Tuesday, 27 April 2010

Doa Bertemu Dengan Isteri Pada Malam Pertama Atau Mendapat Kenderaan Baru.


Petikan daripada Kitab 101 Doa Hadis2 Sahih Terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسأَلُكَ خَيْرَهَا و خَيْرَ مَا جَـبَلْتَهَا عَلَيْهِ ،
وَ أَعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّهَا وَ شَرِّ مَا جَـبَلْتَهَا عَلَيْهِ

" Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu kebaikan kenderaan ini dan kebaikan sifatnya . Dan aku memohon perlindunganMu dari kejahatan kenderaan ini dan kejahatan sifatnya . ( HR Abu Dawud no 2160 , Ibn Majah no 1918 , lihat sahih Ibn Majah no 324 dan Adaab az-Zifaf )

Petua Beramal:

Menurut hadith yang semuanya bertaraf sahih , doa ini bukan sahaja untuk diucapkan oleh seseorang suami kepada perempuan yang sudah diijabkabulkan dengannya , malahan digalakkan membaca doa ini kepada pembantu rumah yang baru diperolehi atau kenderaan yang dibeli , mudah-mudahan dengan berkat doa ini , terpelihara dari sebarang musibah seperti kejahatan , kehilangan , kemalangan dan sebagainya. (Lihat Kitab Al-Azkar bab Doa seorang Suami kepada Isterinya malam Pengantin )

Facebook/Ustaz Zahazan Mohamed
April 2010

Bertasbih Dengan Jari Atau Dengan Tasbih


”Jangan guna tasbih, tasbih tu bid’aah? Pakcik tak boleh guna” kata seorang pemuda dengan keras dan lantang kepada pakcik imam sebuah surau kampung. Pakcik imam menjawab sambil tersenyum, ”Takpe, saje je nak guna tasbih ni, biasanya pakcik guna jari”.

Begitulah gambaran satu senario yang mungkin berlaku dalam masyarakat kita. Tulisan ini tidak mahu membincangkan soal cara dan uslub pemuda tersebut menegur pakcik imam tadi. Situasi di atas agak keras, kasar dan tidak sesuai. Agak keterlaluan jika terus membidas seseorang dengan kata-kata bid’ah. Jika ingin menegur ada cara dan uslub yang lebih baik. Tulisan sederhana ini hanya ingin mengenengahkan isu penggunaan tasbih dan jari dalam zikir, antara kedua-dua cara manakah yang lebih baik? Alat tasbih di sebut subhah dalam bahasa Arab dan dikenali dengan nama tasbih dalam masyarakat Melayu. Ada segelintir orang memang suka menggunakan tasbih, sehingga setiap masa dalam poket baju melayunya ada tasbih. Manakala segelintir lagi, langsung tidak suka menggunakan tasbih, bahkan dia mampu juga berzikir. Zaman sekarang sebagai ganti kepada rantai, muncul rekaan terbaru sejenis alat yang diperbuat daripada besi mengandungi nombor, orang yang berzikir hanya memetik dengan ibu jari atas butang yang disediakan mengikut bilangan yang dikehendaki. Tetapi, antara penggunaan jari dan alat-alatan seperti itu yang manakah lebih baik?. Guna rantai tasbih atau guna jari? Walaupun tujuan kedua-duanya adala sama, iaitu untuk membilang zikir yang dibaca, tapi ia tetap ada perbezaan.

Sebenarnya ramai cendekiawan Islam yang menulis berkenaan hukum atau sejarah penggunaan rantai tasbih. Mungkin yang terawal ialah Imam al-Suyuti (wafat 911H) dalam tulisan beliau yang bertajuk ”al-Minhah fi al-subhah”. Kemudian diikuti oleh muridnya Ibn Tulun (wafat 953H) dengan nama ”al-Mulihhah fi ma warada fi asl al-subhah”. Selepas itu, muncul al-Sheikh Abd al-Hayy al-Laknawi (wafat 1304H) yang mengarangkan kitab ”Nuzhat al-Fikr fi subhat al-zikr”. Beliau hanya menyebut riwayat dan hukumnya. Namun kesemua karangan tersebut cenderung kepada pensyariatan menggunakan alat tasbih itu. Satu karya semasa yang menarik minat penulis ialah ”al-Subhah tarikhuha wa hukmuha” karangan al-Sheikh Bakr Abu Zayd. Beliau mengkaji sejarah kewujudan penggunaan tasbih dalam peribadatan umat-umat lain seperti Budha, Hindu dan Nasrani serta bagaimanakah kemasukannya dalam Islam melalui puak Rafidah, dan ahli sufi. Menurut beliau, dalam sejarah orang Arab sebenarnya mereka tidak pernah mengenali nama ’al-subhah’. Penggunaan tasbih adalah tashabbuh (meniru) cara puak-puak agama lain sedangkan sunnah mengajar kita menggunakan jari.

Berzikir menggunakan jari adalah satu sunnah dalam Islam sama ada jari kanan atau kiri. Ini adalah amalan turun temurun di kalangan orang-orang Islam. Selepas zaman sahabat dan zaman awal tabi’in baru masuk penggunaan zikir dengan biji atau batu yang disusun dengan benang. Kemudian ia dikenali dengan nama al-subhah dan menjadi lambang gerakan sufi yang melampau atau rafidah. Lebih teruk lagi, ada yang mendakwa elok digantung pada leher dan menjadi lambang para malaikat.

Hal yang perlu diketahui ramai ialah, sabit dalam sunnah sama ada secara qawli, fi’li atau taqriri bahawa yang diajar ialah mengira zikir dengan menggunakan jari. Cara inilah yang dilakukan zaman berzaman. Ia membuktikan bahawa Islam ini mudah dan hukum-hukumnya berada dalam lingkungan kemampuan umat Islam. Namun, apakah penggunaan alat tasbih yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat kita itu salah dan terus boleh dilabelkan sebagai bid’ah? Tidak sesekali perlu dilabelkan seperti itu, bahkan ini mungkin akan mengundang perbalahan dan pertelingkahan dalam masyarakat.

Dari segi sejarahnya, Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam membilang zikir dengan jari jemari. Tiada satu hadis sahih yang diriwayatkan tentang zikir menggunakan batu atau biji-bijian. Kebanyakan hadis yang disebut adalah hadis yang lemah. Selepas itu muncul alat subhah atau rantai tasbih. Sumber-sumber sejarah menyatakan bahawa subhah ini adalah benda baru yang dimasukkan dalam agama Islam. Ada pendapat mengatakan bahawa ia mula dikenali sejak 800M. Ia adalah antara cara peribadatan kalangan penganut budha, hindu dan lain-lain. Banyak sumber-sumber sejarah yang dikemukakan oleh Syeikh Bakr Abu Zayd r.h antaranya ialah al-mawsu’ah al-arabiyyah al-muyassarah, dairah al-ma’arif al-Islamiyyah dan fatawa Rashid Rida.

Maka, ditegaskan bahawa rantai tasbih atau biji tasbih yang digunakan untuk membilang tasbih atau zikir yang dilakukan oleh seseorang tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. Bahkan pada zaman sahabat ataupun tabi’in rantai tasbih ini masih tidak digunakan. Oleh kerana itu, sesetengah pakar sejarah berpendapat ia mula dikenali dalam masyarakat Islam apabila dibawa masuk oleh masyarakat non muslim. Justeru, sebahagian ulama mengkategorikan ia sebagai bid’ah. Dalam Islam, semenjak zaman para al-salaf al-soleh, mereka membilang bilangan tasbih dan zikir mereka dengan menggunakan jari jemari. Ada riwayat yang mengatakan sebahagian al-salaf membilang tasbih dan zikir mereka dengan menggunakan batu-batu kecil. (Al-Sharbasi, Yas’alunaka fi al-Din wa al-Hayah 6/477). Namun riwayat-riwayat tersebut dihukumkan lemah oleh ulama. (Bakr Abu Zayd, al-Subhah 7-16).

Justeru, kesimpulan yang saya boleh buat di sini, tidak perlulah dilabelkan seseorang pembawa bid’ah sekiranya niat dan tujuan ia menggunakan alat tasbih adalah hanya untuk membilang zikirnya. Sheikh Uthaimin dan al-Sharbasi ada menegaskan sekiranya seseorang mempunyai niat ikhlas menggunakan rantai tasbih untuk membantunya membilang jumlah tasbih dan zikir, maka ia tidak salah. Manakala jika sekiranya, seseorang menggantungkan rantai tersebut pada tengkuk dan lehernya semata-mata kerana tujuan riya’, menunjuk-nunjuk atau sebagainya, ia adalah perbuatan yang dilarang. Begitu juga sekiranya ia sentiasa memegang rantai tasbihnya untuk menunjuk-nunjuk atau hanya untuk bermain-main tanpa berzikir sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang awam, maka ia wajib dihindari. InsyaAllah, mudahan-mudahan masyarakat Islam di Malaysia tidak ada yang melakukan perbuatan seperti itu.

Namun yang perlu ditekankan ialah lebih afdhal baginya menggunakan jari jemarinya sendiri. Hal ini kerana menggunakan jari adalah cara sunnah yang diajarkan Nabi s.a.w. serta ditunjukkan oleh para sahabat r.a. Tambahan pula, jari-jari yang digunakan untuk membilang zikir-zikir tersebut akan menjadi saksi untuk kita pada hari akhirat nanti. Firman Allah Taala (Yasin : 65) :
Maksudnya : “Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami, dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa Yang mereka telah usahakan”.
Sabda Nabi s.a.w kepada wanita :
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ اعْقِدْنَ بِالْأَنَامِلِ فَإِنَّهُنَّ مَسْئُولَاتٌ مُسْتَنْطَقَاتٌ

Maksudnya : “Wahai sekalian wanita, gunalah jari jemari (untuk membilang zikir) kerana sesungguhnya ia akan disoal dan berkata-kata”.
Oleh itu, untuk memperbaiki dan mencantikkan lagi zikir kita, seeloknya kita mengikut cara tunjuk ajar sunnah Nabi s.a.w. Mudah-mudahan Allah Taala menerima segala amalan dan niat ikhlas kita untuk menjadi pengikut setia Rasulullah s.a.w.

Petikan dari artikel us. Nik Ab Rahim dalam Solusi, ruangan Maqasid.


Facebook/Ustaz Zahazan Mohammed
April 2010

Monday, 26 April 2010

Senarai Dosa-Dosa Besar Dari Kitab al-Kaba`ir


Al-Imam Azzahabiyy menyenaraikan dalam kitabnya "Al-Kabaair" jenis dosa-dosa besar melibatkan perkara-perkara seperti berikut:

1 - Belajar ilmu lalu tidak menerangkannya

2 - Persaksian palsu

3 - Berjudi

4 - Bersumpah palsu dan bohong

5 - Berbohong
6 - Tidak istinjak selepas kencing

7 - Perempuan pelacur

8 - Berbuat zalim terhadap yang lemah

9 - Berdebat dan memusuhi

10 - Bersifat dayus

11 - Bercakap kasar dengan orang tua

12 - Dusta nama Allah dan rasulnya

13 - Derhaka pada suami

14 - Derhaka pada hamba Allah

15 - Hakim yang zalim

16 - Homoseks

17 - Menipu dalam timbangan

18 - al-Abd al-Aabiq /iaituhamba yang lari dari tuannya

19 - Lelaki menyerupai wanita ( al-mutasyabbihin binnisak )

20 - Lari dari medan perang di jalan Allah

21 - Membunuh manusia

22 - Membunuh diri sendiri

23 - Mengamalkan sihir

24 - Meninggalkan sembahyang lima waktu

25 - Meninggalkan sembahyang jumaat

26 - Menderhaka ibu bapa

27 - Memutuskan hubungan silaturrahim

28 - Melakukan zina

29 - Makan harta anak yatim secara tidak betul

30 - Mengumpulkan kekayaan haram

31 - Memberi dan menerima rasuah

32 - Melabuhkan pakaian kerana berlagak sombong

33 - Berurusan dengan riba

34 - Minum arak

35 - Mencuri

36 - Merompak

37 - Melakukan kezaliman

38 - Melakukan pengkhianatan

39 - Mengungkit-ungkit pemberian

40 - Mengingkari janji

41 - Memfitnah

42 - Mengutuk orang Islam

43 - Merasa aman dari kemurkaan Allah

44 - Menipu harta rampasan

45 - Melampaui batas

46 - Menuduh zina terhadap orang baik

47 - Memakai emas dan sutera (bagi lelaki)

48 - Mempercayai nujum dan sihir

49 - Wanita menyerupai lelaki ( al-Mutasyabbhihatu birrijal )

50 - Mencari-cari kesalahan orang lain

51 - Menganggu orang lain

52 - Menganggu tetangga

53 - Menyakiti dan memaki orang Islam

54 - Mengintip dan membuka rahsia orang

55 - Mencaci sahabat Nabi

56 - Mengurangi wasiat

57 - Mengingkari takdir

58 - Putus asa dari rahmat Allah

59 - Penipuan dan kezaliman terhadap orang bawahan

60 - Riak dan menunjuk-nunjuk

61 - Syirikkan Allah dengan sesuatu yang lain

62 - Sombong serta angkuh

63 - Sembelih untuk selain Allah

64 - Tidak mengeluarkan zakat

65 - Tidak berpuasa di bulan ramadhan

66 - Tidak mengerjakan haji sedangkan bermampuan



Facebook/Ustaz Zahazan Mohamed
April 2010

Sunday, 18 April 2010

Renungan Untuk Seorang Insan Yang Bergelar Isteri....


"Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah swt lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) ketika di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka" (an-Nisa':34)

"Mahukah kamu aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki?, iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya". (Riwayat Ibnu Majah)"

Jika diizinkan seseorang manusia sujud kepada manusia, tentu aku akan menyuruh wanita-wanita sujud menyembah suaminya, lantaran begitu besar Allah swt jadikan hak laki-laki ke atas wanita. (Riwayat Abu Daud)"Sesungguhnya apabila seorang suami menatap isterunya dan isterinya membalas pandangan dengan penuh cinta dan kasih, maka Allah swt menatap mereka dengan pandangan kasih mesra dan jika suami membelai tangan isterinya, maka dosa mereka jatuh berguguran di sela-sela jari tangan mereka". (Riwayat Maisarah, Ali daripada Abu Said Al-Khudri)"

Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menjaga kemaluannya daripada yang haram serta taat kepada suaminya, maka dipersilakan masuk ke syurga dari pintu mana saja yang dia suka. (Riwayat Ahmad & Thabarani)

"Setiap isteri yang meninggal dunia yang diredhai oleh suaminya, maka dia akan masuk syurga"(Riwayat Tirmizi & Ibnu Majah)"

Ya Allah ya rahman ya rahim, jadikanlah aku isteri yang taat kepada suamiku, isteri yang dapat membahagiakan & memberi manfaat kepada suamiku ya Allah. Dan jadikanlah rumahtangga kami sepeti rumahtangga Rasulullah dan Khadijah.




May 2009


Tuesday, 9 March 2010

10 SURAH MUJARAB DARI RASULULLAH.


1. Surah Al-Fatihah.
Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-
Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya'Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.

2. Surah Yaasin.
Telah bersabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur'an ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Qur'an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Qur'an seluruhnya. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.)Rasulullah s.a.w. juga bersabda : Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "At-Mu'ammah" (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya. (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban). Surah Yaasin ni juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.

3. Surah At-Dhuhan.
Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.

4.Surah Al-Waqi'ah.
Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi'ah pada tiap-tiap malam, insya'Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya'Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat As ar, insya'Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi'ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita. Makna Surah Al-Waqi'ah Ayat 35-38 ialah : "Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.

5. Surah Al-Khauthar.
Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya'Allah dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.

6. Surah Al-Khaafiruun.
Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur'an, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi). Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.

7. Surah Al-Mulk.
Sebuah lagi Surah dari Al-Qur'an iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya'Allah, akan terselamat dari azab kubur.

8. Surah Al-Ikhlas.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya:"Wahai Aisyah isteri ku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur'an." Siti Aisyah lalu berkata, "Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur'an sebanyak 30 juzuk itu." Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, "Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur'an keseluruhannya."Dari Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a., "Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali. Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan : "Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari kiamat."

9. Surah Al-Falaq.
Siti Aisyah menerangkan : "Bahawa Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barang siapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barangsiapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali.

10. Surah An-Nas.
Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke 114) dalam Al-quran. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali yang disebut dalam surah ini yang disebut manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada ALLAH dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahupun jin.

Surah An-Nas ini juga adalah surah perang hati.





27 Ogos 2009




Wednesday, 14 October 2009

MEMAHAMI ZIKRULLAH DALAM AL-QURAN


Firman Allah swt dalam surah al-Ahzab ayat ke 35 , maksudnya :"dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar”. Selain itu Allah swt juga berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang berbunyi :

Berdasarkan ayat ini para ulama', contohnya Mulla 'Ali al-Qari muhaddith dari benua India yang terkemuka menjelaskan bahawa berdasarkan hadith, ibadah yang paling utama untuk dilakukan selepas dari membaca Al-Quran dan mempelajari hadith ialah berzikir . Hebatnya kedudukan orang yang berzikir ini turut dinyatakan dalam firman Allah menerusi surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud :

: “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

Nabi saw pula bersabda yang bermaksud : Allah swt berfirman yang bermaksud : “ Aku sentiasa bersama hambaku apabila dia menginagtiKu dan selagi bibirnya menyebutKu”. Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah . Dalam sebuah hadith sahih yang lain Nabi saw bersabda yang maksudnya : “Tidaklah berhimpun seseuatu golongan itu untuk mengingati Allah melainkan Allah akan mengelilingi mereka dan rahmat menyelaputi mereka dan ketenangan turun kepada mereka dan disebut-sebut oleh Allah pada setiap yang ada disisiNya”.

Muslim hendaklah menjadikan setiap kesempatan yang dilalui sebagai zikrulLah . Tetapi soalan yang timbul ialah bagaimana boleh berlaku begitu . Al-Imam An-Nawawiy seorang pakar fiqh bermazhab Syafi'iy yang masyhur memperjelaskan dalam kitab al-Azkar, betapa mudahnya amalan zikir ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian beliau berkata bahawa segala tindak tanduk yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah merupakan zikir . Jika difahami perkara ini maka bukan sahaja pertuturan itu mempunyai nilai zikir , malah tidur , bersembang , ziarah menziarahi juga termasuk dalam zikir . Penjelasan ini adalah berteraskan kepada hadith-hadith dan ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan perkara tersebut.Hal ini sekaligus menafikan tanggapan 'rigid' masyarakat bahawa zikir hanyalah terbatas dalam kondisi-kondisi ibadah khusus seperti selepas solat atau pada waktu-waktu tertentu yang lain sahaja.

Al-Imam Al-Ghazaliy menyebut dalam Al-Ihya` , setiap episod yang dilalui dari pagi hingga ke malam hendaklah dipastikan menjadi ibadah kepada Allah . Lantaran itu , agenda kehidupan itu mestilah bermula dengan hubungan yang langsung dengan Allah . Alangkah baiknya jika hari itu dimulakan dengan 2 rakaat tahajjud diikuti dengan dua raka’at sunat hajat dan sebagainya .

Selesai solat subuh muslim menuju ke tempat kerja . Kerja merupakan peluang untuk beribadah kepada Allah dengan syarat menepati syarat yang ditetapkan oleh Islam . Pada waktu pagi , lebih kurang tiga jam selepas matahari terbit , muslim janganlah melepaskan peluang untuk beribadah . Ibadah yang sesuai pada masa ini ialah solat duha atau menunaikan keperluan seseorang muslim yang lain . Pada hari bekerja pula , waktu ini digunakan untuk bekerja dalam erti kata yang sebenarnya . Apakah dia sedar dia mendapat rezki yang tidak halal sekiranya mengabaikan tanggungjawab kerja itu dengan menghabiskan masa di kedai makan dan sebagainya .

Menjelang waktu zohor pula , seseorang hamba itu boleh meneruskan pekerjaannya sebaik tamat solat zohor . Sekiranya kerja sudah selesai maka dia boleh berehat atau qailulah iaitu tidur untuk membolehkannya Qiyamullail. Apabila masuk waktu asar , tugasnya ialah bersolat seperti biasa kemudian berzikir dan berwirid , seterusnya beraktiviti berbentuk kekeluargaan bersama anak dan isteri menerusi aktiviti-aktiviti rekreasi, riadhah dan kreativiti .Di samping dapat meningkatkan kesihatannya ia juga merupakan waktu berkualiti yang berupaya untuk menjalin hubungan kekeluargaan cara yang paling effisien dan memupuk kemesraan .

Kedatangan waktu maghrib menandakan berakhirnya hari tersebut . Al-Hasan ra berkata : Wahai anak Adam , sesungguhnya engkau itu ibarat hari-hari . Apabila berlalu sehari , bererti hilang sebahagian darimu dan hari-hari ini apabila berlalu takkan kembali lagi . Dia wajar menghitung hidupnya , adakah dia berjaya memperbaiki amalannya untuk bertemu Allah ? Jika dia berjaya menunaikan sebahagian kebaikan , maka hendaklah memuji Alah yang telah memberi kepadanya taufiq untuk melakukannya . Jika sebaliknya , maka wajarlah bertaubat kepadaNya dan berazam untuk tidak beriltizam dengan maksiat itu . Maksiat itu hendaklah diimbangi dengan kebaikan kerana Allah menyebut dalam firmanNya bermaksud : “ Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan” . Itulah yang menyebabkan ramai golongan salaf berusaha menutup hari mereka dengan sedeqah dengan harapan agar dilupuskan ‘hutang’ yang berlaku dalam sehari suntuk kehidupan .

Waktu antara maghrib dan Isya` hendaklah diisi dengan sebaiknya , samada untuk menghadiri majlis ilmu atau membaca Al-Quran atau bertasbih , berzikir dan solat sunat . Menurut sesetengah ulama` , Allah swt memuji para sahabat dengan sikap memelihara ibadah mereka pada waktu ini dalam surah As-Sajadah ayat 16 yang bermaksud : “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka”.Mengisi masa bersama anak-anak samada membantu melakukan ulangkaji pelajaran atau mengadakan perjumpaan kekeluargaan untuk berbincang tentang perkembangan ilmu terkini dalam format perbincangan juga merupakan inisiatif ibadah yang terpuji dan ia termasuk dalam konteks zikir yang diperluaskan.

Seterusnya selesai solat Isya` , eloklah kiranya diisi dengan program Al-Quran seisi keluarga . Antara surah yang digalakkan untuk dibaca setiap malam adalah surah Al-Waqi’ah . Nabi Muhammad bersabda dalam sebuah hadith riwayat Ibn As-Sunniy dan Ibn Al-Jauziy yang bermaksud : “ Sesiapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam akan terselamat dari kepapaan”.

Sebelum tidur , alangkah baiknya jika dibacakan surah peneyelamat dari siksa qubur, iaitu surah al-Mulk, seperti riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dan lain-lain.

Akhir sekali dikerjakan solat sunat witir sebagai penutup solat pada malam itu . Sekiranya dipilih oleh Allah untuk tersenarai bersama hambanya yang Qiyam , maka ia adalah nikmat dariNya . Tidurlah dalam keadaan berwudhuk , suci dan dengan doa yang diajarkan oleh Nabi saw.

Mudah-mudahan kita beroleh kedudukan hamba yang taat kepada Allah , yang sentiasa mengngatinya dalam segenap waktu dan masa yang diberikan .




MEI 2009


LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin