Monday, 18 April 2011

MENYELESAIKAN PERGADUHAN ANAK- ANAK.


“Yop, kenapa Yop bergaduh dengan kawan-kawan tadi tu?” saya menepuk bahu Saiful Islam.
Beliau memuncung.
Enggan berkata-kata.
“Yop, kenapa gaduh?” Imad menyampuk, meniru soalan saya kepada abangnya.
“Ha ah, kenapa Yop gaduh tadi?” Naurah pun membabitkan diri sama.
Menambah tekanan ke atas abang mereka yang masih ‘berasap kepala’.
“Janganlah tanya Yop macam tu. Pening kepala dia. Biar abi sahaja yang tanya” saya mengarahkan Imad dan Naurah duduk kembali di kerusi belakang serta memasang kembali tali pinggang keselamatan.
“Tadi tu Yop main ke gaduh?” saya menukar bentuk soalan untuk menyegarkan pertanyaan ulangan.
“Gaduh!” jawab Saiful Islam.
Ringkas.
“Kenapa gaduh?” saya bertanya lagi.
“Dia orang ejek Yop” anak saya mula membuka ruang bicara.
“Oh, macam tu. Kenapa mereka ejek Yop? Eh silap, mereka ejek Yop apa?” saya menyambung soalan, sambil membatalkan soalan yang tidak disukai oleh anak-anak iaitu KENAPA.
“Dia orang cakap Yop Saiful Apek!” jawab Yop.
“Hahaha! Oppss…” saya memekup mulut kerana tergelak dengan tidak sengaja.
“Abi ni…!!!” Saiful Islam bengang dengan saya.
“Sorry Yop. Abi tak sengaja. Oh, sebab itulah Yop marahkan mereka. Mereka panggil Yop Saiful Apek rupanya” sebagai bapa, saya harus membina kepercayaan anak-anak bahawa kita mengiktiraf masalah mereka dan memahaminya.
HANTU TELEVISYEN
“Yop tahu tak, orang yang panggil Yop Saiful Apek tu, mereka hantu televisyen. Sebut aje Saiful, terus teringat Saiful Apek!” saya cuba memujuk.
“Ada Saiful lain ke?” soalnya kepada saya.
“Tentulah ada. Ramai. Ada Saifulllah, itu gelaran untuk Khalid bin al-Walid, tahu! Yop tahu sebab apa abi bagi Yop nama Saiful Islam?” saya pula melontarkan soalan kepadanya.
“Kenapa?” mulutnya masih memuncung semasa menyoal.
“Saiful Islam itu ialah pejuang Islam di Mesir. Bapanya bernama Hasan al-Banna. Hero Islam. Lebih hebat dari Raihan Rangers. Yop di sekolah Rumah Hijau, kan? Rumah Hijau bukankah namanya Hasan al-Banna? Saiful Islam itu nama anaknya” saya menarik kembali lipatan memori 7 tahun yang lalu, ketika memberi nama kepada anak sulung yang baru lahir.
saifulislamalbanna
Sheikh Ahmad Saiful Islam al-Banna
SESI DIALOG
Tengah hari itu, saya menghabiskan masa yang banyak bersama dengan anak-anak di dalam kereta meredah lautan kenderaan yang sesak di jalanraya. Kami mahu mengambil Ummu Saif yang habis bekerja jam tiga. Seronok juga dapat berbual-bual dengan mereka. Kebetulannya, ada topik yang penting untuk diselesaikan.
“Tapi dia orang tu jahat!” kata Saiful Islam kepada saya.
“Sebab itu abi tak bagi Yop pukul dia orang. Kalau Yop pukul dia orang, maknanya Yop pun sama macam mereka. Orang Islam tak boleh sakitkan orang lain dengan lidah dan tangan. Berdosa” saya cuba menangkis pandangan si anak.
“Habis tu takkan nak biar aje?” anak saya mempertikaikan pendapat bapanya.
“Jangan biarkan aje. Tapi Yop cakap le Alhamdulillah. Terima kasih ejek Yop. Yop dapat pahala, kamu dapat dosa!” saya memberikan cadangan.
“Kalau dia orang takut dosa, dia orang tidaklah ejek Yop” bidas beliau.
Aduh, pening kepala saya. Ada juga betulnya kata-kata anak saya. Buat apa timbulkan soal dosa kepada orang yang tidak pedulikan dosa. Membuang masa.
NAK GADUH JUGA
“Habis tu Yop nak buat apa?” saya meminta pendapatnya.
“Yop nak juga pukul dia orang” anak saya begitu sepenuh hati meluahkan kehendaknya.
“Terpulanglah kepada Yop. Tapi kalau mereka pukul Yop balik, Yop nak buat macam mana?” saya ‘memberikan’ kebebasan kepada beliau, sambil menyelitkan persoalan tentang risikonya.
“Yop minta tolong Abi” jawabnya pantas.
“Kalau Abi tak ada?” sengaja saya lontarkan provokasi kepadanya.
“Allah ada” tangkas Saiful Islam menjawab.
“Tapi Allah benci orang yang pukul orang. Allah tak akan tolong Yop sebab Yop pun buat dosa macam orang yang ejek Yop tu dapat dosa” penerangan dilanjutkan lagi.
“Ye la, Yop tak gaduh!” akhirnya Saiful Islam mengalah.
“Err, tapi kalau orang nak tumbuk Yop kena pertahankan diri, tahu!” saya pula yang risau.
“Kena gaduh?” anak saya terkejut.
“Silap, silap. Bagitahu ustaz sahajalah. Senang cerita” saya tidak mahu mengelirukan si anak.
“Nak bagitahu ustaz mana?” soal beliau lagi.
“Ustaz Hasrizal. The Dragon Warrior, boleh?” saya mengusik.
“Err…!” anak-anak mengalah.
Mereka hilang selera bertanya lagi.
18 Oktober 2010

TANGGUNGJAWAB ANAK LELAKI.


13 April 2011 jam 1.00 petang, hari ini saya bersama krew Usrah, membuat program ini di rumah orang tua al-Ikhlas di Puchong 2.
Saya melangkah masuk ke rumah ini dan melihat puluhan orang tua lelaki dan perempuan berada di sini.
Tapak rumah orang tua al-Ikhlas sebenarnya adalah tapak masjid lama. Saya amat memahami apa yang dilalui oleh pengasasnya kerana kita juga biasa dengan rumah kebajikan. Ujian dan berbagai cabaran dilalui hinggalah berdirinya rumah kebajikan seperti ini.
Pada saya, ia adalah usaha yang sangat murni kerana tidak kurang penghuni di sini yang ditinggal oleh saudara mara tanpa apa khabar berita.
“Ustaz, paling kurang, mereka ziarahlah kami sebulan dua, ini ada yang bertahun pun tak pernah jenguk” kata saya seorang warga tua di sini dengan air mata yang bertakung.
Ada lima golongan ibu yang berada di bawah tanggungan anak lelaki hinggakan jika anak lelaki ini mempunyai zakat sekalipun, tidak boleh memberikan kepada golongan ini kerana golongan ini bukannya mendapat zakat, tetapi, jika mereka tidak mampu, mereka perlu mendapat nafkah yang mesti disediakan oleh anak lelaki.
1. Ibu kandungnya
2. Ibu susuannya
3. Ibu angkat yang mengambil alih tugas ibu kandung yang menjaganya dari kecil
4. Ibu tirinya
5. Ibu mertua
Ketika kita berkahwin dengan seorang wanita, kita bukan berkahwin dengan tubuhnya semata-mata, tetapi kita juga berkahwin dengan segala tanggungjawab yang ada bersamanya. Jika dia mempunyai anak, maka kita juga kena mengasihi anak itu dan jika dia mempunyai ibu bapa, maka kita wajib memeliharanya kerana ia adalah tanggungjawab yang ada bersamanya.
Kelima-lima golongan ibu di atas adalah dibawah tanggungan anak lelaki dan jika anak lelaki mengabaikannya dengan sengaja, ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
Berbicara mengenai tanggungjawab, ia berkaitan dengan keimanan dan semoga, jika kita menunaikan tangungjawab pada golongan ibu di atas, mahupun bapa, mudahan anak kita nanti akan berbakti kepada kita, amin…
“Ilmu Pelita Hidup”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
15 Jamadil Awal 1432/18 April 2011 jam 3.15 pagi

Sunday, 10 April 2011

KEAJAIBAN LALAT RUMAH.

PAGI hari. Anda menghadap segelas teh tarik dan sekeping roti canai. Tiba-tiba seekor lalat jatuh ke dalam cawan minuman anda. Apakah anda akan meminum airnya? Anda mungkin tidak meminumnya kerana jijik dengan lalat tersebut. Pada hal dari segi saintifik air itu selamat diminum setelah lalat direndam seluruhnya didalam air kemudian dibuang. Lalat yang biasa kita temui dan dibincangkan di sini merujuk kepada lalat rumah.

Definisi

Nama saintifik lalat rumah ialah Musca Domestica. Pengelasan lalat rumah menurut ilmu zoologi diletakkan di dalam order serangga yang dipanggil Diptera, iaitu serangga bersayap dua. Lalat mempunyai enam kaki dan badan bersegmen meliputi kepala, toraks, dan abdomen.

Kitar hidup.

Seekor lalat rumah (selepas ini hanya disebut lalat) melalui empat peringkat untuk mencapai kitar hidup yang sempurna. Perkembangannya bermula daripada telur, larva, pupa dan lalat dewasa. Satu kitaran lengkap mengambil masa di antara tujuh hingga sepuluh hari di bawah keadaan mantap. Masa ini dipengaruhi oleh kelembapan, ketahanan telur, suhu dan cahaya. Seekor lalat betina mampu bertelur sebanyak 2700 biji telur dan biasanya dalam kelompok-kelompok yang berbeza. Setiap kelompok mengandungi antara 350 hingga 900 biji telur.

Telur yang matang selepas enam jam ditingkalkan dan akan berkembang di dalam kepompong sehingga berukar menjadi lalat dewasa. Pada tempat yang lembap, larva boleh mendaki ke tempat yang lebih tinggi daripada permukaan kawasan telur ditinggalkan. Dalam satu kajian kes, terdapat larva yang berjalan sehingga 150 kaki daripada kawasan pembenihan. Larva kemudian bertukar menjadi pupa yang dilindungi kepompong dan membesar dalam masa tiga hingga enam hari. Lalat dewasa kemudian keluar dan akan bertelur selepas sebulan. Jangka hayat seekor lalat pula di antara satu dan dua bulan pada musim panas.

Cara makan.
Lalat tidak menggigit tetapi menyedut zat makanan seperti nyamuk dengan menggunakan belalai. Sebelum makan, lalat merembeskan saliva untuk melembutkan makanan. Hasil tindak balas kimia di antara saliva ke atas makanan menjadikannya bertukar dalam bentuk cecair, kemudian disedut. Lalat mempunyai lidah berbentuk penyedut (straw).

LALAT PADA PANDANGAN ISLAM

Pada asasnya, lalat amat bahaya kepada kesihatan manusia dan haiwan kerana menjadi vektor yang membawa dan menyebar organisma berpenyakit. Bakteria dibawa di luar permukaan badannya. Apabila hinggap di atas makanan, lalat juga meninggalkan najis yang akan menyebabkan keracunan.

Kisah lalat diceritakan dalam hadis nabi Muhammad S.A.W, pada suatu hari nabi bersabda yang bermaksud, “Jika seekor lalat jatuh ke dalam minuman kamu, rejamkannya ke dalam air. Satu sayapnya mengandungi racun manakala satu sayap lagi mengandungi penawar.” (Hadis riwayat Bukhari, bilangan 537, jilid 4).

Perkara yang sama dicatatkan juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad, Abu Daud, at-Tahawi, Said bin Khalid dan Thumamah ibn Abdullah ibn Anas.

Shah Wali Allah Ad-Dahlawi mengatakan di dalam kitabnya Hujjatullaahu al-Baalighah bahawa hadis ini menunjukkan Allah bebas memberikan setiap spesies yang beracun sistem imuniti atau penawar.

Hal ini agar dapat memastikan kelangsungan hidup speasis tersebut. Racun pada lalat merupakan alat untuk mempertahankan dirinya sendiri daripada serangan musuh. Manakala penawar pula disediakan untuk memastikan keselamatan makhluk lain yang dicemari racunnya. Hukum timbal balik ini samalah seperti tindak balas di antara bes dan asid yang meneutralkan anatara satu sama lain.

Lalat dilengkapkan penciptaannya oleh Allah dengan kandungan penawar pada sayap sebelah kanan dan racun di sayap kiri. Apabila merasa terancam, seperti kakinya terlekat di dalam air mekanisma pertahanan diri akan bertindak secara spontan. Sayap sebelah kiri dikepak mencecah air agar racun yang dimiliki berupaya menewaskan musuh. Namun begitu, biasanya air yang melekat pada sayapnya tidak mampu memberi kekuatan kepadanya untuk terus terbang. Ketika itu, sayap sebelah kanannya masih lagi tidak mencecah air. Justeru kitalah yang terpaksa menyelamkan lalat ke dalam air bagi memastikan racun yang terserak dineutralkan semula.

Dr. Gyath Hassan Al-Ahmad di dalam bukunya At-Tibb An-Nabawi fi Daw Al-‘Ilm Al-Hadith (Perubatan Kenabian dalam Sains Moden) melaporkan bahawa Dr. Nabih Da’ish menjalankan eksperimen di Universiti Raja Abdul Aziz, Riyadh. Dr. Nabih menyediakan sampel sepuluh kultur bakteria daripada air steril yang dimasuki lalat tanpa menyelamkan lalat. Sepuluh sampel yang ditenggelamkan lalat sekali, dua dan tiga kali masing-masing. Kemudian kesemua 40 sampel diperhatikan kandungan bakteria. Hasilnya, beliau mendapati koloni bakteria berkurang apabila jumlah selaman meningkat. Air yang tidak diselam lalat mengandungi paling banyak bakteria, manakala air yang diselam lalat sebanyak tiga kali mengandungi bilangan bakteria paling sedikit.

Selain itu, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Jamaal Haamid dari Jabatan Mikrobiologi Perubatan, College of Science Qassim University menjalankan kajian penentuan jenis bakteria yang terdapat pada sayap lalat. Beberapa spesies lalat diambil untuk kajian. Dua piring petri diletakkan air steril, lalat dijatuhkan dalam piring kedua tanpa menenggelamkannya. Sebaliknya lalat dijatuhkan dan ditenggelam sepenuhnya dalam piring pertama. Hasil kajian mendapati lalat yang dikaji mempunyai bakteria E. Coli sp. (baca 'e-kolai') yang diperoleh dalam piring petri kedua. Manakala dalam piring petri pertama, sejenis antibiotik Aktinomiesis (Actinomycis) diekstrak. Antibiotik ini merupakan antigen dalam sistem imun yang memusnahkan fungsi bakteria yang bertindak selaku patogen.

Penemuan yang menarik ini menentusahkan kehadiran racun dan penawar yang terdapat pada kedua-dua sayap lalat. Kajian oleh kumpulan Dr. Jamaal juga mengambil kira speasis lalat selain lalat rumah. Keputusan menujukkan walau pun jenis bakteria yang dimiliki berbeza, jenis antibiotik tetap sama. Antara jenis bakteria yang diperoleh dalam kajian ini termasuklah Staphylococcus sp., Salmonellas sp., Proteus sp., dan Coynibacterium Dephheroid.

Perkembangan teknologi perubatan akhirnya menggerakkan saintis sama ada Islam atau Barat untuk mengkaji kesasihan hadis rasulullah S.A.W ini. Dua penemuan sains yang dijalankan oleh saintis Islam mengesahkan kebenaran hadis nabi Muhammad S.A.W. Kita selaku orang yang beriman kepada kerasulan nabi Muhammad harus merasa takjub, lantas meningkatkan lagi keyakinan kita terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda. Perkara ini sekurang-kurangnya menjadi hujah kepada orang yang beriman bagi menolak tohmahan kononnya nabi seorang ahli sihir atau seorang yang pandai mereka-reka perkara yang tidak pasti.

Bagaimana nabi Muhammad S.A.W mengetahui perkara ini sedangkan pada waktu itu belum ada teknologi yang canggih untuk mengesahkan kesahihan hadis baginda? Hal ini tidak lain melainkan nabi Muhammad S.A.W mendapat ilham daripada Allah secara langsung. Sesuailah dengan sifat baginda apabila bercakap. Allah menegaskan di dalam ayat 3 dan 4 surah an-Najm, mafhumnya;
“Dan dia (Muhammad) tidak bercakap mengikut hawa nafsunya. Melainkan apa yang diwahikan oleh pemberi wahyu (Allah)”

Glosari

Ø Antigen – Antibodi yang menjadi agen perencat kepada keaktifan virus dan bakteria yang menyerang sistem tubuh.
Ø Patogen – Bendasing yang hadir dalam bentuk bakteria atau virus yang mengganggu sistem pertahanan tubuh.
Ø Kultur – proses pembiakan bakteria yang digunakan dalam bidang biokimia, bioteknologi dan perubatan.
Ø Steril – bebas daripada sebarang bakteria atau bendasing.

Disalin dari : http://www.esasterawan.net/Naimisa Yusof

OGOS 2006

Tuesday, 5 April 2011

Fatwa dan Hukum Menyambut April Fool







Dr. Yusuf al-Qardawi menyebut :

Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda : Orang munafik mempunyai tiga ciri : Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah. [HR al-Bukhari dan Muslim]

Rasulullah SAW memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda SAW bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]

Rasulullah SAW juga bersabda: “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran”. [HR Ahmad dan At-Thabrani]. Sebahagian hadis Nabi SAW turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]

Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang dalam apa bentuk pun. Sambutan April Fool adalah dilarang kerana 4 sebab :

1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.

3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.

4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.

Sheikh Atiyyah Saqr pula menyatakan :

Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.

Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan darurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “darurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Darurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.

Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi iaitu ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan.

Sheikh Shalih Fauzan menyatakan :

Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari April Fool, mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”

Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.





hassan1663.blogspot.com
Mac 2011

Friday, 25 March 2011

DARI BUKU NOTA LAMA.


Sedang saya asyik mengemas buku-buku di rak sebelah meja komputer , terpandang pada sebuah buku nota berkulit hitam yang dah lama saya cari.

Saya selak helaiannya satu persatu, macam -macam yang tercatat di dalamnya. Ada lakaran jubah yang saya nampak di tv, ada nota-nota pendek dari berita di internet, ada gambar-gambar conteng Ammar, ada resepi dan juga senarai barang -barang yang dipesan ketika saya menjadi pengedar untuk RORINE.

Tapi dalam banyak-banyak catatan yang tersimpan dalam buku nota hitam ni, ada beberapa catatan yang ingin saya kongsikan dengan semua kawan-kawan. Untuk peringatan bersama, walaupun nota ini cuma ringkasan dari huraian para Ustaz dalam rancangan ' Tanyalah Ustaz' di tv 9 pada tahun lepas. Semoga ada manfaatnya sempena Ramadhan yang sudah hampir tiba....

1) Antara amalan Nabi saw yang istiqomah dilakukannya dalam bulan Ramadhan ialah,

- memperbanyakkan solat sunat
- membaca Al Quran
- bersedekah (boleh menghilangkan penyakit-penyakit kronik)
- memperbanyakkan berdoa


2) Di sepanjang bulan Ramadhan ini, hendaklah kita cuba dapatkan 4 perkara;

- berzikir dengan kalimah La ila haillallah sebanyak-banyaknya
- beristighfar sebanyak yang boleh
- berdoa agar dijauhkan dari siksa neraka
- berdoa agar mendapat syurga di akhirat


3) Pesan Nabi saw, janganlah hendaknya kamu meninggalkan 3 perkara;

- solat sunat dhuha
- berpuasa 3 hari dalam sebulan
- solat sunat witir


4) Lima langkah untuk membersihkan hati ialah;

- membaca Al Quran
- Qiamullail
- beristighfar
- berpuasa sunat atau mengurangkan makan
- bergaul dengan orang-orang soleh


Zikir adalah untuk membersihkan hati. Sebaik-baik zikir ialah LA ILA HAILLLAH.




ummuafiq.blogspot.com
Ogos 2009

Sunday, 6 March 2011

ADAB - ADAB MENUNTUT ILMU.



DENGAN GURUNYA ;

1. Jangan berjalan di hadapannya.
2. Jangan duduk di tempat gurunya.
3.Ketika berbual, jangan memulai perkataan terlebih dahulu.
4. Jangan banyak bercakap dan ketawa di hadapannya melainkan dengan izinnya atau redhanya.
5. Jangan memanggilnya dengan nama.
6. Jangan meninggikan suara dari gurunya.

DENGAN KITAB ATAU BUKU ;

1. Berada dalam keadaan berwuduk ketika merujuk atau  bersama dengan kitabnya.
2. Tidak melunjurkan kaki pada kitab.
3. Jangan meletakkan sesuatu atas kitab kecuali hajat tertentu seperti mengelak dari tiupan angin.

PUNCA - PUNCA KELUPAAN ;

1 .Melakukan maksiat.
2. Banyak dosa ( tidak bertaubat / minta ampun.
3. Suka berfikir tentang kehidupan dunia berbanding akhirat.
4. Selalu bersedih dan kecewa dengan perihal dunia.
5. Makan sesuatu yang masam.
6. Menilik atau melihat rebusan.
7. Membaca tulisan di batu nisan.
8. Makan makanan yang syubhah ( diragui halalnya).
9. Makan kepala ikan yang di masak berkuah.
10. Tidur dalam keadaan meniarap.
11. Tidur dalam keadan berhadas.



Dipetik dari ruangan SISI IMAM MUDA oleh Muhammad Khairul Azhar Ghazali.

Utusan Malaysia, 3 Mac 2011.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin