Monday, 20 February 2012

RIWAYAT HIDUP IMAM SHAFIE



Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf.

Imam Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw.

Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah sewaktu Imam Hanafi berada dalam penjara. Beliau dipenjara , diseksa dan dirotan kerana tidak mahu memberikan kerjasama kepada Khalifah Bani Abbasiyah yang zalim itu dengan menolak tawaran untuk menjadi Hakim kerajaannya.

Imam Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun.Beliau menghafal Kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik (Mazhab Maliki) selama 10 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa.Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.

Sebelum melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit.Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke bumi.Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka bumi.Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.

Imam Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat! Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji. Imam Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi,Imam Maliki dan Iman Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali). Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulamak sebelu mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Imam Syafie juga melarang Taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa saja. Beliau selalu berpesan: “Janganlah mereka-reka dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis”. Beliau juga berpesan : “Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”

NOTE: ( Ramai yang tidak mencatatkan nama mursyid tarbiah ruhani bagi Imam As-Syafie kerana nak menafikan pendapat-pendapat yang memisahkan ilmu fiqah dgn tasauf, guru beliau dalam bidang ini ialah Syuhbban Ar-Raie & Abu Hamzah As-Sufi. Untuk ma'aluman, ketiga-tiga Imam Mujtahid punyai mursyid dlm ilmu tarbiah ruhani.

Imam Abu Hanifah gurunya Imam Jaafar Shodiq. Imam Malik pula gurunya Imam Musa Kadzim & Maaruf Al-Khurki manakala bagi Imam Ahmad pula gurunya ialah Abu Hamzah As-Sufi & Bisyru Al-Hafi. Semua Imam-imam agung dari ke empat mazhab ada guru khusus mereka dalam tasawuf...hanya orang orang yg bodoh sahaja menganggap Tasawuf & Tarbiah Ruhani berasal dari Hindu-Buddha. ALLAHU ALIM! )

Antara pujian atau pandangan ulamak-ulamak lain kepada Imam Syafie ialah:

Imam Malik bekas gurunya pernah berkata: 

“Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”

Imam Ahmad Bin Hambal berkata: 

“Wahai anakku, Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia dan seperti kesihatan bagi tubuh.”

Beliau juga berkata: 

“Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie”.

Kata Imam Ahmad lagi: 

“setiap ahli hadis yang memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie”

Imam Muhammad al-Hakam berkata: 

“Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui, cerdik akalnya,lebih cerdas fikirannya, lebih cermat amalannya,lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie”. 

Beliau berkata lagi: 

“Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui berkenaan usul Fiqah selain dari Imam Syafie”

Menyelusuri perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali.Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi. Gurunya yang pertama secara tidak formal ialah ibunya sendiri. Ibunya mengajar beliau mengenal huruf dan mengaji al-Quran. Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal Al-Quran.

Bila ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.Namun setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya.Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar disitu!

Imam Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal.Dalam masa 3 bulan saja, Imam syafie mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Pernah suatu kali Imam Syafie memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya, lalu mengalahkan gurunya Mas'ab pula.

Imam Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya. 

Selepas itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang Feqah pula.Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula.Namun Imam Syafie masih merasakan kurang ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas pula.

Imam Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera.Selepas itu Imam Syafie terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.

Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah.Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan.

Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof.Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya.

Imam Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman. Di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan. Mereka dikurniakan 3 orang anak.

Semasa di Najran, Imam Syafie difitnah oleh Gabenor as-Saud iaitu Gabenor Najran kononnya Imam Syafie sedang menghasut rakyat untuk memusuhi dan menjatuhi kerajaan Bani Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun ar-Rashid. Akibat dari fitnah tersebut Imam Syafie dan anak muridnya telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai .Mereka juga dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.

Walau bagaimanapun dengan izin Allah swt Imam Syafie terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal. Diantara ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Imam Syafie, yang membuatkan hati dan jiwa raga Khalifah Harun ar-Rashid terpesona ialah Firman ALLAH swt dari Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud : 

“Hai orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita,periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”

Itulah diantara liku-liku perjalanan yang ditempuh oleh Imam Syafie dalam menuntut ilmu. Banyak lagi guru dan tempat beliau belajar yang tidak dinyatakan disini. Beliau sangat menyintai ilmu. Pernah suatu masa Imam Malik memuji beliau dengan berkata : 

“Sekiranya ada orang yang bahagia kerana ilmunya, inilah orangnya!” 

sambil merujuk kepada Imam Syafie. Berkaitan dengan kegunaan ilmu pula Imam Syafie pernah berkata: 

“Sesiapa yang mempelajari Quran, besar harga dirinya.Siapa yang mempelajari hadis, tinggi martabatnya.Siapa yang mempelajari bahasa,lembut hatinya.Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tidak bererti ilmunya”. 

Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu, jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya.

Imam Syafie meninggal dunia selepas waktu isyak, malam jumaat 28 Rejab tahun 204 Hijrah (tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.

Semasa Abu Ali al-Hasan menjadi perdana menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam Syafie ke Baghdad. Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi liang lahad Imam Syafie. Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang pengsan. Bila perkara ini diketahui oleh perdana menteri Iraq itu, maka beliau pun membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu. Pada tahun 608 Hijrah, sebuah Kubah telah dibina .Tidak lama kemudian sebuah masjid didirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie. Makam Ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.

Antara kata-kata menarik Imam Syafie:

1.Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.Ia juga amalan para Nabi, Rasul dan orang
soleh.

2.Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindari ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

3.Hati adalah Raja dalam diri. Oleh itu, lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebathilan.

[Artikel diatas saya sunting dari buku : Imam Syafie Pejuang Kebenaran; ditulis oleh Abdul latip Talib]

Dibawah ini saya siarkan 10 pesanan Imam Syafie untuk renungan kita bersama :

Sebelum Imam Shafie meninggal dunia, beliau sempat mengajak sahabat-sahabatnya agar membuat perubahan jiwa ke arah yang lebih baik. Beliau menyebut bahawa barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka lakukanlah 10 perkara:

1. Hak kepada diri, iaitu dengan mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak kepada Malaikat maut, iaitu menqada’kan segala kewajipan yang tertinggal, iaitu dengan memohon maaf daripada orang yang dizalimi, membuat persiapan untuk mati dan merasa cinta kepada ALLAH s.w.t.

3. Hak kepada kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, jangan suka kencing merata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak kepada Malaikat Mungkar dan Nakir, iaitu jangan berkata dusta, sering berkata benar, meninggalkan maksiat dan memberi nasihat.

5. Hak kepada Mizan, iaitu menahan kemarahan, banyakkan berzikir, ikhlas dalam amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

6. Hak kepada titian sirat, iaitu buang tabiat suka mengumpat, wara’, bantu orang beriman dan hidup dalam suasana berjamaah.

7. Hak kepada Malaikat Malik, iaitu menangis lantaran takutkan kepada ALLAH s.w.t., membanyakkan sedekah, membuat kebaikan kepada ibubapa dan memperbaiki akhlak.

8. Hak kepada Malaikat Ridwan, penjaga syurga, iaitu redha kepada qada’ ALLAH s.w.t., sabar menerima bala’ dan bertaubat.

9. Hak kepada Rasulullah s.a.w., iaitu dengan sering bersalawat kepada baginda, berpegang kepada sunnahnya dan bersaing mencari kelebihan dalam beribadah.

10. Hak kepada ALLAH, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan, mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran, bencikan kepada sebarang maksiat dan tidak melakukan kejahatan.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus                         mendengar dariku. Saksikanlah Ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-MU kepada hamba-hamba-MU."
              ~ Antara isi khutbah terakhir Rasullah s.a.w.
h Khairan,

(Semuga Allah SWT memberi balasan yang baik kepadamu)



Wednesday, 15 February 2012

PESAN RASULULLAH SEBELUM TIDUR.





SEBELUM tidur, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah :
“Ya Aisyah, jangan engkau tidur, sebelum melakukan 4 perkara iaitu :
 
  1. Khatam Al Qur’an
  2. Membuatkan para nabi memberi syafaat kepadamu di hari akhirat
  3. Membuatkan para muslim meredhai kamu
  4. Melaksanakan ibadat haji dan umrah.
Bertanya Aisyah :
“Ya Rasulullah, bagaimanakah aku dapat melaksanakan 4 perkara dalam satu masa?”
Rasulullah tersenyum sambil bersabda :
“Jika engkau tidur bacalah Surah Al -Ikhlas 3 kali, (maka ia seolah-olah kau mengkhatamkan Al Qur’an). Dan Bacalah selawat untukKu dan para nabi sebelumku, (maka kami semua akan memberi syafaat kpdmu di hari kiamat). Dan Beristighfarlah untuk para muslimin (maka mereka semua akan meredhai kamu). Dan perbanyakkanlah bertasbih, bertahmid, bertahlil, dan bertakbir (maka ia seolah-olah kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah)”

- MAFHUM DARI HADIS

Saturday, 4 February 2012

MAAF ANAKKU!, MEREKA TIDAK MESRA DENGANMU.



Minggu ini saya pulang sekejap ke tanahair. Bukan cuti, tetapi kerana menyambut kehadiran bayi baru. Segala puji bagi al-Wahhab; Tuhan Yang Maha Pemberi. Setiap ibubapa berdoa agar bayi yang lahir ke dunia sihat dan sejahtera. Islam tidak pernah membezakan nilai antara bayi lelaki dan perempuan. Sekalipun ada beberapa hukum yang berbeza antara lelaki dan wanita, tetapi itu tidak merujuk kepada nilai, sebaliknya kepada latar fizikal dan psikologi setiap gender.

Allah mengutuk masyarakat jahiliah Mekah yang merasa hina dengan kelahiran bayi perempuan. Firman Allah:
(maksudnya) dan apabila dikhabarkan kepada seseorang mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, hitamlah (muram) mukanya sepanjang hari dalam keadaan dia menahan perasaan marahnya. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (malu) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang memperolehi anak perempuan, sambil dia berfikir) adakah dia akan memeliharanya, atau dia akan memasukkannya ke dalam tanah? Ketahuilah! sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”. (Surah al-Nahl: 58-59).
Petua
Ada petua kononnya menyatakan jika ibu selalu baca Surah Maryam, maka akan dapat anak perempuan dan jika selalu membaca Yusuf akan mendapat anak lelaki. Inilah petua rekaan segelintir ‘ahli motivasi’ yang cuba menarik perhatian mereka yang minat agama.
Pemberi kurnia bayi lelaki ataupun perempuan hanya Allah. Dia Penentu mutlak. Bilakah Allah berfirman ataupun berjanji sesiapa yang membaca surah tertentu maka akan dikurnia jantina anak menurut pilihannya. Ketentuan jantina atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui. Hanya doa yang mustajab sahaja yang dinaskan dalam hal ini. Sedang isteri ‘Imran yang bercita-cita untuk mendapat anak lelaki dengan nazar untuk dijadikan orang yang berkhidmat sepenuh masa kepada agama Allah, dikurniakan anak perempuan. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran:
“(ingatlah) ketika isteri ‘Imran berkata: “Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadamu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. Maka apabila dia melahirkannya, dia berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedangkan aku harapkan anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dia lahirkan – dan lelaki bukan seperti perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku memohon untuknya perlindunganMU, demikian untuk zuriat keturunannya dari syaitan yang kena rejam”. (35-36)
Mesra
Islam memberikan persekitaran yang mesra dan selesa kepada perkembangan seseorang anak. Islam tidak pernah melayankan kanak-kanak dengan layanan yang hina seperti yang dilakukan oleh sebahagian ahli masjid. Islam tidak pernah menjadikan anak kecil penghalang antara seorang dengan Allah. Kata Abu Qatadah al-Ansari:
“Rasulullah s.a.w pernah solat sambil mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah, anak kepada (suaminya) Abi al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Shams. Apabila baginda mahu sujud baginda meletakkannya. Apabila bangun baginda mendukungnya kembali” (Riwayat al-Bukhari).
Inilah kemesraan agama dengan kehidupan kanak-kanak. Kemesraan seperti ini tidak kelihatan dalam kejumudan fikiran sesetengah orang yang enggan melihat agamanya dari jendela sunnah Nabi s.a.w tetapi lebih selesa dengan ikutan golongan yang keras dan menghukum agama menurut perasaan mereka yang hambar. Dalam hadis sahih riwayat Abu Ya’la, Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan al-Nasai, Rasulullah s.a.w pernah sujud begitu panjang dalam satu solat disebabkan cucu baginda al-Hasan atau al-Husain -rawi hadis tidak pasti- menaiki tengkuk baginda ketika sedang sujud. Sahabat kehairan dan bertanya sebab. Baginda menjawab:
“Sesungguhnya anakku (cucuku) telah menjadikan aku tunggangannya. Aku tidak suka mengganggunya sehingga dia tunai hajatnya”.
Suasana yang mesra ini telah melahir generasi muda yang mewarisi generasi tua yang sentiasa merasakan tiada dinding penghalang antara mereka dan agama ini. Sejak dari kecil mereka diraikan. Sabda Nabi s.a.w:
“Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya” (Riwayat al-Bukhari).
Dihalau Ke Belakang
Kita mendengar kanak-kanak yang sudah pun boleh bersolat dihalau oleh orang tua ‘berlagak pandai’ ke belakang. Kemudian menengking anak-anak kerana tidak serius dalam solat. Apa tidaknya, mereka bersama saf dengan kanak-kanak yang lain. Tentu kenakalan itu kadang-kala muncul. Jika mereka duduk di samping bapa mereka tentu mereka dapat dididik adab solat berjemaah. Untuk menghalalkan perbuatan tidak mesra kanak-kanak itu dipilihlah fatwa yang menyatakan kanak-kanak belum berkhatan itu najis. Satu saf akan batal sebab bawah kulit kanak-kanak itu ada najis.
Saya selalu bertanya: “apakah bawah kulit orang tua dan dalam perut orang tua tiada najis?!! Jangan memilih pendapat-pendapat fekah yang menyusahkan dan menghilangkan semangat dakwah Islam sedangkan kita mempunyai banyak pilihan pendapat yang lebih munasabah.
Ketika Ibn ‘Abbas masih kanak-kanak, beliau bercerita:
“..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda (Riwayat al-Bukhari).
Kata Anas bin Malik :
“…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari).
Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya.
Didik
Kita diperintahkan menyuruh anak-anak bersolat ketika berusia tujuh tahun sebelum memukulnya dengan tujuan mendidik pada usia sepuluh tahun. Sabda Nabi s.a.w:
“Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).
Ertinya ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya‘marilah bersolat’. Ertinya, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga solat sebati dengannya dan dia mengasihi solat.
Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan.
Jika bapanya bersolat di masjid dia bersama bapanya bersolat. Dia memerhati dan melihat pergerakan bapanya. Bagaimana rukuk, sujud dan segala pergerakan yang lain. Jika dia dihalau jauh ke belakang bersama anak-anak lain yang tidak tahu sepertinya, apakah yang dapat dia pelajari?! Ada masjid menempatkan saf kanak-kanak bagaikan ‘makhluk jijik’ yang tidak boleh sentuh. Kemudian mereka mungkin bising sesama mereka, maka akan ada orang dewasa yang menengking dan menghalau mereka balik.
Bahkan perbuatan orang tua menghalau kanak-kanak dari saf dan mengambil tempat mereka telah menyanggahi adab Islam yang diajar oleh Nabi s.a.w
“Jangan seseorang membangunkan orang lain dari tempatnya, kemudian dia duduk di situ” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Perbuatan menyakitkan hati bapanya, merisaukannya dan menjadikan anak-anak yang sudah tahu bersolat itu merasa betapa mereka tidak diraikan dalam agama ini.
Adab
Namun ini bukan tidak bererti anak-anak dibiarkan membuat bising dan mengganggu orang lain yang sedang bersolat, sebaliknya mereka dididik dan ditegur dengan cara yang baik oleh ibubapa dan masyarakat. Masjid juga bukan tempat ibubapa melepaskan tanggungjawab anak-anak bising di rumah dibawa untuk bising di masjid. Cuma pastikan mereka tidak dilayan dengan cara yang menyebabkan mereka membesar dalam keadaan merasakan institusi agama amat tidak mesra dengan mereka. Kadang-kala mereka bising disebabkan cara kita mengatur mereka, hal ini mesti dibaiki.
Anak-anak membesar dalam agama ini dengan didikan yang lunak. Kata sahabiyyah Nabi s.a.w yang bernama al-Rubaiyyi’ binti Muawwiz:
“..selepas itu kami pun berpuasa dan menjadikan anak-anak kecil kami berpuasa. Jika Allah kehendaki, kami juga pergi ke masjid membawa mereka. Kami buat untuk mereka mainan dari bulu berwarna. Jika mereka menangis lapar kami berikan mainan tersebut sehingga sampai waktu berbuka” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ibn Hibban).
Demikian agama ini berkembang dalam kehidupan anak-anak dengan pujkan. Ia tidak berkembang dengan kebencian dan anggapan mereka itu pengacau dan seumpamanya. Mereka dididik dan dikawal agar tidak mengganggu orang lain, namun dengan mesra. Jika masih tidak terkawal, barulah ibubapa sepatut tidak membawa ke masjid atau selainnya. Kadang-kala sikap masyarakat menyebabkan ibubapa rasa bersalah tanpa sebab apabila membawa anak ke masjid. Maaf anakku, mereka itu tidak mesra denganmu! Namun, itu bukan ajaran Nabimu…


Friday, 3 February 2012

NABI MUHAMMAD SAW - MANUSIA AGUNG.



Nabi Muhammad SAW - Manusia Agung
NABI MUHAMMAD S.A.W. secara lahiriahnya, begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:

Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw.
Aku melihat cahaya dari lidahnya.
Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
Wajahnya seperti bulan purnama.
Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
Janggutnya penuh dan tebal menawan.
Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
Rambutnya sedikit ikal.
Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
Rambutnya terbelah di tengah.
Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
Seimbang antara kedua bahunya.
Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik..
Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
Warna putihnya lebih banyak.
Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
Warna kulitnya putih tapi sihat.
Kulitnya putih lagi bercahaya.
Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
Badannya tidak gemuk.
Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
Perutnya tidak buncit.
Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.
KESIMPULAN
Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia. Kita mestilah menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dan contoh ikutan. Banyakkan berselawat ke atas baginda SAW. Semoga baginda memberikan syafa’atnya kepada kita semua di akhirat kelak, insyaAllah.




http://www.facebook.com/groups/29273121835/permalink/10150503593861836

Monday, 30 January 2012

SEJARAH DAN HUKUM MEYAMBUT MAULIDURRASUL S.A.W




MAULID berasal dari perkataan Arab yang bermakna melahirkan terutamanya merujuk kepada kelahiran bayi.
Namun dalam konteks hari ini ia dirujuk khusus kepada hari keputeraan Nabi Muhammad iaitu pada 12 Rabiulawal setiap tahun.
Sejarah ringkas
Sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang meraikannya secara besar-besaran.
Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain.
Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 H atas perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Athee
Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan.

Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi dihentikan.
Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka secara tertutup.
Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa’d Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen ‘Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.
Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.
Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam khemah yang telah didirikan.
Hujah membolehkan Maulidur Rasul
Antara ulama yang menyokong Maulidur Rasul terutamanya Imam Jalaluddin Sayuti dan Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradawi.
Imam Jalaluddin Sayuti:
“Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia”.
Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: “Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.
“Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.
“Sa’d bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah kepada kanak-kanak sama seperti mana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu mengenai al-Quran.
“Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah, maka tidak perlulah merayakan seperti mana dirayakan Maulid Rasul kini.
“Bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya.
“Dengan itu, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.
“Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bidaah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam”.
Antara dalil bagi yang membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran) mereka itulah yang beruntung. (al-A’raf: 157)
Keterangan: Tujuan maulud adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.
2) Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. (Ibrahim: 5)
Keterangan: Al-Baihaqi di dalam Syakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda menafsirkan ‘hari-hari Allah’ adalah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani menjelaskan lagi dengan katanya “kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar”.
3) Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: “Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan”.
Maka Nabi berkata: “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu”. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain.
- Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin