Sunday 26 August 2012


Hukum Menziarahi Kubur dan Adab-Adabnya

Sejak akhir-akhir ini ramai pula saya terdengar insan-insan yang meninggal dunia tak kiralah dikalangan sahabat ke, kaum keluarganya ke, atau kenalan jauh. Namun, ini membuatkan saya muhasabah diri seketika dan  mengingatkan saya bahawa betapa sementaranya kita hidup didunia ini. Thah esok thah lusa, kita pula akan menyusul.

Hal ini membuatkan saya teringatkan kepada perkara seperti menziarahi kawasan perkuburan.
Apakah sebenarnya hukum menziarahi kubur? 
Adakah dibolehkan kita untuk menziarahi kubur?

Budaya Menziarahi Kubur

Dalam masyarakat Melayu Malaysia ini, menziarahi kubur ni dah menjadi kebiasaan terutamanya pada waktu perayaan Aidilfitri dan Aidiladha disamping sepanjang bulan Ramadhan. Perbuatan menziarahi kubur adalah tidak dilarang namun apa yang ditakuti adalah niat kenapa kita menziarahi kubur samada kubur saudara mara atau kubur orang lain.

Antara tujuan mengapa menziarahi kubur adalah disunatkan ialah kerana:
  • Supaya dikasihi oleh Allah swt,dengan sebab kita mengikuti Sunnah Rasulullah Saw 
  • Untuk mengingati asal-usul kejadian kita manusia, iaitu daritanah dan kembali semula kepada tanah
  • Menginsafi diri tentang hari kematian, alam kubur (barzakh) dan Hari Kiamat, dengan menghisab diri sama ada akan menuju ke syurga atau ke neraka.
  • Mengambil iktibar atau pengajaran dari apa yang telah berlaku, untuk melembutkan kekerasan hati dan menggamit kesedihan yang membawa kepada kesedaran.
  • Mengingat kembali terhadap orang-orang yang berjasa dan orang-orang yang berjihad kerana menegakkan kalimah Tauhid. 
  • Mendidik diri agar bersifat zuhud, iaitu tidak rakus dan tidak tamak akan harta benda dunia 
  • Berlaku ihsan kepada penghuni kubur dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, berdoa dan memohon keampunan untuk mereka.

Hukum Menziarahi Kubur
Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam, terutama sekali menziarahi kubur kedua ibu bapa.

Sabda Rasulullah Saw:

 (Pada suatu ketika) Rasulullah Saw ziarah ke kubur ibunya, lalu Baginda menangis, maka menangis pulalah orang sekelilingnya. Kemudian Baginda bersabda: “Aku memohon keizinan kepada Tuhanku untuk aku memintakan ampun bagi ibuku, tetapi permohonanku tidak diperkenankanNya. (Kemudian) aku memohon keizinan untuk menziarahi kuburnya, maka diperkenankanNya bagiku, kerana itu pergilah kamu menziarahi kubur, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada kematian.
(Hadits riwayat al-Jama‘ah)

Dalam hal yang lain, Rasulullah pernah bersabda lagi:

(Pada mulanya) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, (kini) kamu ziarahilah kubur, kerana sesungguhnya menziarahi kubur itu boleh menzuhudkan kehidupan di dunia dan mengingatkan akhirat.
(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Jadi, berdasarkan hadith ini, menziarahi kubur hukumnya adalahsunat bagi lelaki sahaja, tidaklah bagi perempuan. Daripada hadith diatas juga, dapat kita fahami bahawa menziarahi kubur bagi wanita juga tidak diharamkan. Sebab kalau haram, mestilah Rasulullah Saw ada melarangnya bila dibuatkan.

Satu lagi riwayat ialah ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha juga pernah menziarahi kubur. Dia bertanya kepada Rasulullah Saw: “Apakah yang patut aku baca kepada mereka, (iaitu ketika melawat perkuburan)?”

Jawab Rasulullah Saw: 

Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada mukminin dan muslimin dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.
(Hadits riwayat Muslim) 

Secara ringkas, hukum menziarahi kubur bagi perempuan itu bergantung kepada tujuannya. Jika tujuannya ialah untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat, di samping dia dapat menjaga adab kesopanan dirinya, dapat menahan dirinya dari kesedihan yang bersangatan, serta aman dari segala fitnah; baik dari segi persekitaran mahupun masa berziarah, maka dalam hal ini hukumnya adalah makruh bagi perempuan tersebut menziarahi kubur.

Manakala menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur. 

Menziarahi Kubur Rasulullah Saw

Berbeza menziarahi kubur Rasulullah Saw, hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki.

Daripada Ibnu ‘Umar Ra, Rasulullah Saw bersabda: 
Barangsiapa menziarahi kuburku, wajiblah baginya mendapat syafa‘atku.
(Hadits riwayat ad-Daraquthni)

Menurut sebahagian ulama, sunat juga menziarahi kubur para nabi, para ulama dan aulia. 

Wallahualam
~Haniff Izhar~


Sumber Rujukan:- Pejabat Mufti Negeri, Brunei Darussalam


UMMUAFIQ - kalau mahukan perbincangan yang lebih detail.... layari





LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin