwa sehingga tertubuhnya negara haram Yahudi.

1895
Wartawan Yahudi bernama Theodor Herzl menerbitkan buku bertajuk "NEGARA YAHUDI". Wartawan tersebut melontarkan idea penubuhan sebuah negara berasaskan agama dan bangsa Yahudi.

28 OGOS 1897
Bertempat di Basle Switzerland diadakan persidangan Zionis/Yahudi yang pertama - mereka bersepakat menerima cadangan Herzl menubuhkan sebuah negara bagi kaum Yahudi di Palestin selepas 50 tahun. Dengan Theodor Herlz sebagai pemimpin pertama mereka mewujudkan Protokol Yahudi dan membentuk sebuah gerakan yang diberi nama Zionis.

1901
Tabung untuk mengumpul wang bagi "membeli" bumi Palestin diwujudkan. Ketika itu, Palestin masih dibawah kerajaan Islam Uthmaniyyah.

1902
Setelah gagal buat kali pertama(1901) - sekali lagi Theodor Herzl pergi ke Turki untuk berjumpa Khalifah Islam (Sultan Abdul Hamid - Sultan Khilafah Islamiyah yang terakhir). Bertujuan memujuk Sultan membenarkan orang Yahudi membeli tanah kosong di Palestin. Sebagai balasannya Zionis akan membayar kepada Sultan Abdul Hamid :

•150 jutawang emas Inggeris
•Melangsaikan semua hutang kerajaan Khilafah Uthmaniyyah
•Menubuhkan satu pasukan armada tentera laut untuk kerajaan Khilafah Uthmaniyyah.
•Membina Universiti Uthmaniyyah di Baitul Maqdis.
•Memberi sokongan politik kepada Sultan di Eropah dan Amerika.
Jawapan Sultan Abdul Hamid atas tawaran tersebut :
"Saya tidak bloeh bertolak ansur walaupun sejengkal daripada bumi Palestin kerana ia bukan milik saya. Ia adalah milik muslimin yang telah berjihad dan mengorbankan darah untuk mendapatkannya. Sekiranya kamu membayar kepada saya dengan seluruh emas yang ada dimuka bumi ini sekalipun saya tidak kan membenarkan kamu mengambil bumi Palestin."

1904
Kematian Theodor Herzl - diganti dengan Hayim Waizman.

2 NOVEMBER 1917
British mengisytiharkan melalui perjanjian Bulfor supaya negara Yahudi ditubuhkan di Palestin, Amerika menyokong.

1920
Moscow menghantar Vladimir Jabotinsky ( Yahudi Russia) ke Palestin untuk memberi latihan ketenteraan kepada pemua-pemuda Yahudi.

SEPTEMBER 1923
British secara rasmi menjajah Palestin - ia merupakan resolusi daripada PBB. Umat Islam Palestin marah dan menentang penjajahan ini.

1924
Mustafa Kamal Attarturk menumbang Khilafah Uthmaniyyah - LENYAPLAH SISTEM PEMERINTAHAN ISLAM DI MUKA BUMI YANG MENJADI BENTENG KEPADA TERTEGAKNYA KETUANAN ISLAM.

1928
Jemaah Ikhwanul Muslimin dipimpin oleh As Syahid Imam Hasan Al Banna ditubuhkan. Merupakan jemaah Islam yang pertama ditubuhkan selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah. Hasil tarbiyah Ikhwanul Muslimin dan Imam Hasan Al Banna memberi kesan yang besar kepada perjuangan di Palestin hingga ahli jemaah ini sanggup berada di sof pertama dalam perjuangan menentang Yahudi pada tahun 1948.

20 OKTOBER 1930
British menerbitkan kertas putih yang menghadkan bilangan Yahudi berhijrah ke Palestin, untuk meredakan kemarahan umat Islam. Tapi sebaliknya, pada masa yang sama British berjanji kepada kaum Yahudi bahawa sebuah negara Yahudi akan tertubuh di Palestin.

20 NOVEMBER 1935
As Syahid 'Izzuddin Al Qassam - seorang ulama' terkenal berasal dari Syria dibunuh setelah bertempur dengan tentera Inggeris. Kematian beliau menimbulkan kemarahan umat Islam.

16 OGOS 1947
Sidang PBB membahagikan Pelstin kepada dua bahagian, satu untuk Arab dan satu lagi untuk Yahudi.

31 MAC 1948
Pembunuhan di Kampung Abu Kabir. Kumpulan Hajnah membunuh semua penduduk yang cuba melarikan diri.

9 APRIL 1948
Yahudi dari kumpulan Hajnah dan Argun diketuai oleh Manachem Begin telah membunuh 250 muslimin di Dir Yasin, 100 daripada meraka adalah wanita. Umat Islam yang masih hidup diangkut dengan trak dan dilontar dengan batu.

14 MEI 1948
Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh pengganas Israel ke atas 50 orang Islam di Kampung bau Syahsyah. Sebahgian mereka ditembak dengan senjata api dan sebahagian yang lain dikapak kepala mereka.

Pada hari ini juga British mengakhiri penjajahannya di Palestin dan mengisytihar penubuhan negara Israel, sehari selepas itu Presiden USA mengiktiraf kedaulatan negara haram Israel pada jam 11.12 pagi.



Rujukan : buku NOSTALGIA SYUHADA' PALESTIN - IBNU ISMAIL- AL QASSAM LIBRARY-

moral of the story : DIDIKLAH ANDA UNTUK MENCINTAI ALLAH DAN RASULNYA PASTI DIA KAN MENCINTAI ANDA.....DIDIK ANAK ANDA DENGAN PANDUAN AL QURAN DAN SUNNAH SERTA KEBERANIAN, MENCINTAI JIHAD DAN MATI SYAHID, ANDA PASTI BAHAGIA DI AKHIRAT NANTI...INSYAALLAH.

Darjat pembaca al-Quran.


(1)Jutawan - membaca 300-1000 ayat sehari
(2)Jayawan - membaca 200-299 ayat sehari
(3)Setiawan - membaca 100-199 ayat sehari
(4)Pemelihara - membaca 50-99 ayat sehari
(5)Yang Ingat - membaca 10-49 ayat sehari
(6)Yang lalai - membaca 0-9 ayat sehari
(Petikan dari buku HIDUP BERTAQWA oleh Dato' Ismail Kamus)

p/s : dimana agaknya kedudukan kita..?

•1-Diriwayatkan daipada Abu Umamah ra, katanya: Aku medengar Rasulullah S.A.W. bersabda: (Terjemahan): “Bacalah Al-Qur’an kerana dia akan datang pada hari Kiamat sebagai juru syafaat bagi pembacanya.” (Riwayat Muslim)
2- Barangsiapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut.
3- SURAH AL-DUKHAN Sabda Rasulullah S.A.W. "Barangsiapa membaca surah Ad-Dukhan di waktu malam maka meminta ampun baginya 70,000 Malaikat di waktu pagi."(H.R. al-Tirmidzi)
4- SURAH AL-MULK Sabda Rasulullah S.A.W. Barangsiapa membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur nescaya Allah SWT akan membebaskannya dari azab kubur.
5- Barangsiapa membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 10 kali Allah SWT akan membangunkan untuknya sebuah istana di syurga.

+ dipetik dari laman tuan ambuyat el-binangkit untuk ingatan bersama +



Alahan yang menginsafkan.

Aku mengalami alahan yang agak lama setiap kali hamil. Ini kehamilan yang kelima. Sudah masuk minggu ke 15. Sebelum ini, orang selalu cakap, biasanya 3 bulan pertama ibu alami alahan yang teruk, kemudian ia akan reda setelah usia kandungan meningkat. Itu pengalaman kebanyakan ibu-ibu. Ada juga yang bernasib baik, tidak mengalami alahan langsung. Namun bagi aku, sehingga 7 bulan alahan dialami. Ia sangat menganggu kerja-kerja harian. Terutama dalam menguruskan anak-anak sedia ada. Ia sungguh menyiksakan. Kalau kita luka di satu-satu tempat, kesakitan itu tertumpu di bahagian yang sakit itu sahaja. Namun alahan mengandung menganggu keseluruhan badan. Mual. Loya. Pening. Tiada selera makan. Tidak boleh bau itu. Tidak boleh bau ini. Yang paling teruk, bau badan suami pun begitu meloyakan iaitu pengalaman semasa hamil anak sulung. Tekanan angin dalam badan bercampur aduk. Ya Allah, benarlah kenyataanMu dalam surah Luqman ayat 14;

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Patutlah Engkau perintahkan, anak-anak taat pada ibunya selagi tidak menderhakaiMu.

Patutlah NabiMu pesan sahut panggilan ibumu dahulu 3 kali, yang ke empat baru panggilan ayahmu.

Patutlah Engkau menitahkan para suami memperelokkan pergaulan dengan isteri serta mendidik mereka dengan cara yang patut.

Dalam usaha mahu mententeramkan diri, aku teringat pada Allah dan rasa takut untuk merungut-rungut terhadap kesakitan ini. Lantas aku berdoa;

‘ Ya Allah! Nikmat Mu terlalu banyak yang tidak kusyukuri. Berapa peratus sangat kesakitan ini dibandingkan dengan lautan nikmatMu. Apatah lagi, kesakitan ini merupakan kifarat dosa percuma untukku. Juga pamitan kasih dariMu agar senantiasa mengingatiMu serta berdoa penuh harapan padaMu. Aku sentiasa lalai. Sering alpa. Jarang benar hatiku berdoa penuh khusyu’ (tumpuan) dan khudu’ (merendah diri) terhadapMu sedangkan setiap saat Engkau amat merindui doa dan aduan dari para hambaMu. Engkau Maha Gagah Perkasa. Maha Kaya. Maha Mengasihani. Maha Pengampun. Namun keluasan rahmatMu itu jarang dimanfaatkan oleh hambaMu. Terngiang-ngiang kalimah ‘qalilammaatasskurun’ di lubuk sanubariku (ertinya sedikit sekali dari kalangan kamu yang berterima kasih).

Allah memberi pelbagai kemampuan kepada kita supaya kita bersyukur sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 10 surah al-A’raaf,

Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu berterima kasih.

Allah jua yang mengurniakan pendengaran dan penglihatan kepada kita. Sudahnya ke mana kita gunakan nikmat yang amat hebat tersebut? Kebanyakan dari kita menggunakan untuk melawan Dia balik. Kita dengar perkara yang melalaikan dari mengingati Allah. Kita melihat perkara yang memuaskan nafsu syahwat semata. Hati kita serahkan kepada makhluk yang buta tentang hakikat cinta. Telitilah pesanan Allah lewat wahyunya dalam surah al-Mu’minun ayat 78,

Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu berterima kasih.


Belum lagi hati kita mahu tersentuh dengan ingatan di atas? Allah tidak pernah jemu mengingatkan kita sekalipun kita jemu untuk mengingatiNya. Itu tanda cinta Yang Maha Agung, Zat yang mahukan keselamatan, kebahagiaan dan ketenangan buat kita hambaNya. Mari kita susuli lagi ‘Surat Cinta’ di bawah yang tercatat di lembaran surah As-Sajdah, ayat 9,

Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: Roh ciptaanNya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu berterima kasih.

Bagaimana pula dengan bait cinta di lembaran al-Mulk, ayat 23,

Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu berterima kasih.

Ya Allah, moga limpahan air jernih yang mula bergenang di bibir mataku ini bisa memadamkan kemurkaanMu. Moga, hati yang bergetar kerana mengenangkanMu ini menambah suhu iman di dada. Moga… ruh yang banyak dosa ini disucikanMu hingga layak menatap wajahMu di akhirat kelak. Jambatan kematian itu menjadi kerinduanku kerna ia penghubung ruh yang fana dengan zat yang kekal abadi. Namun, biarlah segala tanggungjawab dan kewajiban kuselesaikan dahulu. Terutama hutang jika ada, kerna ia bisa menggantung ruh walau syahid dari mengadapMu.’



http://keranacinta.wordpress.com

Tip-tip mengenal diri mukmin atau munafik.

Sesungguhnya orang mukmin itu tujuannya adalah di dalam solat dan berpuasa,
Sedangkan orang munafik disibukkan rakus dan panjang angan-angan.

Orang mukmin putus harapan dari setiap orang selain Allah.
Sedangkan orang munafik mengharapkan setiap orang kecuali Allah.

Orang mukmin menghulurkan hartanya kerana agama Allah.
Sedangkan orang munafik menghulurkan agamanya demi kepentingan hartanya.

Orang mukmin merasa aman dari semua orang kecuali dari Allah.
Sedangkan orang munafik takutkan semua orang kecuali kepada Allah.

Orang mukmin berbuat baik tetapi tetap menangis.
Sedangkan orang munafik berbuat jahat tapi masih boleh ketawa.


Orang mukmin suka menyendiri dan beruzlah.
Sedangkan orang munafik suka bercampur serta mengikut rombongan.

Orang mukmin menanam dan khuatir akan kerosakannya.
Sedangkan orang munafik mencabut dan mengharapkan hasil tuaiannya.

Orang mukmin memerintah dan melarang kerana agama serta mengerjakan kebaikan.
Sedangkan orang munafik melarang kerana kepimpinan serta memusnah,
Malahan dia menyuruh yang munkar dan menegah yang makruf.

• Madah Imam Al-Ghazali.

‘Bertanyalah orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui’


http://keranacinta.wordpress.com

Thursday 2 July 2009

Pesanan untuk wanita solehah.


Pesanan ulama terhadap para wanita :
1. Solat di awal waktu
2. Membaca Al Quran secara istiqamah
3. Ta’lim wa ta’allum
4. Mendidik anak secara sunnah
5. Hidup sederhana
6. Menutup aurat secara sempurna
7. Melayani suami dengan baik
8. Mendorong suami dan muhrim untuk keluar di jalan Allah


1. Sholat Di Awal Waktu
-Berwudhu sebelum adzan
-Mendorong suami, saudara laki2, anak laki2, kaum bapa untuk solat berjemaah di masjid
-Meninggalkan semua kegiatan waktu adzan dikumandangkan
- Memperbanyak solat-solat sunnah (rawatib, Isyraq, dhuha, tasbih, awwabin, tahajud dan witir).

2. Membaca Al Quran dan Zikir Pagi Petang secara Istiqamah
-Mengusahakan membaca 1 juz setiap hari bagi yang sudah lancar membaca dan 3 juz per hari bagi yang hafidzah.
-Membaca surat As Sajadah dan Al Mulk di antara maghrib dan Isyak
-Membaca surat Yasin pagi dan petang
-Membaca Al Waqiah sebelum tidur
-Membaca surat Ad Dukhan setiap hari
-Membaca Tasbih , selawat, dan istighfar dengan masing2 100 kali di waktu setelah solat subuh dan setelah solat asar

3. Ta’lim wa Ta’allum
-Menghidupkan majlis ta’lim secara istiqamah setiap hari di rumah
-Menceritakan kisah para Nabi dan para shahabat dengan cara yang mudah difahami oleh anak
-Mengajarkan cara solat, cara berpakaian mengikut sunnah, dan sunnah2 nabi dalam aktiviti seharian(makan, tidur, safar, istinja, dll).

4. Mendidik anak Secara Sunnah
-Memperkenalkan sunnah kepada anak sejak kecil
-Mendidik mereka adab-adab, doa-doa nabi, serta cara bergaul antara lelaki dan perempuan.
-Beri contoh dengan contoh yang baik (contoh dari kisah Rasulullah saw)
-Mendidik solat ketika berusia 7 tahun dan membiasakannya untuk solat 5 waktu dan solat2 sunnah
-Hidup harusla hormat-menghormati antara satu sama lain tidak kira muda atau pun tua
-Kita harus mencontoh kehidupan Rasulullah yang sederhana
-Jangan sembarangan membelanjakan harta suami secara berlebih-lebihan dan tidak tepat, bermusyawarahlah untuk setiap pengeluaran.
-Belanja mengikut keperluan dan bukan memenuhi keinginan nafsu.
-Mengatur keuangan keluarga

6. Menutup Aurat secara Sempurna
Aurat wanita di luar solat seluruh tubuhnya harus di tutup secara sempurna ketika keluar rumah dan ditemani dengan mahramnya

7. Melayani Suami
-Mempersiapkan semua keperluan suami dan menguruskan rumah dengan bersih dan rapi
-Mencuci baju (harus dibilas terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam washer machine), memasak dan mengemas
-Diam ketika suami berbicara
-Menghantar suami dimuka pintu apabila suami hendak keluar rumah, salam serta menciumnya dengan penuh rasa kasih dan sayang
-Berhias / rapi / bersih / wangi di hadapan suami
-Memakai wangi-wangian
-Memelihara bau mulut (sebaik-baiknya bersugi setiap kali hendak solat kerana sugi dapat menghilangkan bau mulut yg tidak enak)
-Menawarkan diri ketika mau tidur

8. Mendorong Suami dan Muhrim untuk Keluar di Jalan Allah
- Mengingatkan dan menyiapkan keperluan mereka
- Mengorbankan segala yang ada untuk memperjuangkan agama Allah

Ingat la kerana setiap perkara diatas sekiranya dilakukan kita akan mendapat pahala. Setiap amalan serta ibadah yang dilakukan semasa suami keluar dijalan Allah kita juga akan mendapat pahala yang sama juga malah kita akan diberi keutamaan untuk memasuki ke dalam syurga 500 tahun terdahulu daripada suami kita. Kita juga boleh memilih mana-mana pintu syurga untuk memasukinya.InsyaAllah...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin