Tuesday, 13 September 2011

KAEDAH BEDAH CARA BATIN HARAM.


Oleh
Muhammad Asyraf
Perbuatan dengan bantuan jin boleh pesong akidah
ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.
Malah ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga.” (Surah Al-Isra’, ayat 82)
Amalan perubatan menggunakan doa atau bacaan ayat al-Quran adalah satu daripada cabang rawatan diakui syarak sebagai amalan mulia. Ia dipanggil ruqyah ataupun jampi bersesuaian syarak. Malah ia diamalkan pada zaman Rasulullah dan salafussoleh.
Daripada Auf bin Malik katanya: “Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW, Ya Rasulullah SAW apakah pandangan anda mengenai jampi? Lalu Baginda SAW meminta mereka memperdengarkan jampi digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik.” (Hadis riwayat Muslim)
Kalangan masyarakat menamakan rawatan secara ruqyah saja dianggap perubatan Islam. Manakala rawatan secara saintifik di hospital adalah perubatan moden semata-mata. Hakikatnya perubatan moden sebahagian daripada perubatan Islam.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri dalam kitabnya Tibb al-Nabawi dan Zaad al-Ma’ad menceritakan bagaimana Nabi SAW merawat menggunakan kaedah berbekam, penggunaan biji habbatussauda, madu dan bermacam lagi makanan kesihatan.
Namun, sejak akhir-akhir ini ada kaedah rawatan mula menjadi tumpuan masyarakat iaitu pembedahan batin. Selepas meneliti unsur terdapat dalam pembedahan batin diamalkan sesetengah perawat maka beberapa nas hukum perlu diperjelaskan agar tidak memberi kecelaruan kepada masyarakat dalam menilai benar atau salah.
Rawatan itu ada yang membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dan seumpamanya.
Penggunaan ayat al-Quran atau doa diharuskan tetapi jika disertai dengan sihir, iaitu membabitkan jin, perbuatan itu salah kerana amalan berkenaan termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir.
Walaupun pengamal perubatan batin menyatakan ia berpegang kepada ayat al-Quran dan kaedah syarak, namun difikir secara logik, ternyata bukan mudah seseorang itu, terutama orang awam memastikan status amalan itu.
Apabila sesuatu yang di luar adat kebiasaan itu dilazimi secara berterusan seperti upacara pembedahan batin, sekali gus jelas bagi kita ia sudah terkeluar dari kaedah asas perubatan yang diizinkan.
Ia jauh daripada perubatan secara saintifik moden, ruqyah serta tibb al-Nabawi yang menepati syarak. Jelaslah kaedah perubatan secara pembedahan batin ini meminta bantuan jin kerana sesuatu yang magis dan di luar adat tidak boleh berlaku secara berterusan.
Memang ada ulama membenarkan perubatan dengan meminta pertolongan jin antaranya Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa dan ulama Saudi, Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah. Mereka mengharuskan khidmat jin dengan syarat penggunaan pada perkara diharuskan di samping wasilah juga diharuskan syarak.
Ini bermakna rawatan menggunakan khidmat jin diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Hujah mereka ialah kisah Nabi Sulaiman yang mendapatkan khidmat jin untuk memindahkan istana Puteri Balqis dari Yaman dan ini adalah kurniaan Allah SWT.
Namun, ada pendapat menolak pandangan ini kerana peristiwa Nabi Sulaiman bukan syariat yang ditinggalkan kepada kita.
Pendapat ini dihuraikan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Dr Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd dan ramai lagi. Bahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 pada 21 September 1995 juga memutuskan bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perubatan, mencari kekuatan dan kehebatan ditegah syarak dan haram.
Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin. Umat harus memahami, setiap penyakit ada penawarnya tetapi setiap penawar tidak dijamin boleh menyembuhkan. Semoga Allah membebaskan kita dari segala penyakit dengan reda-Nya, bukan diberi kesihatan dengan kemurkaanNya.

Sept  2011

Monday, 12 September 2011

KELEBIHAN SOLAT DI AWAL WAKTU.


WAKTU SUBUH
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mu dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.
Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
WAKTU ZOHOR
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?
WAKTU ASAR
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.Rahsia warna oren ialah kreativiti.Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.
WAKTU MAGRIB
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
WAKTU ISYAK
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.
QIAMULLAIL
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.Wallahualam.


- Artikel iluvislam.com
Dipetik dari Fb Saudara Ishak Ibrahim

HEBATNYA TAUBAT NABI YUNUS.



Rujukan: Dipetik dari buku Taubat kepada Allah,ditulis oleh Prof Dr Yusuf al-Qardhawi dan diterjemah oleh Ustaz Mohammad Zaini b Yahya.

Al-Quran ada memaparkan kepada kita kisah taubat Nabi Yunus a.s ketika beliau menyeru kaumnya supaya menyembah Allah. Mereka tidak menerima seruannya. Lantas Nabi Yunus tidak bersabar melihat penolakan mereka sehingga beliau memarahi mereka. Beliau kemudian menjauhkan diri dari mereka. Lalu Allah menguji beliau dengan satu cubaan yang bertujuan untuk membersihkannya, menampakkan kekuatan jiwanya, keyakinannya kepadaNya dan kebenarannya bersama Allah.

Pada suatu hari beliau menaiki sebuah bahtera. Apabila bahtera tersebut berada ditengah lautan, tiba-tiba ia ditiup angin yang kencang. Ombak yang kuat pun memukul-mukul bahtera tersebut. Semua yang berada di dalamnya mula bimbang mereka akan karam. Mereka berkata,"Kita mestilah mengurangkan beban bahtera ini agar kita semua tidak karam." Mereka tidak mempunyai pilihan yang lain selain dari membuang sebahagian penumpang ke dalam lautan untuk menyelamatkan sebahagian penumpang yang lain.

Mereka pun membuat pilihan melalui undian. Undian tersebut terkena pada Nabi Yunus a.s. Tiada pilihan yang lain bagi Nabi Yunus melainkan akur kepada persepakatan tersebut. Maka beliau pun dibuangkan ke dalam lautan. Beliau ditelan ikan paus atau "An-Nun" sebagai celaan kerana memarahi kaumnya dan berputus asa dengan meninggalkan mereka tanpa terus berusaha menyeru mereka lagi. Di sini jelas kelihatan keyakinan nabi Yunus,Zun Nun. Di dalam kegelapan laut, malam dan perut paus yang menyelubunginya itu, Nabi Yunus pun menyeru dengan kalimah-kalimah yang telah dirakamkan dan diabadikan oleh al-Quran melalui perkisahannya;

"Maksudnya: Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitkannya (menyulitkannya), maka dia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap,

"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah di kalangan orang-orang yang zalim." Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan, demikianlah kami menyelamatkan orang-orang yang beriman." (Surah al-Anbiya' ayat 87-88)

Tiga kalimah ringkas yang diserukan oleh Nabi Allah Yunus tersebut mempunyai pengertian yang agung. Kalimah-kalimah tersebut ialah.

Pertama: Kalimah yang menunjukkan tentang ketauhidan (tauhid Uluhiyyah) yang menjadi sebab kenapa Allah mengutuskan para Rasul dan menurunkan kitab-kitab serta sebab kepada pembinaan syurga dan neraka.Kalimah tersebut ialah;
La ilaha illa anta.

Kedua: Kalimah yang membersihkan Allah dari segala sifat kekurangan. Ia adalah makna tasbih yang menjadi sebab kepada penciptaan langit dan bumi serta semua makhluk. Setiap sesuatu pasti bertasbih kepadaNya. Kalimah itu ialah; Subhanaka.

Ketiga: Kalimah yang membuktikan pengiktirafan terhadap dosa dan kelalaian dalam menunaikan hak Tuhan serta menzalimi diri sendiri lantaran kelalaian.
Kalimah tersebut ialah; Inni kuntu minazzholimiin.
Inilah slogan atau tema kepada taubat.

Tidak hairanlah jika kalimah-kalimah yang benar lagi ikhlas ini mempunyai kesan yang segera terlaksana di dunia sebelum Akhirat. Seterusnya Allah berfirman

"Maksudnya: "Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman".
(Surah al-Anbiya' ayat 88)

Kalimah-kalimah ini berserta tiga pengertiannya iaitu tauhid, pembersihan dan pengiktirafan telah menjadi teladan di dalam permunajatan dan di dalam menghadapi kesulitan, sehingga terdapat dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan hukumnya sebagai sahih;

"Doa saudaraku Zun Nun, yang jika dibaca oleh orang-orang yang mendapat kesulitan, nescaya Allah akan membebaskannya dari kesulitan itu, iaitu: "Tiada Allah selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku temasuk dikalangan orang-orang yang zalim."

Wallahu'alam

Personal Remark:
-Saya rasa ada banyak pengajaran yang boleh kita dapati dari kisah ini. Antaranya ialah:

1. Agar kita segera bertaubat apabila menyedari akan kesilapan yang telah kita lakukan. Ucaplah kalimah taubat seperti yang diucapkan oleh Nabi Yunus dan yakinlah akan bantuan serta haraplah keampunan dari Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun.
2. Supaya kita selalu beringat bahawa Allah lebih berhak ke atas kita dan Dia berhak menghukum kita atas kesalahan yang kita lakukan. Mohonlah keampunan daripadaNya dengan harapan hukuman ke atas kita akan diringankan dan dipermudahkan serta dosa kita di ampunkan.
3. Hukuman serta dugaan dari Allah adalah salah satu cara tarbiah Allah kepada hambaNya agar kita sedar akan kelemahan serta kelalaian diri dalam melaksanakan suruhanNya serta meninggalkan laranganNya. Hukuman dan dugaan juga adalah cara penghapusan dosa, pembersihan diri dan pengukuhan pada tahap keyakinan, ketaqwaan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah agar kita tidak mudah putus asa dan yakin akan pembelaanNya kepada orang-orang yang beriman.
4. Supaya kita yakin, bahawa pintu taubat Allah itu sentiasa terbuka, selagi belum tibanya hari Akhirat atau selagi ajalnya belum sampai ke tenggorok (halkum). (Perihal "ajal sampai ke tenggorok" ada diriwayatkan oleh Ibn Majah dan At-Tirmizi di dalam satu hadith hasan yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba selagi mana ajalnya belum sampai ke tenggorok (halkum)."
5. Peringatan supaya jangan mudah putus asa dalam usaha menyeru umat manusia ke jalan Allah dan dalam berdakwah. Sentiasa yakin akan pertolongan dan bantuan Allah dan yakinlah bahawa jalan Allah adalah jalan yang jelas kebenarannya.

Wallahu'alam. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu adalah dengan keizinanNya tetapi di atas kelemahan dan kecuaian diri saya sendiri. Jazakallahu khair.

lok9merpatijepang.blogspot.com

Dis 2010

Sunday, 11 September 2011

KISAH ALLAH MENCIPTAKAN MALAIKAT JIBRIL A.S.



Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa, “Sesungguhnya Allah telah menciptakan malaikat Jibrail dengan bentuk yang sangat elok. Jibrail mempunyai 124,000 sayap dan di antara sayap-sayap itu terdapat dua sayap yang berwarna hijau seperti sayap burung merak, sayap itu antara timur dan barat. Jika Jibrail menebarkan hanya satu daripada beberapa sayap yang dimilikinya, maka ia sudah cukup untuk menutup dunia ini”.
Setelah memandang dirinya yang tampak begitu indah dan sempurna, maka malaikat Jibrail pun berkata kepada Allah, “Wahai Rabbku, apakah Engkau menciptakan makhluk lain yang lebih baik daripada aku?” Kemudian Allah pun menjawab pertanyaan malaikat Jibrail, “Tidak”. Mendengar jawapan Allah, maka malaikat Jibrail pun berdiri dan melakukan solat dua rakaat untuk bersyukur kepada Allah. Pada setiap rakaat solat yang dikerjakan oleh malaikat Jibrail, dia menghabiskan masa selama 20,000 tahun lamanya.
Setelah malaikat Jibrail selesai melaksanakan solatnya, kemudian Allah pun berfirman kepadanya, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah yang kamu lakukan, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.
Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat walau hanya sebentar dan dalam keadaan lupa serta serba kurang, dengan pikiran yang melayang-layang dan dosa mereka pun besar, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada solatmu. Hal tersebut kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu”.
Setelah mendengar hal tersebut, Jibrail pun kembali bertanya kepada Allah, “Ya Rabbku, apakah yang Engkau berikan kepada mereka sebagai ganjaran atas ibadah mereka kepadaMu?” Maka Allah berfirman yang ertinya, “Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal mereka”. Malaikat Jibril kemudian meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa tersebut.
Setelah Allah memberikan izin kepadanya, maka malaikat Jibrail pun mengembangkan sayapnya dan terbang menuju syurga Ma’waa. Satu hayunan sayap malaikat Jibrail adalah sama dengan jarak perjalanan selama 3000 tahun. Maka terbanglah malaikat Jibrail selama beberapa lama perjalanan, malaikat Jibrail akhirnya kepenatan dan turun untuk singgah dan berteduh di bawah sebuah pohon. Di sana ia bersujud kepada Allah lalu berkata, “Ya Rabbku, apakah aku telah menempuh setengah atau sepertiga atau seperempat dari perjalanan menuju ke syurga Ma’waa?”
Maka Allah pun berfirman, “Wahai Jibrail, meskipun kamu mampu terbang selama 3000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa puluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan”.
Sabda Rasulullah, “Sebelah kanan sayap Jibrail terdapat gambar syurga berserta dengan segala isinya termasuk bidadari-bidadari, istana, pelayan dan sebagainya manakala sayapnya yang sebelah kiri terdapat gambar neraka dan segala isinya yang terdiri daripada beberapa macam ular yang cukup bisa, kala jengking dan neraka yang bertingkat-tingkat serta penjaganya yang terdiri daripada malaikat yang garang dan ganas yakni malaikat Zabaniyah“.
Kata Rasulullah lagi, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang kecil pada badan manusia kemudian mereka akan menarik rohnya dari kedua telapak kaki hingga lutut dan mereka pun keluar. Setelah itu datang lagi sekumpulan malaikat masuk menarik roh dari lutut ke perut. Begitulah seterusnya dari perut ke dada dan dada ke kerongkongnya. Itu saat nazak seseorang”.
“Kalau orang yang nazak itu orang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang itu dapat melihat kedudukannya di syurga sehingga terlupa orang-orang di sekelilingnya. Jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap sebelah kiri untuk menunjukkan tempatnya di neraka sehinnga ia menjadi sangat takut serta lupa kepada keluarganya”, kata Rasulullah.
Kita sebagai umat Islam mesti mengakui kebenaran ini dan ia adalah sama seperti kita beriman kepada perkara ghaib. Tidaklah mustahil bagi Allah untuk menciptakan segala sesuatu kerana Dia maha pencipta. Cukuplah sekadar kita melihat langit yang tidak bertiang, bukankah ia perkara mustahil bagi manusia untuk membuatnya?
Rujukan: Himpunan kisah-kisah teladan


Julai 2010
http://syahirul.com/penciptaan-malaikat-jibrail/

Sunday, 14 August 2011

KITA INI PALING MENAKJUBKAN BILA ....



Suatu saat Nabi Muhammad bertanya pada para Sahabat dan pengikutnya, “Wahai Manusia , siapakah makhluk Allah yang imannya paling menakjubkan (man a’jabul khalqi imanan)?”

Para sahabat langsung menjawab, “Malaikat … !”.

Nabi menukas, “Bagaimana mungkin para malaikat tidak berimaan sedangkan mereka pelaksana perintah Allah …?”

Sahabat menjawab lagi, “Kalau begitu, para Nabilah yang imannya paling menakjubkan …!”.

“Bagaimana mungkin para Nabi tidak beriman, sedangkan wahyu turun kepada mereka ..!”, Sahut Nabi.

Untuk ketiga kalinya para Sahabat mencoba untuk memberikan jawaban, “ Kalau begitu sahabat-sahabatmu ya Rasul..!”.

Nabi pun menolak jawaban itu dengan berkata, “Bagaimana mungkin sahabat-sahabatku tidak beriman, sedangkan mereka menyaksikan sendiri apa yang mereka saksikan”.

Nabi pun lalu meneruskan kalimatnya, “ Orang yang imannya paling menakjubkan adalah kaum yang akan datang sesudah kalian.
Mereka beriman kepadaku walaupun mereka tidak melihatku.
Mereka membenarkan aku tanpa pernah melihatku.
Mereka amalkan apa yang ada dalam tulisan itu(Quran dan Hadits?).
Mereka bela aku seperti kalian membela aku.
Alangkah ingin berjumpanya aku dengan ikhwanku itu”.

Nabi Muhammad SAW menghibur kita, “Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku,” Nabi mengucapkan kalimat ini satu kali.
Sedangkan konon Nabi mengucapkan kalimat, “Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihat diriku”, sampai tujuh kali.





Februari 2010
http://wirausahapesantren.blogspot.com/2010/02/kita-ini-paling-menakjubkan-bila.html

Friday, 12 August 2011

INDAHNYA HIDUP BERSAMA ALLAH



Sekembalinya Nabi SAW dari bumi Thaif. Berteduh Nabi SAW sebentar di bawah pohon anggur. Di dalam kebun milik Utbah dan Syaibah. Kesedihan jelas terpapar pada wajah Nabi SAW setelah dicerca dan dilontar batu oleh penduduk bumi Thaif. Utbah dan Syaibah memasang telinga mendengar pengaduan hebat dari seorang Rasul kepada RabbNya. Rintihan yang dipohonkan oleh Nabi SAW membuatkan kekafiran Utbah dan Syaibah tersebut juga lentur sehingga menyuruh khadamnya Addas untuk memberi anggur kepada Nabi SAW sebagai penghilang kelaparan.
“Ya Allah… Kepadamu aku mengadukan kelemahan kekuatanku,
Dan sedikitnya kemampuanku,
Serta kehinaanku dihadapan manusia.
Wahai Sebaik-baik pemberi kasih sayang,
Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku.
Kepada siapakah Engkau serahkan diriku,
Kepada orang yang jauh yang menggangguku,
Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku,
Asalkan Engkau tidak marah padaku maka tiadalah keberatan bagiku,
Akan tetapi kemurahan-Mu jauh lebih luas bagiku.
Aku berlindung dengan Cahaya Wajahmu yang akan menerangi seluruh kegelapan,
Dan yang akan memberikan kebaikan segala urusan dunia dan akhirat,
Untuk melepaskan aku dari Marah-Mu,
Atau menghilangkan Murka-Mu dariku.
Hanya pada-Mu aku merintih berharap mendapatkan Keridloan-Mu,
Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu
(Rujuk Raheeq al-Makhtum, Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri)
Perhatikanlah kehebatan tawakkal Nabi SAW. Lembaran hidup beliau menunjukkan pada kita bagaimana bagindan bertawakkal. Ketika Baginda di puncak penghinaan dan penolakan di Mekah. Diragut dengan pemergian dua orang pembelanya iaitu Abi Thalib dan isteri tercinta Khadijah dalam tahun yang sama. Sehingga tercatat lembaran sejarah memberi jolokan inilah tahun duka cita bagi Nabi SAW. Namun kedukaan ini tidak menggambarkan hilangnya rasa keseorangan di hati Nabi SAW. Kepada Allah dijadikan teman.
Khadijah dan Abi Thalib diwafatkan, agar Nabi SAW semakin tergantung hanya kepada Allah SWT. Terkadang, begitu cintanya Allah kepada kita, ia mengambil semua “sebab” yang telah kita terbiasa dengannya. Seolah-olah Allah ingin mengatakan kepada kita , “Wahai hambaKu, Aku ingin engkau datang dan berlindung hanya kepadaKu”. Ketika kita menyangka semua jalan sudah tertutup, lalu Allah menginginkan kita kembali padaNya hingga kita mengetahui Dia itu al-Wakil.
Lantaran itu doa yang sering dituturkan Nabi SAW menggoncangkan hati umatnya dalam meletakkan Allah SWT sebagai pelindung. “ Ya Allah, jangan Kau tinggalkan aku untuk diriku walau sekelip mata atau yang lebih sedikit dari itu. Kerana jika Engkau meninggalkanku, maka Kau tinggalkan aku dalam kelemahan, aurat dan kesilapan. Dan aku tidak percaya kecuali pada rahmatMu.” ( HR al-Baihaqi)
Penyerahan sebulat hati walau sekelumit kerdipan mata. Itulah tawakkalnya seorang Rasul. Di sisi lain Allah “cemburu” pada hati manusia. Allah mencintai kalau hati seorang hamba terkait denganNya sendirian ketika ia dalam kondisi taat. Tetapi kadang hamba itu disibukkan dengan urusan dunia. Lalu Allah mengambil dunianya tersebut agar ia hanya disibukkan dengan Allah semata-mata.
Lihatlah peristiwa Nabi Ibrahim AS. Ketika ia tertarik dengan kehadiran anak baru iaitu Ismail AS. Allah mengambil Ismail dari tangannya. Dia memerintahkan Ismail disembelih. Namun tatkala di hati Ibrahim hanya terdapat Allah sebagai pemilik cintanya, maka digantikan kibas sebagai galang ganti hadiah pengorbanan beliau.
Nabi Yaakub AS, dikurniakan seorang anak yang sangat comel iaitu Yusuf AS. Sehingga kecintaan kepada Yusuf AS memenuhi semua hidup dan hatinya. Maka Allah mengambil Yusuf AS selama dua puluh tahun, sehinggalah hatinya kembali dipenuhi cinta pada Allah. Lalu Allah pun mengembalikan Yusuf AS padanya semula.
Inilah dinamakan “cemburu” nya Allah. Cemburu Allah tidak sama seperti cemburunya makhluk. Diambilnya pendamping kita, untuk digantikan diriNya sebagai Maha Pelindung. Kefahaman inilah yang membuatkan Nabi SAW mendidik para sahabatnya dalam bertawakkal.
Kisah kegentaran Abu Bakar RA ketika di Gua Thur detik peristiwa Hijrah di rendangkan dengan pesanan mulia Nabi SAW , “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”. Dada Ibn Abbas yang masih kecil ketika itu ditanam dengan pesanan Nabi SAW dengan sabdanya“Jagalah Allah, maka Dia akan menjagamu”. ( HR al-Tirmizi dan Ahmad)
Di manakah tahap kebergantungan kita pada Allah SWT. Ketika dihimpit dengan kesukaran. Ketika disaat hilangnya tali berpaut. Adakah kita mampu meneladani contoh terpilih yang sentiasa hidup kebersamaan disamping Allah . Sehingga mereka digelar kekasihNya. Tatkala pedang dihunus ke leher Baginda Nabi SAW, ditanya siapakah yang mampu menghalangimu. Lalu dijawab oleh Nabi SAW, hanya ALLAH penghalangmu. Membuatkan terjatuhnya pedang si musuh dengan jawapan betapa tingginya nilai kebergantungan kepada Allah SWT. Juga ketika mana manusia berbondong-bondong menahan keperitan kepanasan api yang setinggi bangunan yang disediakan bagi membakar Nabi Ibrahim AS. Mereka semua hanya berkata tiada lagi yang dapat membantu Nabi Ibrahim AS. Namun mereka terlupa. Siapakah yang paling hampir disisi hambaNya yang erat dalam kebersamaan. Lalu terpancar berulang-ulang dari bibir seorang Nabi, “ Cukuplah Allah bagiku, ( Dialah ) sebaik-baik tempat bersandar.”

JULAI 2011

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin