Showing posts with label Melentur buluh. Show all posts
Showing posts with label Melentur buluh. Show all posts

Monday, 18 April 2011

MENYELESAIKAN PERGADUHAN ANAK- ANAK.


“Yop, kenapa Yop bergaduh dengan kawan-kawan tadi tu?” saya menepuk bahu Saiful Islam.
Beliau memuncung.
Enggan berkata-kata.
“Yop, kenapa gaduh?” Imad menyampuk, meniru soalan saya kepada abangnya.
“Ha ah, kenapa Yop gaduh tadi?” Naurah pun membabitkan diri sama.
Menambah tekanan ke atas abang mereka yang masih ‘berasap kepala’.
“Janganlah tanya Yop macam tu. Pening kepala dia. Biar abi sahaja yang tanya” saya mengarahkan Imad dan Naurah duduk kembali di kerusi belakang serta memasang kembali tali pinggang keselamatan.
“Tadi tu Yop main ke gaduh?” saya menukar bentuk soalan untuk menyegarkan pertanyaan ulangan.
“Gaduh!” jawab Saiful Islam.
Ringkas.
“Kenapa gaduh?” saya bertanya lagi.
“Dia orang ejek Yop” anak saya mula membuka ruang bicara.
“Oh, macam tu. Kenapa mereka ejek Yop? Eh silap, mereka ejek Yop apa?” saya menyambung soalan, sambil membatalkan soalan yang tidak disukai oleh anak-anak iaitu KENAPA.
“Dia orang cakap Yop Saiful Apek!” jawab Yop.
“Hahaha! Oppss…” saya memekup mulut kerana tergelak dengan tidak sengaja.
“Abi ni…!!!” Saiful Islam bengang dengan saya.
“Sorry Yop. Abi tak sengaja. Oh, sebab itulah Yop marahkan mereka. Mereka panggil Yop Saiful Apek rupanya” sebagai bapa, saya harus membina kepercayaan anak-anak bahawa kita mengiktiraf masalah mereka dan memahaminya.
HANTU TELEVISYEN
“Yop tahu tak, orang yang panggil Yop Saiful Apek tu, mereka hantu televisyen. Sebut aje Saiful, terus teringat Saiful Apek!” saya cuba memujuk.
“Ada Saiful lain ke?” soalnya kepada saya.
“Tentulah ada. Ramai. Ada Saifulllah, itu gelaran untuk Khalid bin al-Walid, tahu! Yop tahu sebab apa abi bagi Yop nama Saiful Islam?” saya pula melontarkan soalan kepadanya.
“Kenapa?” mulutnya masih memuncung semasa menyoal.
“Saiful Islam itu ialah pejuang Islam di Mesir. Bapanya bernama Hasan al-Banna. Hero Islam. Lebih hebat dari Raihan Rangers. Yop di sekolah Rumah Hijau, kan? Rumah Hijau bukankah namanya Hasan al-Banna? Saiful Islam itu nama anaknya” saya menarik kembali lipatan memori 7 tahun yang lalu, ketika memberi nama kepada anak sulung yang baru lahir.
saifulislamalbanna
Sheikh Ahmad Saiful Islam al-Banna
SESI DIALOG
Tengah hari itu, saya menghabiskan masa yang banyak bersama dengan anak-anak di dalam kereta meredah lautan kenderaan yang sesak di jalanraya. Kami mahu mengambil Ummu Saif yang habis bekerja jam tiga. Seronok juga dapat berbual-bual dengan mereka. Kebetulannya, ada topik yang penting untuk diselesaikan.
“Tapi dia orang tu jahat!” kata Saiful Islam kepada saya.
“Sebab itu abi tak bagi Yop pukul dia orang. Kalau Yop pukul dia orang, maknanya Yop pun sama macam mereka. Orang Islam tak boleh sakitkan orang lain dengan lidah dan tangan. Berdosa” saya cuba menangkis pandangan si anak.
“Habis tu takkan nak biar aje?” anak saya mempertikaikan pendapat bapanya.
“Jangan biarkan aje. Tapi Yop cakap le Alhamdulillah. Terima kasih ejek Yop. Yop dapat pahala, kamu dapat dosa!” saya memberikan cadangan.
“Kalau dia orang takut dosa, dia orang tidaklah ejek Yop” bidas beliau.
Aduh, pening kepala saya. Ada juga betulnya kata-kata anak saya. Buat apa timbulkan soal dosa kepada orang yang tidak pedulikan dosa. Membuang masa.
NAK GADUH JUGA
“Habis tu Yop nak buat apa?” saya meminta pendapatnya.
“Yop nak juga pukul dia orang” anak saya begitu sepenuh hati meluahkan kehendaknya.
“Terpulanglah kepada Yop. Tapi kalau mereka pukul Yop balik, Yop nak buat macam mana?” saya ‘memberikan’ kebebasan kepada beliau, sambil menyelitkan persoalan tentang risikonya.
“Yop minta tolong Abi” jawabnya pantas.
“Kalau Abi tak ada?” sengaja saya lontarkan provokasi kepadanya.
“Allah ada” tangkas Saiful Islam menjawab.
“Tapi Allah benci orang yang pukul orang. Allah tak akan tolong Yop sebab Yop pun buat dosa macam orang yang ejek Yop tu dapat dosa” penerangan dilanjutkan lagi.
“Ye la, Yop tak gaduh!” akhirnya Saiful Islam mengalah.
“Err, tapi kalau orang nak tumbuk Yop kena pertahankan diri, tahu!” saya pula yang risau.
“Kena gaduh?” anak saya terkejut.
“Silap, silap. Bagitahu ustaz sahajalah. Senang cerita” saya tidak mahu mengelirukan si anak.
“Nak bagitahu ustaz mana?” soal beliau lagi.
“Ustaz Hasrizal. The Dragon Warrior, boleh?” saya mengusik.
“Err…!” anak-anak mengalah.
Mereka hilang selera bertanya lagi.
18 Oktober 2010

Tuesday, 5 April 2011

Fatwa dan Hukum Menyambut April Fool







Dr. Yusuf al-Qardawi menyebut :

Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda : Orang munafik mempunyai tiga ciri : Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah. [HR al-Bukhari dan Muslim]

Rasulullah SAW memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda SAW bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]

Rasulullah SAW juga bersabda: “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran”. [HR Ahmad dan At-Thabrani]. Sebahagian hadis Nabi SAW turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]

Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang dalam apa bentuk pun. Sambutan April Fool adalah dilarang kerana 4 sebab :

1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.

3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.

4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.

Sheikh Atiyyah Saqr pula menyatakan :

Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.

Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan darurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “darurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Darurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.

Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi iaitu ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan.

Sheikh Shalih Fauzan menyatakan :

Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari April Fool, mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”

Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.





hassan1663.blogspot.com
Mac 2011

Wednesday, 16 February 2011

TANDA - TANDA BALIGH: ANAK ANDA SUDAH TAHU?




Pernahkah anda bercerita tentang baligh dengan anak-anak anda?
Adakah anda pernah berbicara dengannya soal tanda-tanda baligh? Tentang mimpi basah dan tentang mandi wajib?
Pernah anda menguji pengetahuannya tentang air mani dan air mazi?
Mungkin anda pernah, mungkin juga tidak. Jika tidak, kenapa?
Sedarkah anda bahawa hari ini, terdapat ramai anak-anak remaja yang masih jahil tentang hukum berkaitan baligh. Ada yang sudah berumur 17 atau 18 tahun tetapi masih butal dalam soal hadas besar dan baligh.
Berapa ramai remaja lelaki yang berkali-kali bermimpi basah, tetapi tidak tahu apa yang wajib dilakukan. Berapa ramai pula anak-anak perempuan yang datang haid, tapi tak tahu cara menyucikan diri bila haidnya selesai. Mereka tidak tahu cara untuk mandi wajib.
Malah, tidak pernah pun mandi wajib!
Segala ibadat yang dilakukan selama ini rupa-rupanya dosa yang bertimpa-timpa. Segala-galanya dilakukan dalam keadaan kotor dan berhadas. Bertahun-tahun menghimpin dosa.
Siapa pihak pertama yang wajar dipersoalkan oleh Allah nanti. Siapa yang bertanggungjawab di hadapan Allah nanti. Tentulah yang paling hampir ialah ibu bapanya sendiri.
Ustazah tak cakap!
Tidak dinafikan bahawa persoalan di sekitar baligh merupakan perkara yang agak malu untuk dibicarakan. Ramai yang terasa janggal untuk membuka mulut bercakap soal ini kepada anak-anak. Ramai yang memilih untuk membiarkan anak memahami perkara itu melalui orang lain.
Tidak kurang yang meletakkan harapan sepenuhnya kepada guru untuk menjelaskan segala-galanya. Sebahagian pula langsung tidak kisah, dan berharap agar anak itu tahu sendiri bila besar nanti.
Hakikatnya amanah Allah ke atas ibu bapa tidak terlepas semata-mata dengan menghantar anak-anak ke sekolah. Dengan sistem pendidikan hari ini, ruang masa untuk pendedahan hukum hakam soal baligh amat terhad.
Tambahan pula tidak semua ustazah dan ustaz yang sudi bercerita soal ini tengan telus dan terang. Tak kurang juga ustazah yang malu-malu untuk bercerita soal yang sensitif ini. Kalau diterangkan sekali pun belum tentu anak-anak kita dapat benar-benar menghayatinya untuk diterjemahkan ke alam realiti.
Hari ini anak-anak muda amat senang terdedah dengan paparan berunsur seks. Mereka dapat akses dengan pelgabai gambar, video, cerita, rencana dan segala bahan tentang seks dan jantina dengan mudah, murah dan merata-rata.
Kemudahan telefon bimbit, internet dan lain-lain membuka seluas-luasnya ruang maklumat tentang seks. Sesama remaja mereka juga begitu ke hadapan berbicara soal-soal ini. Namun sejauh manakah mereka terdedah dengan hukum hakam berkaitan seks?
Amat malang sekali, ketika mereka begitu hebat menguasai maklumat tentang seks, mereka begitu tercorot dalam memiliki ilmu dan kesedaran agama berkaitan dengan seks ini.
Ikut cara Nabi (SAW) dan para sahabat
Oleh yang demikian, ibu bapa hari ini tidak boleh lengah lagi. Zaman kini bukan seperti zaman ibu bapa menjadi anak-anak dulu. Dulu kebanyakan ibu bapa mengunci mulut dalam soal seks, termasuk tentang baligh, mani dan haid. Bercakap tentangnya dianggap kurang sopan dan lucah.
Tanggapan ini agak tempang.
Tidak dinafikan, bercakap soal ini agak sensitif, dan mengaibkan. Namun demi kerana ilmu, kebenaran dan akhlak anak-anak, ibu bapa perlu kesampingkan rasa malu itu. Ikutlah cara Nabi Muhammad (SAW) dan para sahabat yang berbicara soal ini pada saat dan waktu yang memerlukan.
Misalannya dalam kisah yang dicatat dalam satu Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Tarmizi, bahawa Sayyidina Ali k.w. berkata: Aku adalah seorang yang mazza’ (iaitu seorang yang sering keluar air mazi dari zakar), maka aku pun bertanya kepada Nabi (SAW) tentangnya, maka jawab Baginda:
“Kalau mazi cukup dengan wudhu’, dan kalau mani mestilah mandi.” Dalam riwayat lain, Baginda menjawab: “Jika engkau memancutkan air (mani), maka mandilah dari janabah. Jika tidak memancutkan, tidak perlu mandi.”
Sebenarnya banyak lagi kisah seumpama ini yang membuktikan ketelusan Baginda SAW dan para sahabat dalam mendalami ilmu dan mencari kebenaran. Maka amat wajar bagi ibu bapa bertindak menjadi pembicara yang dapat menerangkan kepada anak-anak tentang soal yang penting ini.
Semak pengetahuan anak
Oleh kerana anak-anak mungkin telah mempelajar ilmu ini dari ustazah atau ustaz di sekolah maka wajar ibu dan ayah menyemak pengetahuan mereka tentang baligh, tanda-tandanya dan bagaimana melaksanakan kewajipan dan larangan berkaitan dengannya. Jika mereka kelihatan tidak tahu atau keliru, maka wajib kepada ibu bapa menjelaskan satu-persatu tentang hukum baligh ini.
Berikut adalah beberapa dasar penting yang perlu diambil perhatian. Perinciannya perlu dirujuk dalam buku-buku fikah yang muktabar. Antara perkara yang dimaksudkan ialah:
1. Hakikat bahawa baligh itu sempadan dosa dan pahala. Pastikan anak anda benar-benar faham maksud ‘taklif’, ‘mukallaf’ dan juga ‘baligh’ dan apa kaitan kedua-duanya dengan dosa dan pahala, serta syurga dan neraka.
2. Tanda-tanda baligh antaranya ialah apabila anak itu bermimpi sesuatu yang merangsang naluri seks, dan mendapati tanda-tanda basah pada pakaian bila terjaga.
3. Perlu juga anak-anak mengetahui perbezaan antara air mazi dan air mani. Beza dari sudut bila kedua-dua jenis air itu keluar dari kemaluan dan bagaimana untuk bersuci dari kedua-duanya.
4. Bagi yang bermimpi dan basah ini, wajib mandi untuk menyucikan diri dari hadas besar. Mandi wajib ada kaedah dan caranya tersendiri. Apa yang penting niat yang nyata dan air yang suci diratakan di seluruh badan.
5. Bagi anak perempuan, tanda baligh mungkin juga bermula dengan keluar darah haid.
6. Bagi anak perempuan yang dalam haid, terdapat larangan-larangan tertentu yang perlu diperhatikan. Ibu terutamanya perlu memastikan anak-anak gadis memahami batas-batas agama ini. Juga perlu dijelaskan bagaimana untuk menentukan samada dia sudah suci daripada haid, dan bila dia wajib mandi hadas.
Baligh pada hari jadi?
Demikianlah perkara-perkara berkaitan soal baligh yang perlu dijelaskan kepada anak-anak agar mereka tidak teraba-raba mencari pedoman beribadah. Ibu bapa yang soleh dan bertaqwa sewajibnya tidak malu untuk menjadi penyampai kepada anak-anak tentang soal ini. Kenapa Allah mengaitkan soal baligh dan mukallaf ini dengan sesuatu yang memalukan dan mengaibkan? Kenapa perlu dikaitkan baligh dengan sesuatu yang keluar dari kemaluan? Kenapa Allah tidak tetapkan baligh itu berdasarkan kaedah lain? Kalau mahu mudah misalnya, Allah boleh tetapkan sahaja baligh itu dengan kiraan umur seperti 10 tahun atau 12 tahun.
Hakikatnya, semua ketentuan Allah ini ada hikmah tersendiri. Allah mahu soal kehormatan, soal keturunan, soal maruah dan harga diri diselarikan dengan landasan syariat. Allah juga mahukan agar ilmu berkaitan jantina dan seks tidak dipisahkan daripada soal dosa pahala. Biar agama yang memandu segala-galanya. Bahkan, inilah aspek indah dalam pendidikan seks dalam Islam. Mendidik anak-anak agar mengenali, dirinya, fizikalnya, perkembangan biologinya dan perubahan jiwanya sesuai dengan fitrah insani.
Selain itu, ibu bapa yang sudi berkongsi dengan anak-anak tentang ilmu berkaitan baligh ini, akan dipandang oleh anaknya sebagai seorang ibu atau bapa yang penyayang, memahami, dan senang dibawa berbincang. Jika anak itu mempunyai masalah yang agak peribadi sekalipun, dia tidak akan berasa kekok untuk berterus-terang dengan anaknya. Bahkan suatu hari nanti, dia tidak sulit untuk mendedahkan perasan hatinya termasuk dalam soal cinta. Sebaliknya, anak-anak tentunya akan sukar untuk terbuka jika ibu bapa terlalu berahsia dan enggan bercakap tentang soal baligh.
Ringkasnya, peranan ibu bapa hari ini makin mencabar. Zaman maklumat cepat sepantas kilat dan terbuka seluas lautan, memerlukan ketangkasan, keberanian dan keterbukaan ibu bapa untuk menghadapinya. Bicaralah dengan anak-anak tentang soal persediaan untuk baligh, serta tanggungjawab yang melingkarinya. Insyaallah kesungguhan ibu bapa untuk mendidik anak dalam kepayahan akan mebalas oleh Allah SWT.
Selamat berbicara dengan anak-anak!

Jan 2011

Thursday, 27 January 2011

MENDIDIK ANAK ILMU KEBAL



“Dalam banyak-banyak ilmu, rasa antalah, ilmu apa yang paling anta ambil berat untuk diajar kepada anak-anak?” tanya seorang sahabat.
Soalan itu adalah lanjutan daripada tanda-tanya beliau mengapa saya agak kurang menulis tentang keibubapaan kebelakangan ini. Saya sedang melalui saat-saat yang sukar untuk belajar dan mengajar, kerana Cabaran anak-anak terus berubah dengan cepat dari semasa ke semasa.
“Ilmu kebal!” jawab saya.
"Ilmu kebal? Ilmu mandi minyak ke?” tanya beliau lagi.
“Bukan. Ilmu kebal jahiliyyah. Ilmu ikan tidak masin di laut” saya menyambung lagi.
Kami ketawa.
“Oh, itu rupanya. Dimensi lain seni mempertahankan diri,” ujar beliau.

PEMANGSA MAKIN MENGGILA

Saya hilang kata memikirkan tentang keselamatan anak-anak sekarang. Pelbagai kes jenayah adakalanya menyebabkan kita jadi berlebih-lebihan dalam memberikan pelindungan kepada anak-anak. Hingga tidak boleh hilang di pandangan mata, biar pun seketika.
Mahu sahaja saya pakaikan anak dengan baju besi, menyiapkannya dengan bom C4 untuk dilontar kepada penjenayah-penjenayah tidak berhati perut yang menggila tanpa mengira usia mangsanya.
Tetapi kerisauan saya lagi, adalah tentang pemangsa yang abstrak.
Pemangsa yang tidak kelihatan, ia muncul dalam bentuk budaya, pemikiran, nilai, cara berfikir, yang semua itu adalah komponen-komponen aqidah yang menjadi akar umbi kepada jati diri seorang anak, ibu dan bapa bernama MUSLIM.

Ritual atau persoalan-persoalan berkaitan Fardhu ‘Ain tidak lagi boleh dijadikan ukuran bahawa si anak sudah menerima nafkah spiritual daripada ibu bapanya. Sembahyang lima waktu, doa setiap waktu, hafal rukun ini dan hafal rukun itu, semua itu penting dan pengajarannya perlu berterusan. Tetapi anak-anak harus cepat difahamkan tentang hakikat, semua itu adalah proses. Bukan matlamat akhir.
Agar jangan nanti hati terkilan mendengar kisah seorang gadis yang bertudung, bersolat dan hafal surah Yasin, murtad kerana cinta!

Bukan andaian.
Tetapi latar belakang individu murtad seperti Aisyah Bukhari dan Hartina pada era 90′an lalu, menunjukkan hal yang demikian. Biar pun kes murtad mereka masih diselubungi pelbagai tanda tanya, sekurang-sekurangnya kita tahu mereka berdua bukanlah miskin didikan agama. Khatam Quran berkali-kali, dan cukup serba serbi dalam amalan Fardhu ‘ain mereka, belum berjaya berfungsi sebagai ILMU KEBAL yang saya maksudkan.
Inilah hujah paling penting mengapa kita tidak boleh bergantung dan berpuas hati dengan silibus sekolah, sama ada silibus agama di sekolah biasa, mahu pun silibus agama di sekolah agama. Ada banyak perkara yang perlu diubah suai oleh guru agung anak-anak ini, iaitu ibu bapa mereka, dalam kehidupan seharian di rumah.

PANDUAN MEMBUAT KEPUTUSAN DAN PILIHAN

Sebagaimana yang pernah saya ungkapkan dalam artikel TELEVISYEN MANUSIA MUKALLAF, saya akui pengaruh televisyen dalam jadual kehidupan anak-anak di rumah amat mencabar. Fikir mudahnya, mahu sahaja saya buang isi perut televisyen itu, dan menukarnya kepada sebuah akuarium bersiaran ikan sepanjang masa.
Tetapi televisyen adalah salah satu elemen yang penting untuk mengajar anak ilmu yang sukar ini. ILMU MEMILIH.
Saya dan isteri mencuba sedaya upaya.
Ada banyak rancangan televisyen yang bagus untuk anak-anak. Tetapi dalam masa yang sama, televisyen juga memaparkan banyak program yang tidak mempunyai sebarang kebaikan, selain hiburan melampau, kelalaian dan penggunaan bahasa-bahasa kesat yang sudah mengalami proses normalisasi.
Di sinilah, saya cuba belajar berperanan mendidik anak membuat pilihan.
Peringkat pertama adalah peringkat mendidik mereka memilih dari sehari ke sehari.
Peringkat kedua, menyemak kesan pilihan mereka dan melakukan muhasabah mengenainya.
Peringkat pertama, telah, sedang dan masih diteruskan.
Peringkat kedua, kami baru melepasi fasa ‘Peperiksaan Pertengahan Tahun’.

MUHASABAH

“Yop rasa keputusan peperiksaan Yop elok ke tak elok?” saya bertanya.
Soalan ditanya dalam suasana yang sangat santai dan rehat, agar anak faham bahawa soalan itu bukan soalan ancaman atau hukuman, tetapi perbualan untuk tafahum, faham memahami.
“Tak elok,” jawabnya.
“Tapi bagus sebab banyak matapelajaran meningkat. Yop pun dah tambah rajin sekarang. Betul tak?” saya mahu dia sedar akan peningkatan yang ditunjukkannya, serta menghargainya.
“Ya, Sains Yop bagus,” katanya.
"Yop suka Sains?” saya bertanya lagi.
“Suka. Sebab Yop suka tengok TV IQ” kata beliau.

Saya sedar, dalam proses memilih rancangan-rancangan televisyen yang boleh dan tidak boleh ditonton, anak saya sudah bertemu dengan beberapa rancangan yang digemarinya, dan rancangan itu benar-benar menambah nilai dalam pembelajarannya. Backyard Science, adalah contoh program kreatif untuk mendekatkan Sains dengan kehidupan anak-anak.
Beberapa animasi di dalam rancangan Playhouse Disney juga banyak membantu peningkatan vocab anak saya.
Tetapi ASTRO Ceria, Cartoon Network, Nickelodeon dan Disney Channel masih dikunci dengan kata laluan. Ia hanya dibuka sesekali sebagai ganjaran apabila keadaan mengizinkan.

“Tapi bila campur-campur semua, masih belum cukup bagus, kan?” saya bertanya lagi.
Saiful Islam mengangguk.
“Kenapa agaknya keputusan belum cukup bagus?” saya menyambung proses muhasabah.
“Sebab Yop banyak tengok TV” akui beliau.

Alhamdulillah, saya mahu beliau sendiri sedar akan kesilapannya. Melepaskan diri daripada tabiat suka menonton televisyen, adalah sangat susah. Cara mudahnya ialah dengan menghilangkan terus televisyen dari kehidupan mereka. Tetapi saya masih mahu bereksperimen.

Mengajar anak ILMU KEBAL. Salah satu silibusnya ialah ILMU MEMILIH dan MEMBUAT KEPUTUSAN.

Anak saya sudah faham, sebab di sebalik nasihat demi nasihat, bahkan leteran demi leteran yang datang daripada saya, ibunya malah pembantu rumah. Menonton televisyen itu boleh, tetapi ada batasnya. Apabila batas itu dilanggar, hukuman dunia sudah cukup memeritkan kalau tidak hukuman Akhirat yang menanti.
Itu soal televisyen dan pilihan.

MEMAHAMI IBADAH

Sesetengah ibu bapa berpuas hati kalau anaknya menghafal doa.
Doa sebelum dan selepas makan, doa pakai baju, doa masuk dan keluar tandas dan macam-macam doa lagi.
Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’aala tidak memandang kepada doa yang datang daripada hati yang alpa. Salah satu kealpaan hati yang terjadi ialah apabila doa diungkapkan tanpa mengetahui akan maknanya.
Ia bukan sahaja soal bahasa doa itu bahasa Arab.
Malah jika doa itu dalam bahasa pertuturan seharian kita sekali pun, ia mungkin doa yang tidak difahami andai pembacaannya hasil hafalan semata-mata.

“Yop bacalah doa. Keretapi sudah mahu bergerak” saya berpesan.
Kami berdua dalam perjalanan balik ke Ipoh. Saya ada tugasan di Ipoh, dan membawa seorang anak dapat meredakan sedikit ‘perang saudara’ mereka di rumah.
“Yop tak ingatlah. Susah doa tu,” katanya.
“Apabila kita berdoa, kita minta apa, Yop?” saya cuba mengorek apa yang anak saya faham tentang doa.
“Kita minta selamat. Minta Allah tolong,” jawab Saiful Islam.
“Hah, mintalah keselamatan dan pertolongan dari Allah,” kata saya.
“Ya Allah, Yop dan Abi nak pergi rumah opah. Selamatkanlah kami. Selamatkanlah keretapi. Bagilah kami selamat sampai, dapat jumpa Opah, dapat jumpa Pak Long, Ameen,” doa Saiful Islam.

Entah kenapa, saya berasa sangat sebak hati mendengarnya. Perkataan yang diungkapkan oleh si anak, tulus dari hati dan fikirannya yang faham dengan apa yang diminta, sungguh bermakna. Mudah-mudahan di sisi Allah, doa sedemikian lebih besar harganya.
Apa yang saya dan isteri cuba tambahkan ialah tahmid dan selawat pendek di awal dan di hujung doa. Itu sahaja.

DOA PASCA PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

“Yop bacakan doa, boleh?” saya meminta Saiful Islam membaca doa usai kami solat berjemaah di suatu hari.
“Ya Allah, Yop minta ampun. Yop minta maaf. Yop banyak buat salah. Ampunkan kesalahan Yop, ibu dan bapa Yop, adik-adik Yop, cikgu-cikgu Yop, kawan-kawan Yop dan saudara mara Yop. Tolonglah supaya Yop, Naurah dan Imad boleh jadi anak yang baik, rajin, suka membantu Abi dan Umi. Tolonglah Yop supaya Yop jangan suka tengok tv. Bagi Yop suka belajar dan baca buku. Bagilah kebaikan di dunia dan di Akhirat. Masukkan kami semua ke dalam Syurga dan jauhkan kami dari Neraka. Ameen!”
Doa itu sangat tulus.

Saya menyambutnya dengan air mata.
Selesai sudah bab 1 dari subjek ILMU KEBAL untuk anakku.

saifulislam.com
Julai 2009

Wednesday, 19 May 2010

Mengatasi Masalah Anak-Anak Yang Nakal, Degil Dan Suka Melawan Cakap Ibu Bapa

,
Secara fitrahnya semua ibu bapa mahukan anak-anak yang menghormati ibu bapa, mentaati hukum agama, sentiasa menjauhi maksiat serta tidak terjebak dengan gejala sosial.

Pengalaman penulis di Darussyifa’ sering bertemu dengan ibu bapa yang mengadu tentang anak-anak mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti anak-anak yang lari dari rumah, bergaul dengan remaja yang rosak akhlak, berzina, menagih dadah, melawan ibu-bapa, kasar serta biadab dengan ibu bapa dan seumpamanya.

Ibu bapa yang datang ke Darussyifa’ ini meminta perawat mengikhtiarkan sesuatu supaya anak-anak mereka boleh dipulihkan. Di antara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah;

Kaedah Pertama:

Membaca doa-doa tertentu pada air seperti Surah al-Fatihah, Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5), Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyah, Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3) dan beberapa doa-doa yang lain. Air yang telah dibacakan dengan doa ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi.

Kaedah Kedua:

Satu lagi ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan memberi minum mandikan anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut;

1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.

2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air biasa minuman atau air mineral untuk mengambil wuduk.

3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.

4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.

5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.

6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.

7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dicampurkan dengan air biasa.

8. Beri minum air tersebut kepada Mandikan anak-anak yang bermasalah dengan air tersebut. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.


Pencegahan Awal

Daripada pengamatan penulis serta kajian yang telah dibuat, lebih 90% ibu-bapa yang datang mengadu anak mereka bermasalah, apabila diperdengarkan doa berikut, mereka kata tidak pernah pun mendengar doa ini. Doa tersebut adalah seperti berikut;

Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.


Doa yang tersebut di atas adalah dipetik daripada hadis nabi seperti berikut;

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Jika seseorang di antara kamu akan berjimak dengan isterinya kemudian membaca doa ini;



Maka jika Allah SWT mentakdirkan untuk dua orang suami isteri itu memperolehi anak, maka anak itu tidak dapat dimudaratkan atau diganggu oleh syaitan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.


Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai pencegahan awal bagi mengelakkan zuriat keturunan kita daripada diganggu dengan mudah oleh syaitan.

Sudah menjadi keazaman syaitan untuk menyesatkan umat Islam kepada kekufuran. Syaitan sentiasa bersungguh-sungguh mencari peluang yang ada untuk menggoda dan menghasut keturunan umat Islam supaya melakukan maksiat.


Maksud daripada hadis di atas jelas menunjukkan bahawa ketika pasangan suami-isteri sedang berjimak, syaitan ada bersama-sama untuk masuk ke dalam percantuman benih suami isteri yang akan terjadinya anak kelak.

Sekiranya doa yang tersebut di atas tidak dibaca ketika sedang berjimak, dengan mudah syaitan menjalankan pekerjaannya tanpa ada sebarang halangan. Syaitan akan duduk di benih yang akan terjadinya anak itu sejak dari awal lagi sehinggalah anak tersebut membesar.

Sebab itu anak-anak yang membesar ini sukar di bentuk ke arah membuat perkara-perkara ibadah dan kebaikan. Mereka lebih cenderung melakukan perkara-perkara maksiat.

Bagaimanapun jika doa yang tersebut tidak dibaca ketika berjimak mungkin kerana jahil atau lupa, masih ada lagi ikhtiar iaitu dengan memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak agar syaitan yang mengganggu menyerah kalah.


Doa-doa yang disarankan oleh Islam ketika mengadakan hubungan intim suami-isteri

1. Doa Bersetubuh

Baca doa ini ketika suami mula hendak memasukkan zakar ke dalam faraj isteri.



Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.


2. Doa ketika hampir keluar mani

Baca ayat ini ketika suami terasa air maninya akan terpancut keluar. Oleh sebab ianya ayat al-Quran maka hendaklah membacanya di dalam hati.



Terjemahannya: Dan Dialah (Allah) yang menciptakan manusia dari air mani, lalu dijadikannya (mempunyai) baka keturunan dan pertalian keluarga dan sememangnya Tuhan mu Maha Berkuasa (Surah al-Furqaan ayat 54)



Wallahu’alam


Feb 2010

Monday, 3 August 2009

Keluarga Hebat Dan Ihsan


Ceritanya Gini...
Suatu hari, seorang ustazah travel, Dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa. Sisuami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah. Waktu zohor masuk, abang yang tua mengajak semua adik- adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam.

Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu' dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku' apabila imam ruku'.. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam,dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah..., adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk... ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh. Cerita tak berakhir di situ.
Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu'. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh ntah berapa tahun sibuk mengambil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir.

Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat,si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat. Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ.

Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, "Anak-anak.. . hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa... ". Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah..., bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya... Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu... Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki... Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman... cuba kita tanya diri kita sendiri...

Kisah ini saya jumpa dalam blog seorang rakan blogger. Tertarik dengan kisah ini kerana dalam zaman yang serba mencabar ini payah dan jarang boleh kita jumpa dengan anak anak yang berjaya ditarbiyyah sedemikian rupa. Anak anak yang mempunyai sifat Ihsan.

Ihsan yang disebut didalam hadis Rasullullah SAW: "Engkau menyembah Allah seolah olah engkau melihat akan Dia. jika engkau tidak dapat melihat Dia maka sesungguhnya Dia melihat engkau."
Ibadat yang dilaksanakan menurut hakikat Ihsan hanya ditumpukan kepada Allah,tidak kepada yang lain ATAU kerana yang lain. Itulah yang dikatakan makam musyahadah iaitu mempersaksikan Tuhan dari dekat dalam mengerjakan ibadat. Ibadat seperti ini menyebabkan seseorang lebih bertanggungjawab di atas ibadatnya hingga dilakukan dengan penuh kejujuran samada dikhalayak ramai ataupun bersendirian. Kerana dia yakin apa yang dilakukannya dilihat oleh Tuhannya.

Mungkin anak anak ini tidak fahampun tentang Ihsan. Tetapi terapan akhlak seorang mukmin yang diasuh oleh ibubapanya melahirkan anak anak yang taat pada tanggungjawab sebagai seorang muslim walaupun tanpa disuruh dan diberitahu. Inilah anak anak yang hebat.

Bukan hebat hanya jika anak mendapat keputusan yang baik dalam exam sekolah,bukan hebat hanya jika anak jaguh dalam kokurikulum sekolah. Bukan juga hebat jika anak pandai bermain piano,muzik,menyanyi,menari. Malang sungguh keluarga muslim yang lebih berbangga jika anak anak hebat dalam semua ini sedangkan membaca Al quran merangkak rangkak seperti kura kura. Berhabis untuk kelas muzik tapi untuk kelas agama dikatakan membuang masa.

Hakikatnya berapa kerat agaknya keluarga yang terasuh seperti kisah ini. Dan sebenarnya soalannya lebih kepada diri sendiri. Apakah asuhan ini telah berjaya diterapkan dalam keluarga sendiri..anak anak..Apakah sifat Ihsan itu telah tertanam di jiwa anak anak dan diri sendiri? Atau adakah ia sekejap datang dan pergi? Sekejap merasakan Allah dekat dengan kita dan sekejap pula merasakan kita jauh dari perhatian Allah?

Semoga Taufik dan Hidayah Allah akan sentiasa menyuluh di jalan kehidupan ini. Semoga Allah memberi kemudahan dan keringanan dalam melaksanakan ibadat kepadaNya.
Salam ukhuwwah.


ummuasumaiyahmenulis.blogspot.com
Julai 2009


Tuesday, 28 July 2009

Iktibar Batu Belah Batu Bertangkup: Ibu Tidak Boleh Merajuk


Cerita dongeng batu belah batu bertangkup pernah kita dengar. Setidak-tidaknya sekali terutamanya semasa kecil hati kita mungkin pernah merasa seram dan ditakut-takutkan oleh kisah seorang ibu menyerahkan dirinya ke dalam sebuah gua batu yang boleh menelan manusia. Lalu hati kita kecut, takut-takut ibu kita pula akan ditelan batu. Lalu kita pun berhenti menangis atau merajuk takut-takut ibu kita akan mengalami keadaan yang sama. Walaupun cerita ini jelas berunsurkan dongeng malah di sesetengah tempat terdapat elemen tahyul, namun cerita ini tetap masyhur disampaikan dari generasi ke satu generasi. Malah karyawan seni Melayu telah memertabatkan kisah ini menjadi sebuah filem suatu masa dahulu.

Diringkaskan kisahnya berlegar disekitar seorang balu miskin dengan dua orang anaknya yang masih kecil. Yang sulung, seorang perempuan, manakala yang bongsu pula seorang lelaki. Ibu tersebut terpaksa menyara dan memelihara kedua anak itu setelah suaminya meninggal dunia. Justeru ibu miskin tadi terpaksa menyara kehidupan anaknya dengan membuat berbagai-bagai kerja, dari bercucuk tanam, mengambil upah bekerja di rumah orang hinggalah menangkap ikan. Matlamatnya cuma satu, yakni janganlah kedua anaknya mati kebuluran.

Pada suatu hari, ibu tadi berjaya menangkap seekor ikan Temakul yang mempunyai telur. Setelah ikan ini siap dimasak, siibu tadi berpesan kepada anak perempuannya agar memberi anak lelaki kecilnya makan. Manakala dia terpaksa keluar kerana masih ada kerja yang hendak dibuatnya. Sebelum pergi siibu mengingatkan anak perempuan agar menyimpan sedikit telur ikan Temakul yang telah siap dimasak untuk dimakannya sewaktu pulang ke rumah nanti. Sepeninggalan ibunya, kakak tadipun memberi adiknya makan. Setelah habis bahagian siadik, kakaknya menjadi bimbang kerana siadik masih belum puas, dia terus menerus minta tambah sedangkan tidak ada lagi telur ikan yang tinggal kecuali yang telah disimpan untuk siibu.

Siadik terus menangis, merayu-rayu dan merengek-rengek minta tambah. Setelah beberapa lama, sikakak tidak sampai hati, lalu memberi baki telur ikan Temakul bahagian siibu untuk adiknya. Telur ikan itupun habis semuanya. Tidak lama kemudian siibu pun pulang. Alangkah kecewa hatinya apabila didapati telur ikan yang sangat diinginkannya telah habis dimakan oleh anaknya. Ia kecewa, marah dan benar-benar terkilan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk keluar membawa dirinya ke batu belah batu bertangkup untuk ditelan. Dia pun berlari ke tempat batu itu sambil berkata, “batu belah batu bertangkup, telanlah aku, ambillah aku… aku keempunan telur ikan temakul.” Begitu diseru berulang-ulang sambil berlari dengan deras menuju batu belah batu bertangkup. Melihat keadaan itu, sikakak pun mengejar ibunya sambil mengendung adiknya. “Ibu, ibu… jangan, jangan tinggalkan kami.” Pendek cerita, siibupun ditelan batu dan tinggallah kedua anak tadi menjadi yatim piatu.

Cerita itu terus bersambung dengan pelbagai episod lagi. Hinggalah kononnya kisah ini berakhir dengan ‘happy ending’ bila siadik lelaki berkahwin dengan puteri raja dan sikakak juga turut berkawin dengan putera raja. Namun apa yang hendak diiulas menerusi tulisan ini cukup hanya setakat itu sahaja. Sebenarnya, fokus kisah ini boleh diberikan ditujukan kepada dua subjek. Pertama, subjek pendidikan, kedua subjek komunikasi. Dalam soal pendidikan, jelas terdapat kepincangan yang besar pada karektor ibu dalam kisah ini. Sebagai ibu, perbuatan merajuk atas perbuatan anak (dalam kes ini sehingga sanggup membunuh diri) adalah salah. Ibu adalah individu yang mesti mengasehi anaknya sepenuh hati yakni secara ‘love without condition’. Maksudnya, cinta tanpa syarat. Apa sahaja sanggup dikorbankan demi kebahagian anak, hatta diri sendiri.

Dalam kisah ini, jelas kelihatan jiwa siibu terlalu kecil dan rapuh, sehingga begitu terkesan dengan perbuatan anaknya yang masih kecil dan belum matang berfikir. Sedangkan dalam proses mendidik anak, kesabaran dan kebijaksanaan sangat diperlukan. Seorang ibu adalah juga seorang pendidik yang benar-benar merasakan tugas mendidik anak ialah amanah besar daripada Allah. Siibu harus sedar bahawa dia sedang memikul tugas warisan para rasul khususnya nabi Muhammad SAW. Jika seorang jurutera, doktor, peniaga dan juruterbang berdepan dengan benda atau persoalan yang berbentuk fizikal, lain halnya pula dengan siibu yang berdepan dengan karenah anak yakni manusia yang punya jiwa, akal, nafsu dan perasaan. Oleh itu seorang ibu sedikit-sebanyak mesti memiliki kesabaran para Rasul.

Jika kita buka lembaran sejarah, banyak iktibar yang boleh kita ambil khususnya tentang kesabaran para Rasul menghadapi karenah umatnya. Beberapa kesilapan para Rasul kadangkala diperbetulkan oleh Allah terutamanya apabila mereka ‘berasa hati’ dengan umatnya. Walaupun telah sekian lama berdakwah dan tetap ditolak seruannya, namun Allah terus mengingatkan para Rasul-Nya agar tidak berasa kecewa, apalagi merajuk bila berdepan dengan kedegilan umat. Dan beberapa insiden telah berlaku yang merupakan didikan lansung dari Tuhan agar para Rasul tidak mengulangi kesilapan mereka. Nabi Yunus AS misalnya, telah ditelan ikan kerana bertindak meninggalkan kaumnya. Begitu juga yang terjadi kepada Nabi Zakariya AS, Nabi Yahya AS dan lain-lain. Bukan itu sahaja bahkan setiap Rasul merasakan kesilapan masing-masing apabila dihadapkan di mahkamah Allah di Padang Mahsyar kelak. Oleh hal yang demikian, para Rasul tidak berani menunaikan permintaan umat masing-masing untuk memohon kepada Allah bagi mempercepatkan perbicaraan di Padang Mahsyar. Hanya Nabi Muhammad sahaja yang sanggup memohon kepada Allah untuk dipercepatkan perbicaraan itu.

Nabi Muhammad saw telah menunjukkan keunggulan berbanding para Rasul yang lain apabila baginda tidak sedikitpun berasa hati apalagi merajuk terhadap karenah umatnya. Baginda telah menunjukkan ketinggian peribadi apabila sering mendoakan orang yang menentangnya. Peristiwa di Taif misalnya, menunjukkan bagaimana baginda menolak tawaran para malaikat untuk menghancurkan penduduk Taif yang menghinanya. Bukan itu sahaja, bahkan baginda mendoakan agar generasi kemudian penduduk Taif akan mendapat hidayah. Inilah sifat mulia yang menjadi syarat untuk menjayakan proses pendidikan. Tetapi inilah yang tidak ada pada siibu dalam kisah batu belah bertangkup ini. Sifat mudah merajuknya, bukan sahaja membinasakan dirinya tetapi juga kedua anak yang ditinggalkannya. Siibu telah merajuk atas sebab yang sangat remeh, yakni sekadar tidak dapat makan telur ikan, bukan sebab-sebab besar yang boleh dianggap penting dalam hidup. Sikap yang sepatutnya diambil oleh iibu ialah berlapang dada dengan sikap anak yang belum boleh berfikir apalagi merasai keinginan dan perasaannya.

Anak yang belum baligh, dan mungkin dalam kes ini belum mumaiyiz, sekali-kali tidak boleh dilayan sebagai orang dewasa kerana mereka masih tidak boleh berfikir, menilai dan bertindak dengan betul. Bukan sahaja ibu-bapa, malah Allah sendiripun tidak meletakkan sesuatu tanggung-jawab atau kewajiban terhadap anak-anak yang masih belum mumaiyiz dan belum baligh. Hanya apabila baligh barulah anak-anak dikira mampu menilai, berfikir, memilih memutuskan dan seterusnya bertindak dengan betul. Ketika itu barulah input berbentuk ilmu, ajaran dan didikan boleh diterima, difahami dan diamalkan oleh anak-anak. Dan ini hanya dapat dicapai apabila seorang anak itu mencapai usia baligh. Bila baligh barulah sianak dianggap layak untuk diberi pertanggung-jawapan dan dihukum sekiranya mengabaikan tanggung-jawab itu.

Islam sangat mementingkan tahap akil baligh ini. Ia telah diletakkan sebagai syarat wajib yang perlu ada pada seseorang muslim sebelum diwajibkan melakukan sesuatu perintah. Ini bermakna jika seseorang belum baligh, maka dia belum wajib melaksanakan sesuatu hukum. Manusia yang masih kecil tidak tahu bagaimana menilai yang baik dan buruk untuknya. Fikirannya ketika itu hanya selapis sahaja, nampak seronok, nampak sedap, nampak suka… terus dibuat. Tanpa memikirkan apa akibat buruk yang mungkin berlaku. Samada akibat buruk itu berlaku di dunia ataupun di akhirat.

Mengambil kira hakikat ini, kesalahan ibu dalam cerita ini ialah kerana dia menganggap anak-anak sepertinya juga. Dia terlalu mengharap anak-anak itu akan memahami, bersimpati terhadapnya dan melakukan tindakan yang selaras dengan kehendaknya. Tetapi realitinya tidaklah sebegitu. Anak-anak mempunyai kelemahan yang banyak. Justeru mereka belum mampu berfikir dan menilai seperti mana orang dewasa. Dengan yang salah ini, sering terjadi para ibu memarahi merajuk, kecewa bahkan menghukum anak-anaknya tanpa mempertimbangkan kelemahan-kelemahan anak-anak itu. Dalam konteks ini Rasulullah telah berpesan berpesan “suruhlah anak-anak sembahyang pd umur 7 tahun. Pukullah mereka jika tidak sembahyang apabila umur 10 tahun.”

Kenapa anak-anak 7 tahun tidak boleh dipukul? Ini kerana kalau mereka melakukan kesalahan pada usia itu, bukanlah kerana kedegilan atau keengganan mereka tetapi kerana mereka belum cukup matang untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Sebab itu diperingkat ini, memberi ilmu, membimbing dan menunjukkan teladan yg baik lebih utama dr menghukum. Saidina Ali juga telah memberi panduan bahawa anak-anak yg berumur 7 tahun ke bawah hendaklah diberi kasih sayang secara banyak bermain-main bersama mereka. Supaya dengan itu anak-anak meyakini bahawa ibu-bapa memang kasihkan mereka. Setelah mereka berumur 10 tahun ke atas, barulah menurut Saidian Ali, mereka itu boleh didisiplinkan dengan adab-adab dan peraturan.

Malangnya ibu dalam kisah ini, tidak mengikut panduan-panduan yg tepat dalam mendidik dan menangani karenah anak-anaknya. Dia melakukan kesalahan besar kerana menyangka anak-anaknya mementingkan diri dan tak menyayanginya kerana memakan telur tembakul. Sedangkan sebenarnya, anak itu sayang kepadanya. Tetapi oleh kerana fikiran mereka tidak dapat menjangkau fikiran dan perasaan si ibu, si kakak memberi telur temakul kepada adiknya. Bukan kerana mementingkan adik lebih dari ibunya, tetapi semata-mata kasihan melihat adik yang menangis-nangis meminta telur tersebut. Dan si anak kecil juga, kerana terlalu kecil, apa yg difikirkan hanyalah makan. Dia belum boleh berfikir tentang perasaan dan kehendak ibunya. Apalah yang boleh difikir oleh anak sekecil itu, melainkan lapar, sakit, bermain dan sebagainya?

Subjek kedua dalam kisah ini ialah masalah komunikasi antara ibu dan anak-anak. Dalam kisah ini, jelas tidak adanya komunikasi berdasarkan simpati dan empati antara kedua-dua belah pihak iaitu pihak si ibu dengan pihak si kakak tadi. Dalam komunikasi yang baik, sikap ‘seek to understand then to be understood’ – sikap memahami orang lain terlebih dahulu barulah orang memahami diri kita sangat perlu. Kita mesti cuba menyelami perasaan, keadaan dan juga kesusahan yang dihadapi oleh orang lain sebelum membuat sesuatu tanggapan, atau suatu penilaian terhadapnya. Dalam ini misalnya, si ibu gagal menyelami perasaan sikakak yang simpatikan kepada adiknya. Dan ibu juga gagal perasaan siadik yg begitu sukakan telur ikan.

Sedangkan si ibu boleh membuat pelbagai alasan bagi pihak anaknya, tentang kenapa anaknya bertindak demikian. Contohnya, si ibu boleh beranggapan bahawa anaknya terlalu lapar. Mungkin telur ikan itu yg paling sedap pernah dirasainya dan pelbagai alasan yg lain. Apabila kita meletakkan diri kita pada kedudukan orang yg sedang kita berkomunikasi dgnnya, maka mudahlah kita membuang rasa negatif seperti sikap prasangka, prajudis dan marah yg tidak diketahui puncanya. Dalam perhubungan, kita tak boleh mementingkan diri sendiri. Yakni kita terlalu memikirkan diri kita tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Kalaulah si ibu dapat menyelami dilema yang dihadapi oleh anak perempuannya, dan kelaparan yang dialami oleh anak lelakinya, maka sudah pasti dia rela mengorbankan telur ikan itu.

Si ibu berada di satu keadaan yang boleh menyelami perasaan seorang anak, sedangkan sianak tidak mampu menyelami perasaan siibu. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu tersebut ialah menahan sabar, menahan lidahnya, menahan perasaan dan berkata pada dirinya sendiri… “anakku hanya seorang budak lelaki yang kecil, terlalu kecil untuk mengerti penderitaanku.” Dia harus sedar bahawa anak itu tidak boleh dilayani sebagai seorang dewasa. Dan dia telah meminta terlalu banyak daripada anaknya yang masih kecil. Siibu harus sedar… bahawa Tuhan pun tidak menghukum anak yang masih kecil. Kesimpulannya, jiwa siibu dalam kisah batu belah batu bertangkup ini terlalu kecil… Terlalu kecil untuk memainkan peranan yang terlalu besar. Ya, orang yang berjiwa kecil tidak akan mampu mendidik sekalipun seorang anak yang kecil!


http://genta-rasa.com
Dis 2008


LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin