Thursday 27 January 2011

MENDIDIK ANAK ILMU KEBAL



“Dalam banyak-banyak ilmu, rasa antalah, ilmu apa yang paling anta ambil berat untuk diajar kepada anak-anak?” tanya seorang sahabat.
Soalan itu adalah lanjutan daripada tanda-tanya beliau mengapa saya agak kurang menulis tentang keibubapaan kebelakangan ini. Saya sedang melalui saat-saat yang sukar untuk belajar dan mengajar, kerana Cabaran anak-anak terus berubah dengan cepat dari semasa ke semasa.
“Ilmu kebal!” jawab saya.
"Ilmu kebal? Ilmu mandi minyak ke?” tanya beliau lagi.
“Bukan. Ilmu kebal jahiliyyah. Ilmu ikan tidak masin di laut” saya menyambung lagi.
Kami ketawa.
“Oh, itu rupanya. Dimensi lain seni mempertahankan diri,” ujar beliau.

PEMANGSA MAKIN MENGGILA

Saya hilang kata memikirkan tentang keselamatan anak-anak sekarang. Pelbagai kes jenayah adakalanya menyebabkan kita jadi berlebih-lebihan dalam memberikan pelindungan kepada anak-anak. Hingga tidak boleh hilang di pandangan mata, biar pun seketika.
Mahu sahaja saya pakaikan anak dengan baju besi, menyiapkannya dengan bom C4 untuk dilontar kepada penjenayah-penjenayah tidak berhati perut yang menggila tanpa mengira usia mangsanya.
Tetapi kerisauan saya lagi, adalah tentang pemangsa yang abstrak.
Pemangsa yang tidak kelihatan, ia muncul dalam bentuk budaya, pemikiran, nilai, cara berfikir, yang semua itu adalah komponen-komponen aqidah yang menjadi akar umbi kepada jati diri seorang anak, ibu dan bapa bernama MUSLIM.

Ritual atau persoalan-persoalan berkaitan Fardhu ‘Ain tidak lagi boleh dijadikan ukuran bahawa si anak sudah menerima nafkah spiritual daripada ibu bapanya. Sembahyang lima waktu, doa setiap waktu, hafal rukun ini dan hafal rukun itu, semua itu penting dan pengajarannya perlu berterusan. Tetapi anak-anak harus cepat difahamkan tentang hakikat, semua itu adalah proses. Bukan matlamat akhir.
Agar jangan nanti hati terkilan mendengar kisah seorang gadis yang bertudung, bersolat dan hafal surah Yasin, murtad kerana cinta!

Bukan andaian.
Tetapi latar belakang individu murtad seperti Aisyah Bukhari dan Hartina pada era 90′an lalu, menunjukkan hal yang demikian. Biar pun kes murtad mereka masih diselubungi pelbagai tanda tanya, sekurang-sekurangnya kita tahu mereka berdua bukanlah miskin didikan agama. Khatam Quran berkali-kali, dan cukup serba serbi dalam amalan Fardhu ‘ain mereka, belum berjaya berfungsi sebagai ILMU KEBAL yang saya maksudkan.
Inilah hujah paling penting mengapa kita tidak boleh bergantung dan berpuas hati dengan silibus sekolah, sama ada silibus agama di sekolah biasa, mahu pun silibus agama di sekolah agama. Ada banyak perkara yang perlu diubah suai oleh guru agung anak-anak ini, iaitu ibu bapa mereka, dalam kehidupan seharian di rumah.

PANDUAN MEMBUAT KEPUTUSAN DAN PILIHAN

Sebagaimana yang pernah saya ungkapkan dalam artikel TELEVISYEN MANUSIA MUKALLAF, saya akui pengaruh televisyen dalam jadual kehidupan anak-anak di rumah amat mencabar. Fikir mudahnya, mahu sahaja saya buang isi perut televisyen itu, dan menukarnya kepada sebuah akuarium bersiaran ikan sepanjang masa.
Tetapi televisyen adalah salah satu elemen yang penting untuk mengajar anak ilmu yang sukar ini. ILMU MEMILIH.
Saya dan isteri mencuba sedaya upaya.
Ada banyak rancangan televisyen yang bagus untuk anak-anak. Tetapi dalam masa yang sama, televisyen juga memaparkan banyak program yang tidak mempunyai sebarang kebaikan, selain hiburan melampau, kelalaian dan penggunaan bahasa-bahasa kesat yang sudah mengalami proses normalisasi.
Di sinilah, saya cuba belajar berperanan mendidik anak membuat pilihan.
Peringkat pertama adalah peringkat mendidik mereka memilih dari sehari ke sehari.
Peringkat kedua, menyemak kesan pilihan mereka dan melakukan muhasabah mengenainya.
Peringkat pertama, telah, sedang dan masih diteruskan.
Peringkat kedua, kami baru melepasi fasa ‘Peperiksaan Pertengahan Tahun’.

MUHASABAH

“Yop rasa keputusan peperiksaan Yop elok ke tak elok?” saya bertanya.
Soalan ditanya dalam suasana yang sangat santai dan rehat, agar anak faham bahawa soalan itu bukan soalan ancaman atau hukuman, tetapi perbualan untuk tafahum, faham memahami.
“Tak elok,” jawabnya.
“Tapi bagus sebab banyak matapelajaran meningkat. Yop pun dah tambah rajin sekarang. Betul tak?” saya mahu dia sedar akan peningkatan yang ditunjukkannya, serta menghargainya.
“Ya, Sains Yop bagus,” katanya.
"Yop suka Sains?” saya bertanya lagi.
“Suka. Sebab Yop suka tengok TV IQ” kata beliau.

Saya sedar, dalam proses memilih rancangan-rancangan televisyen yang boleh dan tidak boleh ditonton, anak saya sudah bertemu dengan beberapa rancangan yang digemarinya, dan rancangan itu benar-benar menambah nilai dalam pembelajarannya. Backyard Science, adalah contoh program kreatif untuk mendekatkan Sains dengan kehidupan anak-anak.
Beberapa animasi di dalam rancangan Playhouse Disney juga banyak membantu peningkatan vocab anak saya.
Tetapi ASTRO Ceria, Cartoon Network, Nickelodeon dan Disney Channel masih dikunci dengan kata laluan. Ia hanya dibuka sesekali sebagai ganjaran apabila keadaan mengizinkan.

“Tapi bila campur-campur semua, masih belum cukup bagus, kan?” saya bertanya lagi.
Saiful Islam mengangguk.
“Kenapa agaknya keputusan belum cukup bagus?” saya menyambung proses muhasabah.
“Sebab Yop banyak tengok TV” akui beliau.

Alhamdulillah, saya mahu beliau sendiri sedar akan kesilapannya. Melepaskan diri daripada tabiat suka menonton televisyen, adalah sangat susah. Cara mudahnya ialah dengan menghilangkan terus televisyen dari kehidupan mereka. Tetapi saya masih mahu bereksperimen.

Mengajar anak ILMU KEBAL. Salah satu silibusnya ialah ILMU MEMILIH dan MEMBUAT KEPUTUSAN.

Anak saya sudah faham, sebab di sebalik nasihat demi nasihat, bahkan leteran demi leteran yang datang daripada saya, ibunya malah pembantu rumah. Menonton televisyen itu boleh, tetapi ada batasnya. Apabila batas itu dilanggar, hukuman dunia sudah cukup memeritkan kalau tidak hukuman Akhirat yang menanti.
Itu soal televisyen dan pilihan.

MEMAHAMI IBADAH

Sesetengah ibu bapa berpuas hati kalau anaknya menghafal doa.
Doa sebelum dan selepas makan, doa pakai baju, doa masuk dan keluar tandas dan macam-macam doa lagi.
Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’aala tidak memandang kepada doa yang datang daripada hati yang alpa. Salah satu kealpaan hati yang terjadi ialah apabila doa diungkapkan tanpa mengetahui akan maknanya.
Ia bukan sahaja soal bahasa doa itu bahasa Arab.
Malah jika doa itu dalam bahasa pertuturan seharian kita sekali pun, ia mungkin doa yang tidak difahami andai pembacaannya hasil hafalan semata-mata.

“Yop bacalah doa. Keretapi sudah mahu bergerak” saya berpesan.
Kami berdua dalam perjalanan balik ke Ipoh. Saya ada tugasan di Ipoh, dan membawa seorang anak dapat meredakan sedikit ‘perang saudara’ mereka di rumah.
“Yop tak ingatlah. Susah doa tu,” katanya.
“Apabila kita berdoa, kita minta apa, Yop?” saya cuba mengorek apa yang anak saya faham tentang doa.
“Kita minta selamat. Minta Allah tolong,” jawab Saiful Islam.
“Hah, mintalah keselamatan dan pertolongan dari Allah,” kata saya.
“Ya Allah, Yop dan Abi nak pergi rumah opah. Selamatkanlah kami. Selamatkanlah keretapi. Bagilah kami selamat sampai, dapat jumpa Opah, dapat jumpa Pak Long, Ameen,” doa Saiful Islam.

Entah kenapa, saya berasa sangat sebak hati mendengarnya. Perkataan yang diungkapkan oleh si anak, tulus dari hati dan fikirannya yang faham dengan apa yang diminta, sungguh bermakna. Mudah-mudahan di sisi Allah, doa sedemikian lebih besar harganya.
Apa yang saya dan isteri cuba tambahkan ialah tahmid dan selawat pendek di awal dan di hujung doa. Itu sahaja.

DOA PASCA PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

“Yop bacakan doa, boleh?” saya meminta Saiful Islam membaca doa usai kami solat berjemaah di suatu hari.
“Ya Allah, Yop minta ampun. Yop minta maaf. Yop banyak buat salah. Ampunkan kesalahan Yop, ibu dan bapa Yop, adik-adik Yop, cikgu-cikgu Yop, kawan-kawan Yop dan saudara mara Yop. Tolonglah supaya Yop, Naurah dan Imad boleh jadi anak yang baik, rajin, suka membantu Abi dan Umi. Tolonglah Yop supaya Yop jangan suka tengok tv. Bagi Yop suka belajar dan baca buku. Bagilah kebaikan di dunia dan di Akhirat. Masukkan kami semua ke dalam Syurga dan jauhkan kami dari Neraka. Ameen!”
Doa itu sangat tulus.

Saya menyambutnya dengan air mata.
Selesai sudah bab 1 dari subjek ILMU KEBAL untuk anakku.

saifulislam.com
Julai 2009

Sunday 16 January 2011

MANUSIA SEBAGAI HAMBA DAN KHALIFAH ALLAH


PERANAN MANUSIA


Manusia dijadikan oleh Allah bukan secara sia-sia dan main-main bahkan, mempunyai peranan dan matlamat yang tertentu. Firman Allah SWT:Maksudnya :“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu’minun:115)Di antaranya ialah sebagai khalifah Allah yang akan mentadbir, mengurus dan membangunkan bumi ini mengikut syariat dan peraturan Allah dan juga sebagai hamba yang sentiasa beribadah kepadaNya.


8.1 KONSEP MANUSIA SEBAGAI HAMBA DAN KHALIFAH ALLAH.


8.1.1 Tanggungjawab Manusia Sebagai Hamba.


Allah SWT dengan kehendak kebijaksanaanNya telah mencipta makhluk-makhluk yang di tempatkan di alam penciptaanNya. Manusia di antara makhluk Allah dan menjadi hamba Allah SWT. Sebagai hamba Allah tanggungjawab manusia adalah amat luas di dalam kehidupannya, meliputi semua keadaan dan tugas yang ditentukan kepadanya.


Tanggungjawab manusia secara umum digambarkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis berikut. Dari Ibnu Umar RA katanya; “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Semua orang dari engkau sekalian adalah pengembala dan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang digembalainya.Seorang laki-laki adalah pengembala dalam keluarganya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Seorang isteri adalah pengembala di rumah suaminya dan akan ditanya tentang pengembalaannya.Seorang khadam juga pengembala dalam harta tuannya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Maka semua orang dari kamu sekalian adalah pengembala dan akan ditanya tentang pengembalaannya.”(Muttafaq ‘alaih)


Allah mencipta manusia ada tujuan-tujuannya yang tertentu. Manusia dicipta untuk dikembalikan semula kepada Allah dan setiap manusia akan disoal di atas setiap usaha dan amal yang dilakukan selama ia hidup di dunia. Apabila pengakuan terhadap kenyataan dan hakikat wujudnya hari pembalasan telah dibuat maka tugas yang diwajibkan ke atas dirinya perlu dilaksanakan.


8.1.2 Manusia Sebagai Khalifah Allah.


Antara anugerah utama Allah kepada manusia ialah pemilihan manusia untuk menjadi khalifah atau wakilNya di bumi. Dengan ini manusia berkewajipan menegakkan kebenaran, kebaikan, mewujudkan kedamaian, menghapuskan kemungkaran serta penyelewengan dan penyimpangan dari jalan Allah.


Firman Allah SWT :“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku jadikan di bumi seorang Khalifah.


Berkata Malaikat: Adakah Engkau hendak jadikan di muka bumi ini orang yang melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan bertaqdis dengan memuji Engkau?


Jawab Allah: Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.” (Al-Baqarah:30)


Di kalangan makhluk ciptaan Allah, manusia telah dipilih oleh Allah melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini sudah tentu kerana manusia merupakan makhluk yang paling istimewa.


8.2 PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA SEBAGAI HAMBA DAN KHALIFAHNYA.


Tanggungjawab manusia sebagai hamba dan khalifah kepada Allah secara khususnya meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan. Tanggungjawab tersebut bolehlah dirumuskan seperti berikut:


1. Mengabdikan diri kepada Allah menerusi beriman kepada Allah dan melakukan amal soleh dalam bentuk yang sempurna.


2. Sebagai hamba, manusia perlu melaksanakan amanah Allah, memelihara serta mengawal agama Allah serta ajaran Allah SWT.


3. Ke arah melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah ini, manusia hendaklah menyedari dan memahami bahawa kewajipan berdakwah dengan menyebarkan dan memperluaskan ajaran Islam ke arah menegakkan syiar Islam serta meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini, dengan berperanan menegakkan amar makruf serta mencegah kemungkaran.


Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam). Dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104)


Apabila tugas menyeru kepada Islam dilakukan secara meluas dan menyeluruh dan dapat memberi kesedaran dan keinsafan nescaya akan dapat mewujudkan manusia yang faham akan tanggungjawab dan menjadi manusia yang bertanggungjawab.


4. Sebagai khalifah Allah, yang dimaksudkan dengan wakil Allah, wajiblah manusia menjaga agama dengan melaksanakan dua perkara:


i) Menegakkan Islam. Dengan berdakwah kepada manusia seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA dan membuktikan kebaikan ajaran Islam dan hukumnya di samping mempertahankan agamanya dari ancaman musuh.


ii) Melaksanakan Islam. Dengan mengamalkan perintahNya dan meninggalkan laranganNya, dalam semua urusan termasuk juga urusan kemasyarakatan dan kenegaraan.


5. Bertanggungjawab menjauh dan memelihara diri dan keluarga daripada masuk ke dalam neraka.Firman Allah SWT yang bermaksud :“Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh Malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim : 6)


Begitulah di antara tanggungjawab besar yang wajib dilaksanakan oleh setiap manusia yang hidup di atas muka bumi Allah. Seterusnya ia mestilah kembali kepada Islam, menghayati Islam, kembali kepada beriman dan beramal soleh.





JUN 2010

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin