Tuesday, 21 February 2012

CARILAH UNTUKMU SEORANG IMAM.


Abang..hari tu ingat period dah habis. Ayang dah mandi, dah solat. Tapi hari ni keluar balik..kira period balik ke bang? “
” Maybe kot. Try search kat google..”
” Dah tapi macam tak paham sangatla bang. Erm, Kak Erma cakap dekat masjid belah pagi ada kuliah muslimat, ada ustazah ajar masalah-masalah macam ni..”
” Buat apa..cari je kat youtube. Banyak kuliah-kuliah dalam tu. Lagipun abang sibuk, mana sempat nak hantar nak ambik kat masjid..”
Dan si isteri terus terdiam. 3 tahun perkahwinan, isu yang sama berulang, si suami pula terus menerus memberi alasan.
*****************
Asal kepada seorang wanita adalah pengikut. Ertinya, dia berhajat kepada pemimpin dan pembimbing.
Asal kepada seorang lelaki pula adalah ketua. Ertinya dia merupakan seorang pemimpin dan pembimbing.
Sebab itu dianalogikan suami sebagai imam.
Apa peranan imam dalam solat?
Guide makmum, kan? Apabila selesai dibaca Al-Fatihah, makmum mengaminkan bacaan tersebut. Apabila imam rukuk, makmum ikut rukuk. Apabila imam sujud, makmum ikut sujud.
Bagaimana pula jika imam tersalah rakaat? Atau terlupa dalam bacaan surah?
Makmum menegur. Lelaki bertasbih, perempuan bertepuk. Ada tatacara dan tertibnya.
Analogi ini suatu yang besar jika benar-benar diaplikasikan dalam hidup.
Dalam solat, ada imam dan ada makmum dengan segala tatatertibnya.
Di luar solat, ada ketua dan ada pengikut dengan segala undang-undang dan aturannya.
Begitulah indahnya Islam. Ia datang untuk menjernihkan hidup manusia dan memastikan manusia hidup dalam aturannya yang benar, betul dan tepat.

PERKAHWINAN
Ia bukan perjanjian sehari dua atau sebulan dua. Bukan juga sampai tua.
Ia perjanjian sampai mati.
Justeru, sebelum berkahwin, mesti fahami peranan masing-masing dalam perjalanan panjang tersebut.
Suami terutamanya. Jangan seronok sahaja kerana digelar ketua. Tetapi tidak pula bersedia bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang ketua.
Ada tanggungjawab yang besar Allah bebankan seusai lafaz akad nikahmu.
Jangan hanya seronok tersengih-sengih dan bergambar mesra ( kemudian ditayang sehabis bangga di alam maya ) tetapi bab bersuci pun entah ke mana. Haid dan nifas dianggap sebagai ‘bab orang perempuan’ yang tidak perlu diketahui oleh lelaki.
Sebab itu tidak pelik, ada suami menengking isteri bila disoal tentang itu.
” Awak kan perempuan? Hidup dah bertahun-tahun takkan awak tak pandai-pandai lagi bab tu?! “

Suami yang bertanggungjawab tidak akan mengungkapkan kata-kata seperti itu. Hakikatnya, ia adalah ungkapan alasan bagi suami yang mahu lari dari tanggungjawab.
Bukankah mengajar isteri fardhu ain itu suatu perkara wajib bagi suami?
Bukankah kalau isteri jahil tentang bab-bab haid, nifas, istihadhah dan sebagainya maka suami yang akan menanggung dosanya?
Bukankah menjadi kewajipan bagi seorang suami menghantar isterinya ke kelas agama jika dia tidak mampu mengajar perkara-perkara tersebut?
MENCARI SEORANG IMAM
Tak kacak tak apa, sebab lelaki memimpin bukan dengan kekacakan.

Tak kaya tak apa, sebab kekayaan bukan asbab hebatnya kepimpinan.
Ada lelaki rupanya tidak kacak, kulitnya gelap tetapi penampilannya kemas dan kefahaman agamanya cukup baik.
Namun ada ramai juga lelaki yang kacak, tetapi rambutnya panjang tidak terurus, pakaiannya selekeh dan tidak langsung menggambarkan ciri-ciri seorang pemuda Islam. Kefahaman agama dianggap perkara remeh.
Saya sebutkan ini kerana saya kira, memilih seorang imam tidak mudah.
Mungkin ramai wanita akan bertanya, bagaimana mahu memastikan dia seorang imam yang baik?
Ada yang merasakan lelaki kaki masjid itu terbaik sebagai imam.
Ada yang merasakan lelaki pandai bertazkirah agama itu terbaik sebagai imam.
Ada juga yang merasakan lelaki ‘berpengajian agama’ itu paling baik sebagai imam.
Saya geleng kepala.
Sungguh. Ia susah kerana sebagai manusia, kita hanya penilai zahiriah sedangkan batiniahnya, hanya Allah yang tahu.
Pun begitu, saya suka mencadangkan.
Sebagai wanita, anda diberi satu tempoh yang istimewa sebelum anda sah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Tempoh itu dinamakan tempoh ‘suai-kenal’ atau istilah rasminya , bertunang.
Ramai orang tidak menggunakan tempoh ini sebaik mungkin. Ada yang belum apa-apa, sudah meletakkan ‘sepenuh ketaatan’ kepada si tunang. Ada yang melayan borak siang malam sampailah kepada bertemu di taman dan tengok wayang.
Jangan tiru tabiat-tabiat seperti itu. Bukan sahaja agama mengatakan ia sebagai tidak baik, bahkan akal juga mengatakan demikian.

MANFAATKAN TEMPOH BERTUNANG
Itulah satu-satunya tempoh terbaik untuk anda menguji sejauh mana si lelaki mampu menjadi imam kepada anda nanti.
Menguji itu tidak salah. Gunalah pelbagai method yang ada. Jangan mengintip dia di bilik tidur sudah.
Antara method yang mungkin anda boleh gunakan adalah, method perbincangan.
Jangan lupa, waktu berbincang itu, antara anda dan dia bukan suami isteri. Justeru, tidak ada ‘kewajipan’ sebagai isteri yang perlu anda tunaikan di ketika itu. Demand anda masih tinggi. Anda masih boleh mengatakan ‘tidak’ kepada dia jika tidak kena caranya.
Method berbincang, jika kena caranya, boleh memberi gambaran yang baik adakah si lelaki sudah menepati ciri-ciri seorang imam ataupun tidak.
Malangnya, method perbincangan ini tidak banyak digunakan dengan betul. Antara sebab utamanya adalah, sudah jatuh hati dan berpendapat, tiada jalan untuk berpatah balik melainkan meneruskan perkahwinan, biarpun tersingkap seribu kekurangan.
Tanpa sedar, ia mencacatkan hikmah sebuah pertunangan.

ASALKAN DIA BAIK ?
Biarlah dia tidak pandai agama pun, asalkan dia baik. Dia sayang saya, prihatin dan saya yakin dia mampu membahagiakan saya.
Alhamdulillah, anda telah menemui seorang lelaki yang baik.
Tetapi kita di sini tidaklah bercakap perihal baik atau tidak.
Sama juga dengan soalan skeptik : habis, orang tutup aurat semua baiklah?
Ustaz Azhar Idrus jawab : belum tentu, tapi orang yang baik mestilah akan menutup aurat.
Ini pun serupa. Bukanlah lelaki yang meremehkan soal agama itu tidak baik, tetapi seorang lelaki yang baik pastilah tidak akan meremehkan soal agama.
Dia pastilah seorang lelaki yang benar-benar mempunyai ciri-ciri seorang imam.
Nah, carilah lelaki jenis itu sebagai suami. Lelaki yang mampu menjadi imam, dalam dan luar solatmu.
Lelaki yang bertegas denganmu dalam hal-hal agama, dan berlembut denganmu dalam hal-hal dunia.
Bukankah dirimu mahukan perkahwinan itu sampai ke syurga? Bagaimana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu jalan ke syurga boleh membimbingmu untuk sampai ke sana?
Buatlah pilihan dengan bijak.
Carilah untuk dirimu seorang IMAM, bukan semata-mata seorang jejaka.

Sekian.

Biodata Penulis

Ahmad Syafiq Bin Jusoh Merupakan penuntut di yarmouk university dalam bidang syariah pengkhususan fiqh dan usul fiqh. Sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak. Beliau pernah berkhidmat sebagai imam dan guru tahfiz sebelum melanjutkan pengajian ke jordan. Beliau berkongsi karya di http://www.myilham.com.


Monday, 20 February 2012

RIWAYAT HIDUP IMAM SHAFIE



Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf.

Imam Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw.

Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah sewaktu Imam Hanafi berada dalam penjara. Beliau dipenjara , diseksa dan dirotan kerana tidak mahu memberikan kerjasama kepada Khalifah Bani Abbasiyah yang zalim itu dengan menolak tawaran untuk menjadi Hakim kerajaannya.

Imam Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun.Beliau menghafal Kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik (Mazhab Maliki) selama 10 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa.Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.

Sebelum melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit.Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke bumi.Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka bumi.Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.

Imam Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat! Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji. Imam Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi,Imam Maliki dan Iman Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali). Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulamak sebelu mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Imam Syafie juga melarang Taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa saja. Beliau selalu berpesan: “Janganlah mereka-reka dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis”. Beliau juga berpesan : “Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”

NOTE: ( Ramai yang tidak mencatatkan nama mursyid tarbiah ruhani bagi Imam As-Syafie kerana nak menafikan pendapat-pendapat yang memisahkan ilmu fiqah dgn tasauf, guru beliau dalam bidang ini ialah Syuhbban Ar-Raie & Abu Hamzah As-Sufi. Untuk ma'aluman, ketiga-tiga Imam Mujtahid punyai mursyid dlm ilmu tarbiah ruhani.

Imam Abu Hanifah gurunya Imam Jaafar Shodiq. Imam Malik pula gurunya Imam Musa Kadzim & Maaruf Al-Khurki manakala bagi Imam Ahmad pula gurunya ialah Abu Hamzah As-Sufi & Bisyru Al-Hafi. Semua Imam-imam agung dari ke empat mazhab ada guru khusus mereka dalam tasawuf...hanya orang orang yg bodoh sahaja menganggap Tasawuf & Tarbiah Ruhani berasal dari Hindu-Buddha. ALLAHU ALIM! )

Antara pujian atau pandangan ulamak-ulamak lain kepada Imam Syafie ialah:

Imam Malik bekas gurunya pernah berkata: 

“Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”

Imam Ahmad Bin Hambal berkata: 

“Wahai anakku, Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia dan seperti kesihatan bagi tubuh.”

Beliau juga berkata: 

“Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie”.

Kata Imam Ahmad lagi: 

“setiap ahli hadis yang memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie”

Imam Muhammad al-Hakam berkata: 

“Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui, cerdik akalnya,lebih cerdas fikirannya, lebih cermat amalannya,lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie”. 

Beliau berkata lagi: 

“Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui berkenaan usul Fiqah selain dari Imam Syafie”

Menyelusuri perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali.Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi. Gurunya yang pertama secara tidak formal ialah ibunya sendiri. Ibunya mengajar beliau mengenal huruf dan mengaji al-Quran. Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal Al-Quran.

Bila ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.Namun setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya.Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar disitu!

Imam Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal.Dalam masa 3 bulan saja, Imam syafie mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Pernah suatu kali Imam Syafie memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya, lalu mengalahkan gurunya Mas'ab pula.

Imam Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya. 

Selepas itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang Feqah pula.Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula.Namun Imam Syafie masih merasakan kurang ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas pula.

Imam Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera.Selepas itu Imam Syafie terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.

Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah.Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan.

Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof.Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya.

Imam Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman. Di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan. Mereka dikurniakan 3 orang anak.

Semasa di Najran, Imam Syafie difitnah oleh Gabenor as-Saud iaitu Gabenor Najran kononnya Imam Syafie sedang menghasut rakyat untuk memusuhi dan menjatuhi kerajaan Bani Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun ar-Rashid. Akibat dari fitnah tersebut Imam Syafie dan anak muridnya telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai .Mereka juga dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.

Walau bagaimanapun dengan izin Allah swt Imam Syafie terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal. Diantara ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Imam Syafie, yang membuatkan hati dan jiwa raga Khalifah Harun ar-Rashid terpesona ialah Firman ALLAH swt dari Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud : 

“Hai orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita,periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”

Itulah diantara liku-liku perjalanan yang ditempuh oleh Imam Syafie dalam menuntut ilmu. Banyak lagi guru dan tempat beliau belajar yang tidak dinyatakan disini. Beliau sangat menyintai ilmu. Pernah suatu masa Imam Malik memuji beliau dengan berkata : 

“Sekiranya ada orang yang bahagia kerana ilmunya, inilah orangnya!” 

sambil merujuk kepada Imam Syafie. Berkaitan dengan kegunaan ilmu pula Imam Syafie pernah berkata: 

“Sesiapa yang mempelajari Quran, besar harga dirinya.Siapa yang mempelajari hadis, tinggi martabatnya.Siapa yang mempelajari bahasa,lembut hatinya.Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tidak bererti ilmunya”. 

Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu, jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya.

Imam Syafie meninggal dunia selepas waktu isyak, malam jumaat 28 Rejab tahun 204 Hijrah (tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.

Semasa Abu Ali al-Hasan menjadi perdana menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam Syafie ke Baghdad. Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi liang lahad Imam Syafie. Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang pengsan. Bila perkara ini diketahui oleh perdana menteri Iraq itu, maka beliau pun membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu. Pada tahun 608 Hijrah, sebuah Kubah telah dibina .Tidak lama kemudian sebuah masjid didirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie. Makam Ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.

Antara kata-kata menarik Imam Syafie:

1.Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.Ia juga amalan para Nabi, Rasul dan orang
soleh.

2.Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindari ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

3.Hati adalah Raja dalam diri. Oleh itu, lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebathilan.

[Artikel diatas saya sunting dari buku : Imam Syafie Pejuang Kebenaran; ditulis oleh Abdul latip Talib]

Dibawah ini saya siarkan 10 pesanan Imam Syafie untuk renungan kita bersama :

Sebelum Imam Shafie meninggal dunia, beliau sempat mengajak sahabat-sahabatnya agar membuat perubahan jiwa ke arah yang lebih baik. Beliau menyebut bahawa barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka lakukanlah 10 perkara:

1. Hak kepada diri, iaitu dengan mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak kepada Malaikat maut, iaitu menqada’kan segala kewajipan yang tertinggal, iaitu dengan memohon maaf daripada orang yang dizalimi, membuat persiapan untuk mati dan merasa cinta kepada ALLAH s.w.t.

3. Hak kepada kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, jangan suka kencing merata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak kepada Malaikat Mungkar dan Nakir, iaitu jangan berkata dusta, sering berkata benar, meninggalkan maksiat dan memberi nasihat.

5. Hak kepada Mizan, iaitu menahan kemarahan, banyakkan berzikir, ikhlas dalam amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

6. Hak kepada titian sirat, iaitu buang tabiat suka mengumpat, wara’, bantu orang beriman dan hidup dalam suasana berjamaah.

7. Hak kepada Malaikat Malik, iaitu menangis lantaran takutkan kepada ALLAH s.w.t., membanyakkan sedekah, membuat kebaikan kepada ibubapa dan memperbaiki akhlak.

8. Hak kepada Malaikat Ridwan, penjaga syurga, iaitu redha kepada qada’ ALLAH s.w.t., sabar menerima bala’ dan bertaubat.

9. Hak kepada Rasulullah s.a.w., iaitu dengan sering bersalawat kepada baginda, berpegang kepada sunnahnya dan bersaing mencari kelebihan dalam beribadah.

10. Hak kepada ALLAH, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan, mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran, bencikan kepada sebarang maksiat dan tidak melakukan kejahatan.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus                         mendengar dariku. Saksikanlah Ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-MU kepada hamba-hamba-MU."
              ~ Antara isi khutbah terakhir Rasullah s.a.w.
h Khairan,

(Semuga Allah SWT memberi balasan yang baik kepadamu)



LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin