Thursday 22 September 2011

THA'LABAH : KISAH PEMUDA BERCITA SYURGA.



Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah seorang daripada para sahabat Nabi S.A.W. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung.
Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta'labah.
Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.
"A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."
Rintihan Tha'labah
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.
Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.
Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.
Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.
"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
Cita-citanya hanya Syurga
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."
Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!
Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?
Tepuk dada, tanya iman. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.



OLEH : FARIS ZULKHARNANE


http://www.iluvislam.com/inspirasi/tokoh/1761-thalabah-kisah-pemuda-bercita-syurga.html#.Tnnx9ib8jV8.facebook





Wednesday 21 September 2011

10 GANGGUAN SYAITAN KETIKA DALAM SOLAT.






Semoga ia beroleh manfaat dan sentiasa mempertingkatkan mutu ibadah kepada Allah Taala.



Antara gangguan itu adalah:

1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram
Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.
Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.
Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.
Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.
“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan
Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan
Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.
Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.
Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat
Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.
Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.
Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu
Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.
“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat
Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Menguap dan mengantuk
Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).
Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat
Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).
Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

10) Terasa ingin buang angin atau buang air
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).
Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.
Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.

bersama Ustaz Mohd Zawawi Yusoh


Dikongsi dari 'page' Rahsia Perkahwinan' (Facebook).

Sunday 18 September 2011

7 STRATEGI SYAITAN MENIPU ORANG BERIBADAH



Syaitan menggunakan 7 strategi terhadap manusia agar meninggalkan ibadah kepada Allah Ta'ala: 

1. MELARANG manusia dari mentaati kepada Allah.

Orang-orang yang dipelihara Allah, akan menolak ajakan itu dan akan berkata:
Aku sangat memerlukan sekali kepada pahala dari Allah, kerana aku harus mempunyai bekal dari dunia untuk akhirat yang kekal abadi.


2. Bila strategi melarang gagal, syaitan mengajak manusia untuk MENANGGUHKAN taat; nanti saja atau kalau sudah tua, dan sebagainya.

Orang-orang yang terpelihara akan menolak ajakan itu dan akan berkata:
Ajalku bukan pada tanganku; jika aku menunda-nunda amal hari ini untuk esok, maka amal hari esok bila akan aku kerjakan, padahal tiap-tiap hari dan waktu mempunyai amal tersendiri dan hak hukum waktunya.


3. Kadang-kadang syaitan akan mendorong manusia supaya terburu-buru mengerjakan amal baik dengan amat segera dan katanya: Ayuh cepat-cepat beramal supaya engkau dapat memburu lagi amal lainnya.

Orang-orang yang selamat tentu menolak dan berkata:
Amal yang sedikit tapi sempurna lebih baik daripada amal banyak tetapi tidak sempurna. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda dengan maksud:
"Tergopoh-gopoh itu pembawaan dari syaitan, kecuali dalam lima perkara;
1. Mengkahwinkan anak perawan jika telah sampai waktunya.
2. Membayar hutang jika sudah sampai janjinya.
3. Menguruskan mayat bila datang ajalnya.
4. Menghormati tetamu di kala ia datang bertandang.
5. Bertaubat setelah mengerjakan dosa.


4. Syaitan itu lalu menyuruh manusia supaya mengerjakan amal baik dengan sempurna dengan NIAT selain Allah. Contohnya: untuk meraih pujian manusia

Orang-orang yang terpelihara tentu menolaknya dan akan berkata;
Untuk saya cukup dinilai oleh Allah sahaja dan tidak ada faedahnya beramal kerana manusia. Ini adalah isyarat supaya manusia RIYA' dalam amalnya.


5. Setelah itu syaitan menancapkan perasaan dalam hati orang yang beramal dengan mengatakan; Betapa tingginya darjatmu dapat beramal sholeh dan betapa pula cerdikmu dan kesempurnaanmu. Hasilnya, orang yang beribadah itu merasa UJUB (kagum dengan diri sendiri)

Orang-orang yang baik akan menjawab:
Semua keagungan dan kesempurnaan itu kepunyaan Allah, bukan kekuatan atau kekuasaan aku. Allah lah yang memberi taufiq kepadaku untuk mengerjakan amal yang Ia redhoi, dan memberikan ganjaran yang besar dengan anugerah kurniaNya. Jika sekiranya tanpa kurnia Allah, maka apalah harganya amalku ini dibandingkan dengan banyaknya nikmat Allah kepadaku, di samping dosaku yang banyak pula.


6. Setelah jalan kelima gagal, maka syaitan MENGGALAKKAN orang itu beribadah dengan hebat. Jalan ini lebih hebat dari yang disebut tadi, dan tidak akan bisa selamat terhadapnya kecuali orang yang cerdik dan hidup fikirannya. Syaitan itu berkata, membisikkan di hati manusia: "Bersungguh-sungguhlah engkau beramal, jangan diketahui oleh manusia sebab Allah jualah yang akan menzhohirkan amalmu nanti terhadap manusia dan akan mengatakan bahawa engkau adalah seorang hamba Allah yang ikhlas". Syaitan itu mencampur-baurkan terhadap setiap orang yang beramal dengan amal tipuannya yang lemah sekali. Dengan ucapannya itu, syaitan bermaksud untuk memasukkan sebahagian daripada penyakit riya'.

Orang yang terpelihara oleh Allah akan menolak ajakan syaitan itu dengan mengatakan:

Hai Malaun (yang dilaknat) tiada henti-henti engkau menggodakaku untuk merosakkan amal dan ibadatku dengan berbagai-bagai jalan dan sekarang engkau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalku, padahal maksudmu untuk merosakkannya. Aku ini hamba Allah dan Allahlah jua yang menjadikan aku. Kalau Allah SWT. berkehendak menzhohirkan amalku atau menyembunyikannya; dan kalau berkehendak menjadikan aku mulia atau hina, ini adalah urusan Allah. Aku tidak gelisah apakah amalku itu diperlihatkan oleh Allah kepada manusia atau tidak kerana itu bukan urusan aku sebagai seorang hamba Allah.


7. Setelah gagal syaitan itu menggoda dengan jalan keenam, maka ia menggoda lagi dengan jalan ketujuh dengan mengatakan; "Hai manusia..tidak perlu engkau menyusahkan dirimu untuk beramal ibadah, kerana jika engkau telah ditetapkan oleh Allah pada masa azali dan dijadikan makhluk yang bahagia, maka tidak menjadi mudorat apa-apa bagi engkau untuk meninggalkan amal, engkau akan tetap menjadi seorang yang bahagia. Sebaliknya jika engkau dikehendaki Allah menjadi orang yang celaka, maka tidak ada gunanya lagi engkau beramal dan tetaplah engkau celaka".

Orang-orang yang terpelihara oleh Allah tentu akan menolak godaan ini dengan mengatakan:

Aku ini seorang hamba, berkewajipan menurut perintah Tuhanku. Tuhan Maha Mengetahui , menetapkan sekehendakNya dan berbuat apa saja yang dikehendakiNya. Amalku tetap akan bermanfaat, walau bagaimanapun keadaanku. Jika aku dijadikan seorang yang seorang yang berbahgia, aku tetap perlu beribadah untuk menambah pahala, dan jika aku dijadikan seorang yang celaka, aku tetap harus beramal ibadah, supaya tidak menjadi penyesalan bagi diriku meninggalkan amal itu.

Jika sekiranya aku dimasukkan neraka, padahal aku taat, aku lebih senang daripada jika dimasukkan neraka kerana aku maksiat. Tetapi tidak akan demikian keadaannya kerana janji Allah pasti terjadi dan sabdaNya pasti benar. Allah telah menjanjikan kepada siapa yang beramal taat kepadaNya akan diberi ganjaran. Siapa-siapa yang meninggal dunia dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, tidak akan dimasukkan ke dalam neraka dan pasti akan dimasukkan ke Syorga. Jadi masuknya, seseorang ke Syurga bukanlah kerana kekuatan amalnya, tetapi kerana janji Allah semata yang pasti dan suci.




RUJUKAN: Kitab Minhajul Abidin oleh Imam Ghazali

Dikongsi dari Fb  Sofiyah Satuyah Rasin (Oddessy Al Amin)





Tuesday 13 September 2011

KAEDAH BEDAH CARA BATIN HARAM.


Oleh
Muhammad Asyraf
Perbuatan dengan bantuan jin boleh pesong akidah
ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.
Malah ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga.” (Surah Al-Isra’, ayat 82)
Amalan perubatan menggunakan doa atau bacaan ayat al-Quran adalah satu daripada cabang rawatan diakui syarak sebagai amalan mulia. Ia dipanggil ruqyah ataupun jampi bersesuaian syarak. Malah ia diamalkan pada zaman Rasulullah dan salafussoleh.
Daripada Auf bin Malik katanya: “Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW, Ya Rasulullah SAW apakah pandangan anda mengenai jampi? Lalu Baginda SAW meminta mereka memperdengarkan jampi digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik.” (Hadis riwayat Muslim)
Kalangan masyarakat menamakan rawatan secara ruqyah saja dianggap perubatan Islam. Manakala rawatan secara saintifik di hospital adalah perubatan moden semata-mata. Hakikatnya perubatan moden sebahagian daripada perubatan Islam.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri dalam kitabnya Tibb al-Nabawi dan Zaad al-Ma’ad menceritakan bagaimana Nabi SAW merawat menggunakan kaedah berbekam, penggunaan biji habbatussauda, madu dan bermacam lagi makanan kesihatan.
Namun, sejak akhir-akhir ini ada kaedah rawatan mula menjadi tumpuan masyarakat iaitu pembedahan batin. Selepas meneliti unsur terdapat dalam pembedahan batin diamalkan sesetengah perawat maka beberapa nas hukum perlu diperjelaskan agar tidak memberi kecelaruan kepada masyarakat dalam menilai benar atau salah.
Rawatan itu ada yang membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dan seumpamanya.
Penggunaan ayat al-Quran atau doa diharuskan tetapi jika disertai dengan sihir, iaitu membabitkan jin, perbuatan itu salah kerana amalan berkenaan termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir.
Walaupun pengamal perubatan batin menyatakan ia berpegang kepada ayat al-Quran dan kaedah syarak, namun difikir secara logik, ternyata bukan mudah seseorang itu, terutama orang awam memastikan status amalan itu.
Apabila sesuatu yang di luar adat kebiasaan itu dilazimi secara berterusan seperti upacara pembedahan batin, sekali gus jelas bagi kita ia sudah terkeluar dari kaedah asas perubatan yang diizinkan.
Ia jauh daripada perubatan secara saintifik moden, ruqyah serta tibb al-Nabawi yang menepati syarak. Jelaslah kaedah perubatan secara pembedahan batin ini meminta bantuan jin kerana sesuatu yang magis dan di luar adat tidak boleh berlaku secara berterusan.
Memang ada ulama membenarkan perubatan dengan meminta pertolongan jin antaranya Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa dan ulama Saudi, Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah. Mereka mengharuskan khidmat jin dengan syarat penggunaan pada perkara diharuskan di samping wasilah juga diharuskan syarak.
Ini bermakna rawatan menggunakan khidmat jin diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Hujah mereka ialah kisah Nabi Sulaiman yang mendapatkan khidmat jin untuk memindahkan istana Puteri Balqis dari Yaman dan ini adalah kurniaan Allah SWT.
Namun, ada pendapat menolak pandangan ini kerana peristiwa Nabi Sulaiman bukan syariat yang ditinggalkan kepada kita.
Pendapat ini dihuraikan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Dr Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd dan ramai lagi. Bahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 pada 21 September 1995 juga memutuskan bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perubatan, mencari kekuatan dan kehebatan ditegah syarak dan haram.
Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin. Umat harus memahami, setiap penyakit ada penawarnya tetapi setiap penawar tidak dijamin boleh menyembuhkan. Semoga Allah membebaskan kita dari segala penyakit dengan reda-Nya, bukan diberi kesihatan dengan kemurkaanNya.

Sept  2011

Monday 12 September 2011

KELEBIHAN SOLAT DI AWAL WAKTU.


WAKTU SUBUH
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mu dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.
Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
WAKTU ZOHOR
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?
WAKTU ASAR
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.Rahsia warna oren ialah kreativiti.Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.
WAKTU MAGRIB
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
WAKTU ISYAK
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.
QIAMULLAIL
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.Wallahualam.


- Artikel iluvislam.com
Dipetik dari Fb Saudara Ishak Ibrahim

HEBATNYA TAUBAT NABI YUNUS.



Rujukan: Dipetik dari buku Taubat kepada Allah,ditulis oleh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dan diterjemah oleh Ustaz Mohammad Zaini b Yahya.

Al-Quran ada memaparkan kepada kita kisah taubat Nabi Yunus a.s ketika beliau menyeru kaumnya supaya menyembah Allah. Mereka tidak menerima seruannya. Lantas Nabi Yunus tidak bersabar melihat penolakan mereka sehingga beliau memarahi mereka. Beliau kemudian menjauhkan diri dari mereka. Lalu Allah menguji beliau dengan satu cubaan yang bertujuan untuk membersihkannya, menampakkan kekuatan jiwanya, keyakinannya kepadaNya dan kebenarannya bersama Allah.

Pada suatu hari beliau menaiki sebuah bahtera. Apabila bahtera tersebut berada ditengah lautan, tiba-tiba ia ditiup angin yang kencang. Ombak yang kuat pun memukul-mukul bahtera tersebut. Semua yang berada di dalamnya mula bimbang mereka akan karam. Mereka berkata,"Kita mestilah mengurangkan beban bahtera ini agar kita semua tidak karam." Mereka tidak mempunyai pilihan yang lain selain dari membuang sebahagian penumpang ke dalam lautan untuk menyelamatkan sebahagian penumpang yang lain.

Mereka pun membuat pilihan melalui undian. Undian tersebut terkena pada Nabi Yunus a.s. Tiada pilihan yang lain bagi Nabi Yunus melainkan akur kepada persepakatan tersebut. Maka beliau pun dibuangkan ke dalam lautan. Beliau ditelan ikan paus atau "An-Nun" sebagai celaan kerana memarahi kaumnya dan berputus asa dengan meninggalkan mereka tanpa terus berusaha menyeru mereka lagi. Di sini jelas kelihatan keyakinan nabi Yunus,Zun Nun. Di dalam kegelapan laut, malam dan perut paus yang menyelubunginya itu, Nabi Yunus pun menyeru dengan kalimah-kalimah yang telah dirakamkan dan diabadikan oleh al-Quran melalui perkisahannya;

"Maksudnya: Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitkannya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap,

"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah di kalangan orang-orang yang zalim." Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan, demikianlah kami menyelamatkan orang-orang yang beriman." (Surah al-Anbiya' ayat 87-88)

Tiga kalimah ringkas yang diserukan oleh Nabi Allah Yunus tersebut mempunyai pengertian yang agung. Kalimah-kalimah tersebut ialah.

Pertama: Kalimah yang menunjukkan tentang ketauhidan (tauhid Uluhiyyah) yang menjadi sebab kenapa Allah mengutuskan para Rasul dan menurunkan kitab-kitab serta sebab kepada pembinaan syurga dan neraka.Kalimah tersebut ialah;
La ilaha illa anta.

Kedua: Kalimah yang membersihkan Allah dari segala sifat kekurangan. Ia adalah makna tasbih yang menjadi sebab kepada penciptaan langit dan bumi serta semua makhluk. Setiap sesuatu pasti bertasbih kepadaNya. Kalimah itu ialah; Subhanaka.

Ketiga: Kalimah yang membuktikan pengiktirafan terhadap dosa dan kelalaian dalam menunaikan hak Tuhan serta menzalimi diri sendiri lantaran kelalaian.
Kalimah tersebut ialah; Inni kuntu minazzholimiin.
Inilah slogan atau tema kepada taubat.

Tidak hairanlah jika kalimah-kalimah yang benar lagi ikhlas ini mempunyai kesan yang segera terlaksana di dunia sebelum Akhirat. Seterusnya Allah berfirman

"Maksudnya: "Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman".
(Surah al-Anbiya' ayat 88)

Kalimah-kalimah ini berserta tiga pengertiannya iaitu tauhid, pembersihan dan pengiktirafan telah menjadi teladan di dalam permunajatan dan di dalam menghadapi kesulitan, sehingga terdapat dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan hukumnya sebagai sahih;

"Doa saudaraku Zun Nun, yang jika dibaca oleh orang-orang yang mendapat kesulitan, nescaya Allah akan membebaskannya dari kesulitan itu, iaitu: "Tiada Allah selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku temasuk dikalangan orang-orang yang zalim."

Wallahu'alam

Personal Remark:
-Saya rasa ada banyak pengajaran yang boleh kita dapati dari kisah ini. Antaranya ialah:

1. Agar kita segera bertaubat apabila menyedari akan kesilapan yang telah kita lakukan. Ucaplah kalimah taubat seperti yang diucapkan oleh Nabi Yunus dan yakinlah akan bantuan serta haraplah keampunan dari Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun.
2. Supaya kita selalu beringat bahawa Allah lebih berhak ke atas kita dan Dia berhak menghukum kita atas kesalahan yang kita lakukan. Mohonlah keampunan daripadaNya dengan harapan hukuman ke atas kita akan diringankan dan dipermudahkan serta dosa kita di ampunkan.
3. Hukuman serta dugaan dari Allah adalah salah satu cara tarbiah Allah kepada hambaNya agar kita sedar akan kelemahan serta kelalaian diri dalam melaksanakan suruhanNya serta meninggalkan laranganNya. Hukuman dan dugaan juga adalah cara penghapusan dosa, pembersihan diri dan pengukuhan pada tahap keyakinan, ketaqwaan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah agar kita tidak mudah putus asa dan yakin akan pembelaanNya kepada orang-orang yang beriman.
4. Supaya kita yakin, bahawa pintu taubat Allah itu sentiasa terbuka, selagi belum tibanya hari Akhirat atau selagi ajalnya belum sampai ke tenggorok (halkum). (Perihal "ajal sampai ke tenggorok" ada diriwayatkan oleh Ibn Majah dan At-Tirmizi di dalam satu hadith hasan yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selagi mana ajalnya belum sampai ke tenggorok (halkum)."
5. Peringatan supaya jangan mudah putus asa dalam usaha menyeru umat manusia ke jalan Allah dan dalam berdakwah. Sentiasa yakin akan pertolongan dan bantuan Allah dan yakinlah bahawa jalan Allah adalah jalan yang jelas kebenarannya.

Wallahu'alam. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu adalah dengan keizinanNya tetapi di atas kelemahan dan kecuaian diri saya sendiri. Jazakallahu khair.

lok9merpatijepang.blogspot.com

Dis 2010

Sunday 11 September 2011

KISAH ALLAH MENCIPTAKAN MALAIKAT JIBRIL A.S.



Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa, “Sesungguhnya Allah telah menciptakan malaikat Jibrail dengan bentuk yang sangat elok. Jibrail mempunyai 124,000 sayap dan di antara sayap-sayap itu terdapat dua sayap yang berwarna hijau seperti sayap burung merak, sayap itu antara timur dan barat. Jika Jibrail menebarkan hanya satu daripada beberapa sayap yang dimilikinya, maka ia sudah cukup untuk menutup dunia ini”.
Setelah memandang dirinya yang tampak begitu indah dan sempurna, maka malaikat Jibrail pun berkata kepada Allah, “Wahai Rabbku, apakah Engkau menciptakan makhluk lain yang lebih baik daripada aku?” Kemudian Allah pun menjawab pertanyaan malaikat Jibrail, “Tidak”. Mendengar jawapan Allah, maka malaikat Jibrail pun berdiri dan melakukan solat dua rakaat untuk bersyukur kepada Allah. Pada setiap rakaat solat yang dikerjakan oleh malaikat Jibrail, dia menghabiskan masa selama 20,000 tahun lamanya.
Setelah malaikat Jibrail selesai melaksanakan solatnya, kemudian Allah pun berfirman kepadanya, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah yang kamu lakukan, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.
Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat walau hanya sebentar dan dalam keadaan lupa serta serba kurang, dengan pikiran yang melayang-layang dan dosa mereka pun besar, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada solatmu. Hal tersebut kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu”.
Setelah mendengar hal tersebut, Jibrail pun kembali bertanya kepada Allah, “Ya Rabbku, apakah yang Engkau berikan kepada mereka sebagai ganjaran atas ibadah mereka kepadaMu?” Maka Allah berfirman yang ertinya, “Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal mereka”. Malaikat Jibril kemudian meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa tersebut.
Setelah Allah memberikan izin kepadanya, maka malaikat Jibrail pun mengembangkan sayapnya dan terbang menuju syurga Ma’waa. Satu hayunan sayap malaikat Jibrail adalah sama dengan jarak perjalanan selama 3000 tahun. Maka terbanglah malaikat Jibrail selama beberapa lama perjalanan, malaikat Jibrail akhirnya kepenatan dan turun untuk singgah dan berteduh di bawah sebuah pohon. Di sana ia bersujud kepada Allah lalu berkata, “Ya Rabbku, apakah aku telah menempuh setengah atau sepertiga atau seperempat dari perjalanan menuju ke syurga Ma’waa?”
Maka Allah pun berfirman, “Wahai Jibrail, meskipun kamu mampu terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa puluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan”.
Sabda Rasulullah, “Sebelah kanan sayap Jibrail terdapat gambar syurga berserta dengan segala isinya termasuk bidadari-bidadari, istana, pelayan dan sebagainya manakala sayapnya yang sebelah kiri terdapat gambar neraka dan segala isinya yang terdiri daripada beberapa macam ular yang cukup bisa, kala jengking dan neraka yang bertingkat-tingkat serta penjaganya yang terdiri daripada malaikat yang garang dan ganas yakni malaikat Zabaniyah“.
Kata Rasulullah lagi, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang kecil pada badan manusia kemudian mereka akan menarik rohnya dari kedua telapak kaki hingga lutut dan mereka pun keluar. Setelah itu datang lagi sekumpulan malaikat masuk menarik roh dari lutut ke perut. Begitulah seterusnya dari perut ke dada dan dada ke kerongkongnya. Itu saat nazak seseorang”.
“Kalau orang yang nazak itu orang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang itu dapat melihat kedudukannya di syurga sehingga terlupa orang-orang di sekelilingnya. Jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap sebelah kiri untuk menunjukkan tempatnya di neraka sehinnga ia menjadi sangat takut serta lupa kepada keluarganya”, kata Rasulullah.
Kita sebagai umat Islam mesti mengakui kebenaran ini dan ia adalah sama seperti kita beriman kepada perkara ghaib. Tidaklah mustahil bagi Allah untuk menciptakan segala sesuatu kerana Dia maha pencipta. Cukuplah sekadar kita melihat langit yang tidak bertiang, bukankah ia perkara mustahil bagi manusia untuk membuatnya?
Rujukan: Himpunan kisah-kisah teladan


Julai 2010
http://syahirul.com/penciptaan-malaikat-jibrail/

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin