Bismillahirrahmaanirrahiim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
Alhamdulillah, setelah lebih 2 bulan – rasanya jarak paling lama tidak update blog – hari ini bagai seperti mendapat nafas baru untuk kembali di sini. Itu pun belum tahu kekerapannya bagaimana.
Saya biasa-biasa sahaja di sini. Meneruskan rutin sebagai isteri, ibu dan da’ieyah ilallah (pendakwah di jalan Allah), insyaa Allah. Segan juga mahu menggelarkan diri sebagai da’ieyah namun hakikatnya tetap da’ieyah kerana sekurang-kurang menyeru kepada diri sendiri dilakukan setiap hari menurut kemampuan dan dengan izin Allah jua.
Bukankah Allah berkata di dalam surah al-Tahrim ayat 6,
Maksudnya,
“ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu; neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Dalam ayat di atas, penegasan diberikan kepada diri sendiri dahulu dalam usaha menjauhi azab Allah swt.
*****
Saya mohon maaf kepada semua pengunjung yang soalannya belum sempat direspon. Saya mendoakan mereka mendapat jawapan daripada orang lain andai ianya penting bagi penanya.
Untuk makluman, saya mendapat soalan-soalan di akaun Facebook peribadi, Page, email dan Whats App. Saya dahulukan merespon yang difikirkan penting dan wajar didahulukan. Contoh soalan yang melibatkan toharah bagi wanita kerana berkait dengan ibadah Fardu Ain iaitu solat.
Sekali lagi saya mohon maaf atas kekurangan dan kelemahan ini.
*****
Ada satu kisah menarik hati beberapa hari lepas yang ingin dikongsikan di sini. Ia menyentuh hati saya untuk kesekian kalinya iaitu berkaitan dengan amalan istighfar. Bila Allah kasihkan hambaNya, diberi taufiq kepada amalan yang sesuai dengan hamba tersebut. Taufiq untuk lebih memberatkan beristighfar sepanjang masa sesuai buat diri saya yang banyak dosa ini.
KISAH IMAM AHMAD dan SI PEMBUAT ROTI
Suatu malam, Imam Ahmad bin Hanbal mahu menghabiskan malamnya di masjid, akan tetapi beliau dihalang oleh pengawal masjid. Sudah puas beliau mencuba namun tetap tidak berjaya.
Imam Ahmad pun berkata, “Saya akan tidur di tempat saya berdiri ini.” Beliau benar-benar melakukan seperti yang dikatakannya. Namun, pengawal itu tetap berusaha menarik beliau menjauhi masjid.
Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah melihatnya. Lantas dia membawa Imam keluar dari kawasan masjid itu dan menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.
Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun meninggalkan Imam berehat dan dia pergi menguli tepung. Imam Ahmad mendengar pembuat roti itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam. Ini membuatkan Imam Ahmad berasa kagum terhadapnya.
Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari istighfarmu itu? Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan beliau sudah mengetahui kelebihan dan faedah istighfar.
Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih belum diperkenankan.”
Imam bertanya: “Apakah doa itu?”
Pembuat roti pun berkata: “Aku mahu melihat Imam Ahmad bin Hanbal.”
Lantas Imam Ahmad berkata: “Akulah Ahmad bin Hanbal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah kepadamu!”
KREDIT KEPADA FB
Fattabiouni Malaysia
*****
Allah menyebut impak dari istighfar atau sentiasa memohon ampun dan maaf darinya dalam Surah Nuh ayat 10 – 12,
“Sehingga aku berkata (kepada mereka), `Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).*****
Apa perasaan kita bila seseorang yang bersalah memohon maaf kerana menyakiti kita seperti berbohong, mengumpat, mencela dan sebagainya, kemudian dia mengulangi lagi perbuatan tersebut dengan sengaja dan acuh tidak acuh? Pasti kita marah dan terasa dipermainkan.
Begitu jua Allah swt, tatkala kita mahu beramal dengan beristighfar, pastikan ia benar-benar lahir dari rasa bersalah, merasai banyak dosa, berazam meninggalkan segala laranganNya serta diiringi amal soleh.
Istighfar yang berkesan perlu diiringi mujahadah dalam menunaikan kewajiban dan menjauhi maksiat.
Ummu Abbas
1.05 am
24 Syawwal 1434H/31 Ogos 2013
No comments:
Post a Comment