Sunday, 14 August 2011

KITA INI PALING MENAKJUBKAN BILA ....



Suatu saat Nabi Muhammad bertanya pada para Sahabat dan pengikutnya, “Wahai Manusia , siapakah makhluk Allah yang imannya paling menakjubkan (man a’jabul khalqi imanan)?”

Para sahabat langsung menjawab, “Malaikat … !”.

Nabi menukas, “Bagaimana mungkin para malaikat tidak berimaan sedangkan mereka pelaksana perintah Allah …?”

Sahabat menjawab lagi, “Kalau begitu, para Nabilah yang imannya paling menakjubkan …!”.

“Bagaimana mungkin para Nabi tidak beriman, sedangkan wahyu turun kepada mereka ..!”, Sahut Nabi.

Untuk ketiga kalinya para Sahabat mencoba untuk memberikan jawaban, “ Kalau begitu sahabat-sahabatmu ya Rasul..!”.

Nabi pun menolak jawaban itu dengan berkata, “Bagaimana mungkin sahabat-sahabatku tidak beriman, sedangkan mereka menyaksikan sendiri apa yang mereka saksikan”.

Nabi pun lalu meneruskan kalimatnya, “ Orang yang imannya paling menakjubkan adalah kaum yang akan datang sesudah kalian.
Mereka beriman kepadaku walaupun mereka tidak melihatku.
Mereka membenarkan aku tanpa pernah melihatku.
Mereka amalkan apa yang ada dalam tulisan itu(Quran dan Hadits?).
Mereka bela aku seperti kalian membela aku.
Alangkah ingin berjumpanya aku dengan ikhwanku itu”.

Nabi Muhammad SAW menghibur kita, “Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku,” Nabi mengucapkan kalimat ini satu kali.
Sedangkan konon Nabi mengucapkan kalimat, “Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihat diriku”, sampai tujuh kali.





Februari 2010
http://wirausahapesantren.blogspot.com/2010/02/kita-ini-paling-menakjubkan-bila.html

Friday, 12 August 2011

INDAHNYA HIDUP BERSAMA ALLAH



Sekembalinya Nabi SAW dari bumi Thaif. Berteduh Nabi SAW sebentar di bawah pohon anggur. Di dalam kebun milik Utbah dan Syaibah. Kesedihan jelas terpapar pada wajah Nabi SAW setelah dicerca dan dilontar batu oleh penduduk bumi Thaif. Utbah dan Syaibah memasang telinga mendengar pengaduan hebat dari seorang Rasul kepada RabbNya. Rintihan yang dipohonkan oleh Nabi SAW membuatkan kekafiran Utbah dan Syaibah tersebut juga lentur sehingga menyuruh khadamnya Addas untuk memberi anggur kepada Nabi SAW sebagai penghilang kelaparan.
“Ya Allah… Kepadamu aku mengadukan kelemahan kekuatanku,
Dan sedikitnya kemampuanku,
Serta kehinaanku dihadapan manusia.
Wahai Sebaik-baik pemberi kasih sayang,
Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku.
Kepada siapakah Engkau serahkan diriku,
Kepada orang yang jauh yang menggangguku,
Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku,
Asalkan Engkau tidak marah padaku maka tiadalah keberatan bagiku,
Akan tetapi kemurahan-Mu jauh lebih luas bagiku.
Aku berlindung dengan Cahaya Wajahmu yang akan menerangi seluruh kegelapan,
Dan yang akan memberikan kebaikan segala urusan dunia dan akhirat,
Untuk melepaskan aku dari Marah-Mu,
Atau menghilangkan Murka-Mu dariku.
Hanya pada-Mu aku merintih berharap mendapatkan Keridloan-Mu,
Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu
(Rujuk Raheeq al-Makhtum, Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri)
Perhatikanlah kehebatan tawakkal Nabi SAW. Lembaran hidup beliau menunjukkan pada kita bagaimana bagindan bertawakkal. Ketika Baginda di puncak penghinaan dan penolakan di Mekah. Diragut dengan pemergian dua orang pembelanya iaitu Abi Thalib dan isteri tercinta Khadijah dalam tahun yang sama. Sehingga tercatat lembaran sejarah memberi jolokan inilah tahun duka cita bagi Nabi SAW. Namun kedukaan ini tidak menggambarkan hilangnya rasa keseorangan di hati Nabi SAW. Kepada Allah dijadikan teman.
Khadijah dan Abi Thalib diwafatkan, agar Nabi SAW semakin tergantung hanya kepada Allah SWT. Terkadang, begitu cintanya Allah kepada kita, ia mengambil semua “sebab” yang telah kita terbiasa dengannya. Seolah-olah Allah ingin mengatakan kepada kita , “Wahai hambaKu, Aku ingin engkau datang dan berlindung hanya kepadaKu”. Ketika kita menyangka semua jalan sudah tertutup, lalu Allah menginginkan kita kembali padaNya hingga kita mengetahui Dia itu al-Wakil.
Lantaran itu doa yang sering dituturkan Nabi SAW menggoncangkan hati umatnya dalam meletakkan Allah SWT sebagai pelindung. “ Ya Allah, jangan Kau tinggalkan aku untuk diriku walau sekelip mata atau yang lebih sedikit dari itu. Kerana jika Engkau meninggalkanku, maka Kau tinggalkan aku dalam kelemahan, aurat dan kesilapan. Dan aku tidak percaya kecuali pada rahmatMu.” ( HR al-Baihaqi)
Penyerahan sebulat hati walau sekelumit kerdipan mata. Itulah tawakkalnya seorang Rasul. Di sisi lain Allah “cemburu” pada hati manusia. Allah mencintai kalau hati seorang hamba terkait denganNya sendirian ketika ia dalam kondisi taat. Tetapi kadang hamba itu disibukkan dengan urusan dunia. Lalu Allah mengambil dunianya tersebut agar ia hanya disibukkan dengan Allah semata-mata.
Lihatlah peristiwa Nabi Ibrahim AS. Ketika ia tertarik dengan kehadiran anak baru iaitu Ismail AS. Allah mengambil Ismail dari tangannya. Dia memerintahkan Ismail disembelih. Namun tatkala di hati Ibrahim hanya terdapat Allah sebagai pemilik cintanya, maka digantikan kibas sebagai galang ganti hadiah pengorbanan beliau.
Nabi Yaakub AS, dikurniakan seorang anak yang sangat comel iaitu Yusuf AS. Sehingga kecintaan kepada Yusuf AS memenuhi semua hidup dan hatinya. Maka Allah mengambil Yusuf AS selama dua puluh tahun, sehinggalah hatinya kembali dipenuhi cinta pada Allah. Lalu Allah pun mengembalikan Yusuf AS padanya semula.
Inilah dinamakan “cemburu” nya Allah. Cemburu Allah tidak sama seperti cemburunya makhluk. Diambilnya pendamping kita, untuk digantikan diriNya sebagai Maha Pelindung. Kefahaman inilah yang membuatkan Nabi SAW mendidik para sahabatnya dalam bertawakkal.
Kisah kegentaran Abu Bakar RA ketika di Gua Thur detik peristiwa Hijrah di rendangkan dengan pesanan mulia Nabi SAW , “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”. Dada Ibn Abbas yang masih kecil ketika itu ditanam dengan pesanan Nabi SAW dengan sabdanya“Jagalah Allah, maka Dia akan menjagamu”. ( HR al-Tirmizi dan Ahmad)
Di manakah tahap kebergantungan kita pada Allah SWT. Ketika dihimpit dengan kesukaran. Ketika disaat hilangnya tali berpaut. Adakah kita mampu meneladani contoh terpilih yang sentiasa hidup kebersamaan disamping Allah . Sehingga mereka digelar kekasihNya. Tatkala pedang dihunus ke leher Baginda Nabi SAW, ditanya siapakah yang mampu menghalangimu. Lalu dijawab oleh Nabi SAW, hanya ALLAH penghalangmu. Membuatkan terjatuhnya pedang si musuh dengan jawapan betapa tingginya nilai kebergantungan kepada Allah SWT. Juga ketika mana manusia berbondong-bondong menahan keperitan kepanasan api yang setinggi bangunan yang disediakan bagi membakar Nabi Ibrahim AS. Mereka semua hanya berkata tiada lagi yang dapat membantu Nabi Ibrahim AS. Namun mereka terlupa. Siapakah yang paling hampir disisi hambaNya yang erat dalam kebersamaan. Lalu terpancar berulang-ulang dari bibir seorang Nabi, “ Cukuplah Allah bagiku, ( Dialah ) sebaik-baik tempat bersandar.”

JULAI 2011

Sunday, 12 June 2011

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W


Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.
Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.
Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.


Feb. 2011

Wednesday, 27 April 2011

RAHSIA TIDUR DALAM ISLAM DAN FAKTA SAINS.


Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah bersabda: "Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri." Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang. 


Kesan Mengantuk Ke Atas Ekonomi Dan Juga Produktiviti. 

Banyak kes-kes kemalangan dilaporkan berpunca dari mengantuk dan kurang tidur. Justeru itu kerana kepentingannya, Kerajaan Amerika telah menubuhkan sebuah yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara (National Sleep Foundation) untuk mengkaji tentang kesan tidur terhadap produktiviti kerana masalah ketiduran (insomnia and sleeping problems) telah memberikan banyak kesan negatif kepada manusia dan ekonominya. Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika telah melaporkan bahawa 100,000 kemalangan di jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1500 nyawa setahun. (Dr. Stanley Coren; 'Sleep Deprivation, Psychosis and Mental Efficiency,' Psychiatric Times, March 1998)

Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah ketiduran di Amerika telah melapurkan bahawa masalah ini telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian $100 - $150 billion setahun.

(Dr. Stanley Coren; Ibid) Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan kabohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan penyakit kencing manis. (Rujukan: Tinker Ready (2000); 'Naps: The Art of Snoozing') Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah perubatan 'Lancet' pada pada bulan Oktober, 1999. (Rujukan: Lancet: 'Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function)

Tidur Dan Kerehatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah. Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerihatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: "Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: "Benarlah Salman." (Bukhari)

Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabipun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur." (Bukhari-Muslim) Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.Tidur secara yang mansabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri.

Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa. 

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya." Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti. Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja. Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)

Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau ' a secondary sleep gate.' Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.' Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.(Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com) Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

Cara Tidur Nabi Dan Kajian Semasa.

Berapa jamkah yang diperlukan untuk tidur setiap malam? Nabi tidak menyebutkan kadar masanya secara khusus. Baginda sekadar menyebutkan: "Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas." (Bukhari-Muslim) dan di dalam riwayat yang lain, Baginda bersabda: "Hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk." (Bukhari-Muslim) Ini menunjukkan bahawa kadar masanya berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain. Yang penting ialah tidur yang menghilangkan rasa mengantuk dan menghasilkan kecergasan. Pakar-pakar tidur telah bersetuju bahawa keperluan tidur tidak sama bagi setiap orang. Tidur yang optima ialah kadar yang tidak mendatangkan rasa mengantuk ketika sedang memberikan tumpuan kepada sesuatu. Bagi sesetengah orang, kadar optimanya ialah 5-6 jam setiap malam. Namun biasanya bagi yang dewasa ialah 7-8 jam. (Michelle Moore: 'Catching Those ZZZZ's') Beberapa hadis Nabi telah meriwayatkan tentang cara tidur yang baik dan keji yang perlu diambilkira oleh seseorang: "Nabi telah melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas Bagindapun bersabda: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah." (Tarmizi) "Apabila kamu mendatangi tempat tidurmu hendaklah kamu mengambil wuduk seperti wuduk untuk bersembahyang. Kemudian baringlah di sebelah kanan." (Bukhari-Muslim) Berkata 'Abbad ibn Tamim: "Aku melihat Rasulullah di dalam masjid tidur menelentang sambil menyilangkan kaki Baginda." (Bukhari-Muslim)

Ibn Qaiyim telah merumuskan bahawa Nabi tidak tidur dalam kekenyangan. Baginda berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur.(At-Thib An-Nabawi oleh Ibn Qaiyim hal. 297) Dapat disimpulkan bahawa Nabi suka tidur mengiring ke sebelah kanan dan kadangkala secara menelentang. Baginda tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Dalam semua keadaan, zikir tidak pernah Baginda lupakan. Sekali lagi sains terpaksa akur tentang kebaikan cara tidur yang diamalkan Nabi ini.

Saintis-saintis telah mendapati bahawa cara berbaring ketika tidur (sleeping postures) boleh memberi kesan kepada kesihatan. Untuk merihatkan badan di samping menjaga kesihatan tulang leher (cervical spine), pakar-pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan ketika tidur:

1. Mengiring ke lembung dengan meluruskan tulang belakang atau

2. Menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokan tulang leher.

(Intermountain Spine Institute (1999); 'Spine Self Care') Kedua-dua cara ini akan mencegah tulang leher daripada terseliuh (subluxation or mis-alignment of the neck). Di samping itu, dengan berlapikkan bantal yang sesuai ketika tidur, sakit leher, sakit belakang, tekanan saraf (pinched nerves) dan kerosakan kepada tulang belakang (wear of vertebrae and spinal column) akan dapat dicegah. Meniarap merupakan cara tidur yang boleh menimbulkan tekanan ke atas belakang dan leher seseorang. Tidur begini boleh menyebabkan serangan sakit urat saraf dan otot. (Spine Self Care; Ibid) Kesimpulannya. Ajaran Nabi tentang tidur, samada yang berkaitan dengan kepentingannya, tidur tengaharinya, cara berbaring dan lain-lainnya, adalah begitu saintifik sekali. Kajian kontemporari telah membuktikan tentang semua ini. Ini menunjukan bahawa ajaran Nabi adalah suatu ajaran yang seimbang yang boleh membawa manusia kepada keunggulan.

Wallahualam

bismillah2me.blogspot.com
Nov 2008

Monday, 18 April 2011

MENYELESAIKAN PERGADUHAN ANAK- ANAK.


“Yop, kenapa Yop bergaduh dengan kawan-kawan tadi tu?” saya menepuk bahu Saiful Islam.
Beliau memuncung.
Enggan berkata-kata.
“Yop, kenapa gaduh?” Imad menyampuk, meniru soalan saya kepada abangnya.
“Ha ah, kenapa Yop gaduh tadi?” Naurah pun membabitkan diri sama.
Menambah tekanan ke atas abang mereka yang masih ‘berasap kepala’.
“Janganlah tanya Yop macam tu. Pening kepala dia. Biar abi sahaja yang tanya” saya mengarahkan Imad dan Naurah duduk kembali di kerusi belakang serta memasang kembali tali pinggang keselamatan.
“Tadi tu Yop main ke gaduh?” saya menukar bentuk soalan untuk menyegarkan pertanyaan ulangan.
“Gaduh!” jawab Saiful Islam.
Ringkas.
“Kenapa gaduh?” saya bertanya lagi.
“Dia orang ejek Yop” anak saya mula membuka ruang bicara.
“Oh, macam tu. Kenapa mereka ejek Yop? Eh silap, mereka ejek Yop apa?” saya menyambung soalan, sambil membatalkan soalan yang tidak disukai oleh anak-anak iaitu KENAPA.
“Dia orang cakap Yop Saiful Apek!” jawab Yop.
“Hahaha! Oppss…” saya memekup mulut kerana tergelak dengan tidak sengaja.
“Abi ni…!!!” Saiful Islam bengang dengan saya.
“Sorry Yop. Abi tak sengaja. Oh, sebab itulah Yop marahkan mereka. Mereka panggil Yop Saiful Apek rupanya” sebagai bapa, saya harus membina kepercayaan anak-anak bahawa kita mengiktiraf masalah mereka dan memahaminya.
HANTU TELEVISYEN
“Yop tahu tak, orang yang panggil Yop Saiful Apek tu, mereka hantu televisyen. Sebut aje Saiful, terus teringat Saiful Apek!” saya cuba memujuk.
“Ada Saiful lain ke?” soalnya kepada saya.
“Tentulah ada. Ramai. Ada Saifulllah, itu gelaran untuk Khalid bin al-Walid, tahu! Yop tahu sebab apa abi bagi Yop nama Saiful Islam?” saya pula melontarkan soalan kepadanya.
“Kenapa?” mulutnya masih memuncung semasa menyoal.
“Saiful Islam itu ialah pejuang Islam di Mesir. Bapanya bernama Hasan al-Banna. Hero Islam. Lebih hebat dari Raihan Rangers. Yop di sekolah Rumah Hijau, kan? Rumah Hijau bukankah namanya Hasan al-Banna? Saiful Islam itu nama anaknya” saya menarik kembali lipatan memori 7 tahun yang lalu, ketika memberi nama kepada anak sulung yang baru lahir.
saifulislamalbanna
Sheikh Ahmad Saiful Islam al-Banna
SESI DIALOG
Tengah hari itu, saya menghabiskan masa yang banyak bersama dengan anak-anak di dalam kereta meredah lautan kenderaan yang sesak di jalanraya. Kami mahu mengambil Ummu Saif yang habis bekerja jam tiga. Seronok juga dapat berbual-bual dengan mereka. Kebetulannya, ada topik yang penting untuk diselesaikan.
“Tapi dia orang tu jahat!” kata Saiful Islam kepada saya.
“Sebab itu abi tak bagi Yop pukul dia orang. Kalau Yop pukul dia orang, maknanya Yop pun sama macam mereka. Orang Islam tak boleh sakitkan orang lain dengan lidah dan tangan. Berdosa” saya cuba menangkis pandangan si anak.
“Habis tu takkan nak biar aje?” anak saya mempertikaikan pendapat bapanya.
“Jangan biarkan aje. Tapi Yop cakap le Alhamdulillah. Terima kasih ejek Yop. Yop dapat pahala, kamu dapat dosa!” saya memberikan cadangan.
“Kalau dia orang takut dosa, dia orang tidaklah ejek Yop” bidas beliau.
Aduh, pening kepala saya. Ada juga betulnya kata-kata anak saya. Buat apa timbulkan soal dosa kepada orang yang tidak pedulikan dosa. Membuang masa.
NAK GADUH JUGA
“Habis tu Yop nak buat apa?” saya meminta pendapatnya.
“Yop nak juga pukul dia orang” anak saya begitu sepenuh hati meluahkan kehendaknya.
“Terpulanglah kepada Yop. Tapi kalau mereka pukul Yop balik, Yop nak buat macam mana?” saya ‘memberikan’ kebebasan kepada beliau, sambil menyelitkan persoalan tentang risikonya.
“Yop minta tolong Abi” jawabnya pantas.
“Kalau Abi tak ada?” sengaja saya lontarkan provokasi kepadanya.
“Allah ada” tangkas Saiful Islam menjawab.
“Tapi Allah benci orang yang pukul orang. Allah tak akan tolong Yop sebab Yop pun buat dosa macam orang yang ejek Yop tu dapat dosa” penerangan dilanjutkan lagi.
“Ye la, Yop tak gaduh!” akhirnya Saiful Islam mengalah.
“Err, tapi kalau orang nak tumbuk Yop kena pertahankan diri, tahu!” saya pula yang risau.
“Kena gaduh?” anak saya terkejut.
“Silap, silap. Bagitahu ustaz sahajalah. Senang cerita” saya tidak mahu mengelirukan si anak.
“Nak bagitahu ustaz mana?” soal beliau lagi.
“Ustaz Hasrizal. The Dragon Warrior, boleh?” saya mengusik.
“Err…!” anak-anak mengalah.
Mereka hilang selera bertanya lagi.
18 Oktober 2010

TANGGUNGJAWAB ANAK LELAKI.


13 April 2011 jam 1.00 petang, hari ini saya bersama krew Usrah, membuat program ini di rumah orang tua al-Ikhlas di Puchong 2.
Saya melangkah masuk ke rumah ini dan melihat puluhan orang tua lelaki dan perempuan berada di sini.
Tapak rumah orang tua al-Ikhlas sebenarnya adalah tapak masjid lama. Saya amat memahami apa yang dilalui oleh pengasasnya kerana kita juga biasa dengan rumah kebajikan. Ujian dan berbagai cabaran dilalui hinggalah berdirinya rumah kebajikan seperti ini.
Pada saya, ia adalah usaha yang sangat murni kerana tidak kurang penghuni di sini yang ditinggal oleh saudara mara tanpa apa khabar berita.
“Ustaz, paling kurang, mereka ziarahlah kami sebulan dua, ini ada yang bertahun pun tak pernah jenguk” kata saya seorang warga tua di sini dengan air mata yang bertakung.
Ada lima golongan ibu yang berada di bawah tanggungan anak lelaki hinggakan jika anak lelaki ini mempunyai zakat sekalipun, tidak boleh memberikan kepada golongan ini kerana golongan ini bukannya mendapat zakat, tetapi, jika mereka tidak mampu, mereka perlu mendapat nafkah yang mesti disediakan oleh anak lelaki.
1. Ibu kandungnya
2. Ibu susuannya
3. Ibu angkat yang mengambil alih tugas ibu kandung yang menjaganya dari kecil
4. Ibu tirinya
5. Ibu mertua
Ketika kita berkahwin dengan seorang wanita, kita bukan berkahwin dengan tubuhnya semata-mata, tetapi kita juga berkahwin dengan segala tanggungjawab yang ada bersamanya. Jika dia mempunyai anak, maka kita juga kena mengasihi anak itu dan jika dia mempunyai ibu bapa, maka kita wajib memeliharanya kerana ia adalah tanggungjawab yang ada bersamanya.
Kelima-lima golongan ibu di atas adalah dibawah tanggungan anak lelaki dan jika anak lelaki mengabaikannya dengan sengaja, ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
Berbicara mengenai tanggungjawab, ia berkaitan dengan keimanan dan semoga, jika kita menunaikan tangungjawab pada golongan ibu di atas, mahupun bapa, mudahan anak kita nanti akan berbakti kepada kita, amin…
“Ilmu Pelita Hidup”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
15 Jamadil Awal 1432/18 April 2011 jam 3.15 pagi

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin