Monday, 18 April 2011

MENYELESAIKAN PERGADUHAN ANAK- ANAK.


“Yop, kenapa Yop bergaduh dengan kawan-kawan tadi tu?” saya menepuk bahu Saiful Islam.
Beliau memuncung.
Enggan berkata-kata.
“Yop, kenapa gaduh?” Imad menyampuk, meniru soalan saya kepada abangnya.
“Ha ah, kenapa Yop gaduh tadi?” Naurah pun membabitkan diri sama.
Menambah tekanan ke atas abang mereka yang masih ‘berasap kepala’.
“Janganlah tanya Yop macam tu. Pening kepala dia. Biar abi sahaja yang tanya” saya mengarahkan Imad dan Naurah duduk kembali di kerusi belakang serta memasang kembali tali pinggang keselamatan.
“Tadi tu Yop main ke gaduh?” saya menukar bentuk soalan untuk menyegarkan pertanyaan ulangan.
“Gaduh!” jawab Saiful Islam.
Ringkas.
“Kenapa gaduh?” saya bertanya lagi.
“Dia orang ejek Yop” anak saya mula membuka ruang bicara.
“Oh, macam tu. Kenapa mereka ejek Yop? Eh silap, mereka ejek Yop apa?” saya menyambung soalan, sambil membatalkan soalan yang tidak disukai oleh anak-anak iaitu KENAPA.
“Dia orang cakap Yop Saiful Apek!” jawab Yop.
“Hahaha! Oppss…” saya memekup mulut kerana tergelak dengan tidak sengaja.
“Abi ni…!!!” Saiful Islam bengang dengan saya.
“Sorry Yop. Abi tak sengaja. Oh, sebab itulah Yop marahkan mereka. Mereka panggil Yop Saiful Apek rupanya” sebagai bapa, saya harus membina kepercayaan anak-anak bahawa kita mengiktiraf masalah mereka dan memahaminya.
HANTU TELEVISYEN
“Yop tahu tak, orang yang panggil Yop Saiful Apek tu, mereka hantu televisyen. Sebut aje Saiful, terus teringat Saiful Apek!” saya cuba memujuk.
“Ada Saiful lain ke?” soalnya kepada saya.
“Tentulah ada. Ramai. Ada Saifulllah, itu gelaran untuk Khalid bin al-Walid, tahu! Yop tahu sebab apa abi bagi Yop nama Saiful Islam?” saya pula melontarkan soalan kepadanya.
“Kenapa?” mulutnya masih memuncung semasa menyoal.
“Saiful Islam itu ialah pejuang Islam di Mesir. Bapanya bernama Hasan al-Banna. Hero Islam. Lebih hebat dari Raihan Rangers. Yop di sekolah Rumah Hijau, kan? Rumah Hijau bukankah namanya Hasan al-Banna? Saiful Islam itu nama anaknya” saya menarik kembali lipatan memori 7 tahun yang lalu, ketika memberi nama kepada anak sulung yang baru lahir.
saifulislamalbanna
Sheikh Ahmad Saiful Islam al-Banna
SESI DIALOG
Tengah hari itu, saya menghabiskan masa yang banyak bersama dengan anak-anak di dalam kereta meredah lautan kenderaan yang sesak di jalanraya. Kami mahu mengambil Ummu Saif yang habis bekerja jam tiga. Seronok juga dapat berbual-bual dengan mereka. Kebetulannya, ada topik yang penting untuk diselesaikan.
“Tapi dia orang tu jahat!” kata Saiful Islam kepada saya.
“Sebab itu abi tak bagi Yop pukul dia orang. Kalau Yop pukul dia orang, maknanya Yop pun sama macam mereka. Orang Islam tak boleh sakitkan orang lain dengan lidah dan tangan. Berdosa” saya cuba menangkis pandangan si anak.
“Habis tu takkan nak biar aje?” anak saya mempertikaikan pendapat bapanya.
“Jangan biarkan aje. Tapi Yop cakap le Alhamdulillah. Terima kasih ejek Yop. Yop dapat pahala, kamu dapat dosa!” saya memberikan cadangan.
“Kalau dia orang takut dosa, dia orang tidaklah ejek Yop” bidas beliau.
Aduh, pening kepala saya. Ada juga betulnya kata-kata anak saya. Buat apa timbulkan soal dosa kepada orang yang tidak pedulikan dosa. Membuang masa.
NAK GADUH JUGA
“Habis tu Yop nak buat apa?” saya meminta pendapatnya.
“Yop nak juga pukul dia orang” anak saya begitu sepenuh hati meluahkan kehendaknya.
“Terpulanglah kepada Yop. Tapi kalau mereka pukul Yop balik, Yop nak buat macam mana?” saya ‘memberikan’ kebebasan kepada beliau, sambil menyelitkan persoalan tentang risikonya.
“Yop minta tolong Abi” jawabnya pantas.
“Kalau Abi tak ada?” sengaja saya lontarkan provokasi kepadanya.
“Allah ada” tangkas Saiful Islam menjawab.
“Tapi Allah benci orang yang pukul orang. Allah tak akan tolong Yop sebab Yop pun buat dosa macam orang yang ejek Yop tu dapat dosa” penerangan dilanjutkan lagi.
“Ye la, Yop tak gaduh!” akhirnya Saiful Islam mengalah.
“Err, tapi kalau orang nak tumbuk Yop kena pertahankan diri, tahu!” saya pula yang risau.
“Kena gaduh?” anak saya terkejut.
“Silap, silap. Bagitahu ustaz sahajalah. Senang cerita” saya tidak mahu mengelirukan si anak.
“Nak bagitahu ustaz mana?” soal beliau lagi.
“Ustaz Hasrizal. The Dragon Warrior, boleh?” saya mengusik.
“Err…!” anak-anak mengalah.
Mereka hilang selera bertanya lagi.
18 Oktober 2010

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin