Wednesday, 14 October 2009

MEMAHAMI ZIKRULLAH DALAM AL-QURAN


Firman Allah swt dalam surah al-Ahzab ayat ke 35 , maksudnya :"dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar”. Selain itu Allah swt juga berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang berbunyi :

Berdasarkan ayat ini para ulama', contohnya Mulla 'Ali al-Qari muhaddith dari benua India yang terkemuka menjelaskan bahawa berdasarkan hadith, ibadah yang paling utama untuk dilakukan selepas dari membaca Al-Quran dan mempelajari hadith ialah berzikir . Hebatnya kedudukan orang yang berzikir ini turut dinyatakan dalam firman Allah menerusi surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud :

: “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

Nabi saw pula bersabda yang bermaksud : Allah swt berfirman yang bermaksud : “ Aku sentiasa bersama hambaku apabila dia menginagtiKu dan selagi bibirnya menyebutKu”. Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah . Dalam sebuah hadith sahih yang lain Nabi saw bersabda yang maksudnya : “Tidaklah berhimpun seseuatu golongan itu untuk mengingati Allah melainkan Allah akan mengelilingi mereka dan rahmat menyelaputi mereka dan ketenangan turun kepada mereka dan disebut-sebut oleh Allah pada setiap yang ada disisiNya”.

Muslim hendaklah menjadikan setiap kesempatan yang dilalui sebagai zikrulLah . Tetapi soalan yang timbul ialah bagaimana boleh berlaku begitu . Al-Imam An-Nawawiy seorang pakar fiqh bermazhab Syafi'iy yang masyhur memperjelaskan dalam kitab al-Azkar, betapa mudahnya amalan zikir ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian beliau berkata bahawa segala tindak tanduk yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah merupakan zikir . Jika difahami perkara ini maka bukan sahaja pertuturan itu mempunyai nilai zikir , malah tidur , bersembang , ziarah menziarahi juga termasuk dalam zikir . Penjelasan ini adalah berteraskan kepada hadith-hadith dan ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan perkara tersebut.Hal ini sekaligus menafikan tanggapan 'rigid' masyarakat bahawa zikir hanyalah terbatas dalam kondisi-kondisi ibadah khusus seperti selepas solat atau pada waktu-waktu tertentu yang lain sahaja.

Al-Imam Al-Ghazaliy menyebut dalam Al-Ihya` , setiap episod yang dilalui dari pagi hingga ke malam hendaklah dipastikan menjadi ibadah kepada Allah . Lantaran itu , agenda kehidupan itu mestilah bermula dengan hubungan yang langsung dengan Allah . Alangkah baiknya jika hari itu dimulakan dengan 2 rakaat tahajjud diikuti dengan dua raka’at sunat hajat dan sebagainya .

Selesai solat subuh muslim menuju ke tempat kerja . Kerja merupakan peluang untuk beribadah kepada Allah dengan syarat menepati syarat yang ditetapkan oleh Islam . Pada waktu pagi , lebih kurang tiga jam selepas matahari terbit , muslim janganlah melepaskan peluang untuk beribadah . Ibadah yang sesuai pada masa ini ialah solat duha atau menunaikan keperluan seseorang muslim yang lain . Pada hari bekerja pula , waktu ini digunakan untuk bekerja dalam erti kata yang sebenarnya . Apakah dia sedar dia mendapat rezki yang tidak halal sekiranya mengabaikan tanggungjawab kerja itu dengan menghabiskan masa di kedai makan dan sebagainya .

Menjelang waktu zohor pula , seseorang hamba itu boleh meneruskan pekerjaannya sebaik tamat solat zohor . Sekiranya kerja sudah selesai maka dia boleh berehat atau qailulah iaitu tidur untuk membolehkannya Qiyamullail. Apabila masuk waktu asar , tugasnya ialah bersolat seperti biasa kemudian berzikir dan berwirid , seterusnya beraktiviti berbentuk kekeluargaan bersama anak dan isteri menerusi aktiviti-aktiviti rekreasi, riadhah dan kreativiti .Di samping dapat meningkatkan kesihatannya ia juga merupakan waktu berkualiti yang berupaya untuk menjalin hubungan kekeluargaan cara yang paling effisien dan memupuk kemesraan .

Kedatangan waktu maghrib menandakan berakhirnya hari tersebut . Al-Hasan ra berkata : Wahai anak Adam , sesungguhnya engkau itu ibarat hari-hari . Apabila berlalu sehari , bererti hilang sebahagian darimu dan hari-hari ini apabila berlalu takkan kembali lagi . Dia wajar menghitung hidupnya , adakah dia berjaya memperbaiki amalannya untuk bertemu Allah ? Jika dia berjaya menunaikan sebahagian kebaikan , maka hendaklah memuji Alah yang telah memberi kepadanya taufiq untuk melakukannya . Jika sebaliknya , maka wajarlah bertaubat kepadaNya dan berazam untuk tidak beriltizam dengan maksiat itu . Maksiat itu hendaklah diimbangi dengan kebaikan kerana Allah menyebut dalam firmanNya bermaksud : “ Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan” . Itulah yang menyebabkan ramai golongan salaf berusaha menutup hari mereka dengan sedeqah dengan harapan agar dilupuskan ‘hutang’ yang berlaku dalam sehari suntuk kehidupan .

Waktu antara maghrib dan Isya` hendaklah diisi dengan sebaiknya , samada untuk menghadiri majlis ilmu atau membaca Al-Quran atau bertasbih , berzikir dan solat sunat . Menurut sesetengah ulama` , Allah swt memuji para sahabat dengan sikap memelihara ibadah mereka pada waktu ini dalam surah As-Sajadah ayat 16 yang bermaksud : “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka”.Mengisi masa bersama anak-anak samada membantu melakukan ulangkaji pelajaran atau mengadakan perjumpaan kekeluargaan untuk berbincang tentang perkembangan ilmu terkini dalam format perbincangan juga merupakan inisiatif ibadah yang terpuji dan ia termasuk dalam konteks zikir yang diperluaskan.

Seterusnya selesai solat Isya` , eloklah kiranya diisi dengan program Al-Quran seisi keluarga . Antara surah yang digalakkan untuk dibaca setiap malam adalah surah Al-Waqi’ah . Nabi Muhammad bersabda dalam sebuah hadith riwayat Ibn As-Sunniy dan Ibn Al-Jauziy yang bermaksud : “ Sesiapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam akan terselamat dari kepapaan”.

Sebelum tidur , alangkah baiknya jika dibacakan surah peneyelamat dari siksa qubur, iaitu surah al-Mulk, seperti riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dan lain-lain.

Akhir sekali dikerjakan solat sunat witir sebagai penutup solat pada malam itu . Sekiranya dipilih oleh Allah untuk tersenarai bersama hambanya yang Qiyam , maka ia adalah nikmat dariNya . Tidurlah dalam keadaan berwudhuk , suci dan dengan doa yang diajarkan oleh Nabi saw.

Mudah-mudahan kita beroleh kedudukan hamba yang taat kepada Allah , yang sentiasa mengngatinya dalam segenap waktu dan masa yang diberikan .




MEI 2009


Wednesday, 30 September 2009

ADAB-ADAB MENYAMBUT ‘ID (HARI RAYA)


Ada berapa hari raya yang disyariatkan di dalam Islam?

Ada dua sahaja iaitu hari raya fitrah (عيد الفطر) pada 1 Syawal dan hari raya korban (يومَ الأضحْى) pada 10 Dzul-Hijjah. Dalilnya ialah hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah (selepas hijrahnya), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; “Hari apakah yang kamu sambut ini?”. Mereka menjawab; “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka;

قَدْ أَبْدلَكمُ الله بِهِمَا خَيْراً منهما: يومَ الأضحْى ويوْمَ الْفِطْر
“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang soheh)

Kenapa hari raya dinamakan ‘Id (العيد) dalam bahasa Arab?

Al-‘Id (العِيْد) adalah pecahan dari kalimah al-‘aud (العَوْد) yang bermaksud kembali. Dinamakan hari raya dengan nama demikian kerana ia kembali (yakni berulang-ulang) pada setiap tahun atau kerana kegembiraan akan datang kembali dengan munculnya hari raya pada setiap tahun.

Apa yang sunat dilakukan pada malam hari raya?

Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya (yakni hari raya fitrah dan hari raya korban) dengan ibadah sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda;

مَنْ أَحْيَا لَيْلَةَ الْفِطْرِ وَلَيْلَةَ الأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوْتُ الْقُلُوْبُ
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati hati-hati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)

Yang dimaksudkan mati hati ialah terbelenggu hati dengan dunia. Ada yang berpendapat maksudnya ialah menjadi kafir. Dan ada juga yang memberi erti; ketakutan hari kiamat.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa pada malam tersebut adalah mustajab. Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya al-Umm; “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban’”. (Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426, al-Majmu’, 5/47).

Adakah harus berpuasa pada hari raya?

Diharamkan berpuasa pada hari raya sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban. Ini kerana hari raya adalah hari menikmati makanan dan minuman. Terdapat hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ-: نَهَىَ عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَىَ وَيَوْمِ الْفِطْرِ
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menegah dari berpuasa pada dua hari; hari raya korban dan hari raya fitrah” (Riwayat Imam Muslim).

Apakah amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari raya?

1. Menyambut hari raya dengan laungan takbir dan memuji Allah

Pada hari raya kita digalakkan bersungguh-sungguh membesarkan Allah dengan melaungkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih. Sabda Nabi s.a.w.;

زَيِّنُوْا الْعَيْدَيْنِ بِالتَّهْلِيْلِ وَالتَّكْبِيْرِ وَالتَّحْمِيْدِ وَالتَّقْدِيْسِ
“Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis”. (Riwayat Abu Na’im dari Anas r.a.)

Ini menjadi petanda kepada kita bahawa hari raya di dalam Islam adalah hari untuk mengagungkan Tuhan dan menzahirkan syiar agama, bukan hari untuk berseronok dan bersuka-ria semata-mata.

Takbir pada hari raya ada dua jenis;

a) Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.

b) Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja.

Kedua-dua jenis takbir ini akan kita huraikan di hujung nanti di bawah tajuk khusus.

2. Mandi sunat

Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Sunat mandi ini adalah berdasarkan amalan sahabat di mana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;

أَنَّّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَاْنَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ
“Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’. Menurut Imam Nawawi; atsar ini adalah soheh)

Begitu juga dikiaskan kepada mandi hari jumaat. Selain dari mandi disunatkan juga menggunting atau mencukur rambut, memotong kuku dan menghilang bau-bau di badan dan pakaian kerana hari tersebut adalah hari raya, maka disunatkan perkara-perkara tersebut dengan dikiaskan kepada hari jumaat. Menurut Imam Ibnu Rusyd; sunat mandi hari raya adalah ijma’ ulamak. (Lihat; Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 283).

Bilakah masanya untuk mandi?

Masuknya waktu disunatkan mandi ialah apabila tiba tengah malam. Berkata Imam al-Muzani; “Aku menyukai agar mandi hari raya itu dilakukan selepas terbit fajar” (al-Majmu’, 5/10).

3. Berwangi-wangian dan dan memakai pakaian baru.

Berdalilkan hadis dari Hasan bin Ali r.a. –cucu Rasulullah- yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi, berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Nabi s.a.w. memakai untuk dua hari raya pakaian baginda yang paling cantik. Baginda mempunyai jubah khusus yang dipakai baginda untuk dua hari raya dan juga hari jumaat”.

Adakah berwangian dan berbaju baru itu hanya disunatkan untuk orang yang ingin keluar mengerjakan solat hari raya sahaja?

Tidak. Ia disunatkan kepada semua orang termasuk yang tinggal di rumah kerana hari raya adalah hari perhiasan (يوم الزينة). Bagi yang memiliki hanya satu pakaian, ia disunatkan membasuh pakaian itu untuk hari raya sebagaimana juga hari jumaat.

4. Beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya

Disunatkan pada hari raya umat Islam keluar beramai-ramai ke tempat solat hari raya termasuk kaum wanita (sama ada tua atau muda, yang berkahwin atau belum berkahwin, yang suci atau dalam haid) untuk sama-sama bertakbir, mendengar khutbah dan berdoa. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan;

“Kami (para wanita di zaman Nabi s.a.w.) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Riwayat Imam Bukhari).

Di mana ditempatkan wanita yang dalam haid?

Wanita yang kedatangan haid, mereka hendaklah ditempatkan di bahagian belakang orang ramai dan dipisahkan dari tempat sembahyang atau masjid. Menurut Imam Nawawi; kedudukan mereka hanya setakat pintu masjid sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Adapun wanita-wanita yang haid, maka mereka hanya turut sama menghadiri perhimpunan kaum muslimin dan doa mereka dan mereka duduk terpisah dari tempat sembahyang orang ramai”. (Riwayat Imam Bukhari dari Ummu ‘Athiyyah r.a.)

Dalam riwayat yang lain; “Dan wanita-wanita haid hendaklah berada di belakang orang ramai di mana mereka bertakbir bersama mereka” (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Ummu ‘Athiyyah r.a.).

Adakah harus wanita keluar dengan bersolek?

Tidak harus kaum wanita keluar dengan bersolek, bertabarruj dan berwangian. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Janganlah kamu menegah hamba-hamba Allah yang perempuan (yakni kaum muslimat) dari mendatangi rumah-rumah Allah. Namun hendaklah mereka keluar dalam keadaan tidak berwangian”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Adakah harus keluar jika dikhuatiri mendatangkan fitnah? Bagaimana dengan wanita yang dalam eddah kematian suami?

Tidak harus mereka keluar jika dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah. Begitu juga, tidak harus keluar wanita yang masih berada dalam iddah kematian suaminya.

Adakah kanak-kanak juga sunat dibawa bersama?

Ya, sunat membawa bersama kanak-kanak yang telah mumayyiz.

5. Keluar awal ke tempat solat (kecuali imam)

Disunatkan hadir ke masjid atau tempat solat awal pagi selepas subuh kecuali imam di mana ia disunatkan hadir pada waktu solat hari raya hendak dilaksanakan.

Imam disunatkan hadir lebih awal –untuk memimpin solat- pada hari raya korban supaya solat dapat dilakukan lebih awal dan dengan itu dapat memanjangkan waktu untuk melaksanakan ibadah korban (kerana binatang korban sunat disembelih selepas imama selesai dari solat hari raya). Adapun pada hari raya fitrah, imam disunatkan melewatkan sedikit hadir untuk memimpin solat bagi memberi lebih masa kepada kaum muslimin untuk membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).

6. Menikmati juadah sebelum keluar (khusus bagi hari raya fitrah)

Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar ke masjid atau tanah lapang bagi menunaikan solat. Sebaik-baiknya memakan buah tamar dan dengan bilangan yang ganjil. Adapun pada hari raya korban disunatkan menahan diri dari makan sehinggalah pulang dari menunaikan solat hari raya.

Diriwayatkan dari Ibnu Buraidah dari bapanya r.a. (seorang sahabat) yang menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan dan baginda tidak makan pada hari raya korban melainkan setelah beliau pulang”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dan at-Tirmizi. Hadis ini adalah hasan menurut Imam Nawawi)

Anas r.a. juga menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil’”. (Riwayat Imam Bukhari)

7. Keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang

Disunatkan pergi ke tempat solat atau ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan tenang. Apabila pulang, disunatkan melalui jalan yang lain dari jalan yang dilalui ketika pergi tadi. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan berjalan kaki dan pulang dengan berjalan kaki”. (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Imam Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a.; “Adalah Nabi s.a.w. pada hari raya baginda melalui jalan yang berbeza (yakni ketika pergi melalui satu jalan dan ketika pulang melalui jalan yang lain)”. Dari Ibnu ‘Umar r.a.; “Sesungguhnya Rasulullah pada hari raya melalui satu jalan (ketika keluar menunaikan solat hari raya), kemudian baginda pulang dengan melalui jalan yang lain”. (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim)

Antara hikmahnya menurut ulamak ialah; supaya kedua-dua jalan serta penduduk sekitarnya dari kalangan manusia dan jin menjadi saksi kepada baginda dan juga untuk menzahirkan syiar Islam.

8. Segera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.

Disunatkan bersegera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya dikerjakan. Ibnu Umar r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Mengeluarkan zakat fitrah selepas selesai solat hukumnya adalah makruh di sisi imam mazhab empat. Malah ada pandangan menyatakan; haram.

9. Menyembelih korban (bagi hari raya korban)

Digalakkan menyembelih korban pada hari raya korban dengan seekor kambing atau sebagainya bagi orang-orang yang mampu.

Barra’ bin ‘Azib r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami pada hari raya korban di mana baginda bersabda; “Sesungguhnya perkara pertama untuk kita memulakan hari kita ini ialah dengan kita menunaikan solat (yakni solat hari raya), kemudian kita pulang dan berikutnya kita menyembelih korban….”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

10. Mengucapkan tahniah, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman

Digalakkan pada hari raya mengucapkan tahniah sempena kedatangan hari raya, melahirkan rasa gembira dan seronok dan bersalam-salaman sesama kaum muslimin. Mengucapkan tahniah bersempena kedatangan hari raya adalah amalan para sahabat, oleh itu ia disyari’atkan. Al-Hafidz ibnu Hajar berkata; kami meriwayatkan dengan sanad yang baik (hasan) dari Jubair bin Nufair yang menceritakan; “Adalah para sahabat Rasulullah s.a.w. apabila saling bertemu pada hari raya, maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain; ‘Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu’”. (Fathul-Bari ‘ala Soheh al-Bukhari)

Adapun galakan bersalam-salaman adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bersabda; “Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh menurut Imam Nawawi)

Mengenai galakan menzahirkan kegembiraan, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan; “Senyumanmu di hadapan wajah saudara kamu adalah sedekah bagimu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Zarr r.a.)

Adakah harus mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas menunaikan solat hari raya?

1. Bagi imam, dimakruhkan melakukan sebarang solat sunat sebelum dan selepas mengerjakan solat hari raya kerana berlawanan dengan sunnah Nabi s.a.w.. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. keluar pada hari raya korban dan hari raya fitrah, lalu baginda menunaikan solat sunat hari raya dua rakaat. Baginda tidak mengerjakan sebarang solat sebelumnya dan begitu juga selepasnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Malah apabila ia sampai di masjid tidak perlu ia menunaikan solat tahiyyatal-masjid, akan tetapi terus memimpin solat hari raya. Solat tahiyyatal-masjid dengan sendirinya terhasil bersama solat hari raya itu.

2. Adapun selain dari imam, tidaklah dimakruhkan mengerjakan solat sunat sebelum atau selepas solat hari raya. Ini kerana waktu tersebut bukanlah waktu yang ditegah mengerjakan solat. Selain itu, terdapat riwayat dari Abu Barzah yang menceritakan bahawa Anas r.a., al-Hasan r.a. dan Jabir bin Zaid r.a. mengerjakan solat pada hari raya sebelum keluarnya imam.

Adakah harus bergembira pada hari raya?

Harus, malah disunatkan, akan tetapi hendaklah tidak membabitkan perkara-perkara yang haram. Di dalam hadis Anas r.a. tadi diceritakan; tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah (selepas hijrahnya), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; “Hari apakah yang kamu sambut ini?”. Mereka menjawab; “Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa jahiliyah”. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka; “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang soheh).

Di kitab Subulus-Salam, Imam As-Son’ani menyimpulkan berdasarkan hadis di atas; hadis ini menjadi dalil bahawa menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia antara syari’at Allah kepada hambaNya. Ini kerana yang digantikan hanyalah hari raya. Adapun adat sambutan yang dilakukan oleh mereka iaitu mengadakan permainan-permainan (untuk menzahirkan keseronokan dan kegembiraan) tidak disentuh oleh Rasulullah s.a.w.. Ini menunjukkan ia adalah harus pada hari raya. Namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur yang dilarang oleh Syarak dan tidak memalingkan dari ketaatan. (Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solatul-Idaian).

Adakah harus mendengar nyanian dan berhibur pada hari raya?

Ya, harus dengan syarat nyanyian dan hiburan yang bersih dari maksiat dan munkar. Syeikh Ali as-Shobuni berkata; “Oleh kerana har-hari raya adalah hari keseronokan dan kegembiraan bagi kanak-kanak dan orang dewasa, lelaki dan juga wanita, maka Syarak telah mengharuskan hiburan yang bersih dan permainan yang tidak ada sebarang unsur maksiat padanya, bertujuan untuk menimbulkan kegembiraan dalam hati sekelian manusia, supaya mereka merasai kebesaran hari raya dan keindahannya”.

Saidatina Aisyah r.a. menceritakan; “Abu Bakar masuk kepadaku sedang bersamaku dua orang budak perempuan Ansar yang sedang menyanyi dengan syair/ungkapan yang saling diucapkan (antara dua puak) Ansar (yakni ‘Aus dan Khazraj) dalam peperangan Bu’ats. Aisyah menerangkan; mereka berdua bukanlah penyanyi. (Melihat hal tersebut), Abu Bakar lantas berkata; “Apakah serunai-serunai syaitan di rumah Rasulullah?”. Hari itu adalah hari raya. Maka Rasulullah s.a.w. berkata; “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Takbir pada hari raya

Apakah dalil disunatkan bertakbir pada hari raya?

Diantara dalilnya ialah riwayat dari Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menceritakan; “Kami (para wanita) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya”. (Riwayat Imam Bukhari)

Siapakah yang disunatkan bertakbir?

Disunatkan bertakbir pada hari raya bagi lelaki dan perempuan, kanak-kanak (yang mumayyiz) dan orang dewasa, orang dalam negeri atau sedang bermusafir. Termasuklah wanita-wanita yang haid atau lelaki-lelaki yang berjunub. (al-Majmu’, 5/42).

Ketika bertakbir, adakah disunatkan meninggikan suara?

Ketika mengucapkan takbir disunatkan dengan suara yang tinggi untuk menzahirkan syi’ar agama. Diriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;

كان ابن عمر يكبر يوم العيد في الأضحى والفطر ويكبر ويرفع صوته
“Adalah Ibnu Umar r.a. bertakbir pada hari raya korban dan juga hari raya fitrah; ia bertakbir dan meninggikan suaranya”. (Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Baihaqi)

Namun dikecualikan kaum wanita; mereka hendaklah bertakbir dengan suara perlahan. Dalam kitab Kifayatul-Akhyar, pengarangnya menjelaskan; “Disunatkan mengangkat suara dengan takbir bagi para lelaki sahaja, tidak bagi perempuan”. (Lihat halaman 151)
Berapa jenis takbir hari raya?

Takbir pada hari raya ada dua jenis;

1. Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.

2. Takbir Muqayyad (المقيد) iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja (sama ada solat fardhu, jenazah atau solat-solat sunat).

Bilakah bermulanya takbir mursal dan bila pula berakhir?

Takbir mursal atau muthlaq bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan solat hari raya. Firman Allah;

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (al-Baqarah: 185)

Berkata para ulamak; ayat di atas menjadi dalil disunatkan melaungkan takbir pada hari raya fitrah dan dikiaskan kepadanya hari raya korban.

Bilakah bermulanya takbir muqayyad dan bila berakhir?

a) Bagi hari raya korban, takbir muqayyad bermula bermula dari solat subuh hari ‘Arafah (iaitu tanggal 9 Dzulhijjah) hinggalah selepas solat asar pada hari Tasyrik terakhir (yakni hari raya ke empat).

Diriwayatkan dari ‘Ali dan ‘Ammar r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir bermula dari hari ‘Arafah (selepas) solat subuh dan memutuskannya (yakni berhenti bertakbir) selepas solat asar hari terakhir Tasyriq”. (Riwayat Imam al-Hakim. Menurut Imam al-Hakim; hadis ini sanadnya soheh)

b) Bagi hari raya fitrah, bermula dari solat maghrib pada malam hari raya dan berakhir selepas solat subuh pada pagi hari raya.

Adakah takbir hari raya dilaungkan selepas zikir solat atau sebelumnya?

Melaungkan takbir didahulukan dari membaca zikir-zikir selepas sembahyang bagi takbir muqayyad. Adapun takbir mursal, membaca zikir-zikir selepas solat didahulukan dari melaungkannya. (Lihat; al-Kifayah Li Zawil-‘Inayah, hlm. 85)

Apakah lafaz takbir yang sunat dilaungkan?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama (Imam Ahmad); Lafaznya ialah;

الله أكبر، الله أكبر، لا إله إلا الله، والله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد

Iaitu lafaz takbir (الله أكبر) hanya disebut dua kali sahaja. Lafaz ini berdalilkan riwayat dari Ibnu ‘Umar r.a. dan Ibnu Mas’ud r.a.. Imam Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Abi al-Aswad yang menceritakan; “Adalah Abdullah bin Mas’ud r.a. bertakbir bermula dari solat subuh hari ‘Arafah hingga ke solat Asar hari an-Nahr (yakni hari raya korban) dengan melafazkan;
الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد
(Menurut Syeikh Syu’aib al-Arnaudh dan Syeikh ‘Abdul-Qadier al-Arnaudh; para perawi hadis ini adalah tsiqah. Lihat; Zadul-Ma’ad, jil. 1, hlm. 449, fasl Hadyihi s.a.w. fil-‘Idain).

Pandangan kedua (mazhab Syafi’ie); lafaznya ialah;

الله أكبر الله أكبر الله أكبر، لا إله إلا الله، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد
“Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar. Allah maha besar. Milik Allah lah segala puji-pujian”.

Iaitu lafaz takbir (الله أكبر) disebut tiga kali. Mengucapkan takbir tiga-tiga kali menurut Imam Abi Ishaq as-Syirazi adalah berdalilkan riwayat dari Ibnu Abbas r.a. (al-Muhazzab, bab at-Takbir). Berkata Imam Ibnu Hajar; “Sesungguhnya Ibnu ‘Abbas dan Jabir bertakbir tiga-tiga kali sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam ad-Daruqutni dengan sanad yang dhaif. Dan telah berkata Imam Ibnu ‘Abdil-Barr; “Terdapat riwayat yang sahih dari Umar, Ali dan Ibnu Mas’ud bahawa mereka melaungkan takbir tiga-tiga kali iaitu (الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر). (Lihat; tahqiq/ulasan Dr. Mahmud Matraji terhadap kitab al-Majmu’, bab at-Takbir, 5/36. Lihat juga; Nailul-Authar, 3/315).

Imam as-Syafi’ie dalam kitabnya al-Umm menyukai agar ditambah kepada takbir di atas selepas tiga kali mengucapkannya;

اللّه أكْبَرُ كَبيراً،والحَمْدُ لِلَّهِ كَثيراً، وَسُبْحانَ اللَّهِ بُكْرَةً وأصِيلاً، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَلا نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدينَ وَلَوْ كَرِهَ الكافِرُون، لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ، لا إِلهَ إِلاَّ اللّه واللَّهُ أكْبَرُ
“Allah maha besar dengan sebesar-besarnya. Segala puji-pijian milik Allah dengan sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Kami tidak menyembah melainkanNya sahaja dalam keadaan kami mengikhlaskan agama untukNya, sekalipun orang-orang kafir membenci. Tidak ada Tuhan melainkan Allah satu-satunya. Dia telah mengotakan janjiNya dan telah menolong hambaNya serta mengalahkan tentera-tentera bersekutu (dengan kekuasaanNya) semata-mata. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar”.

Tambahan ini menurut Imam Abu Ishaq as-Syirazi dalam al-Muhazzab, di ambil dari zikir Nabi s.a.w. ketika Sa’i di atas bukit Safa. (al-Majmu’, 5/36).



SEPT 2009


Tuesday, 18 August 2009

Kelebihan Surah Al Mulk


Kelebihan Surah Al-MulkSurah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Ibnu Abbas menceritakan:
"Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab neraka."

Meskipun begitu, Surah Al Mulk juga mempunyai kelebihan-kelebihan yang lain. Di sini penulis bentangkan sebahagian daripadanya sahaja. Diantaranya:

1. Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun unutuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk."

2. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur."

3. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya."

4. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur."

5. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir.

6. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga."

7. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga."

8. Ulama berkata: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk."

9. Ulama berkata: "Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka."

10. Saiyidina 'Ali berkata: "Barangsiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf."

11. Ulama berkata: "Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Barangsiapa mengamalkannya nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk."

12. Saiyidina 'Abdullah bin Abbas berkata: "Barangsiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke pihak kepala, terdengar satu seruan: "Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk."

Begitulah keadaanya bila azab itu pergi ke pihak kaki dan perutnya. Kerana semuanya mengandungi surah Al Mulk."


http://2dancingprincess.blogspot.com/


Jun 2009

Thursday, 13 August 2009

Adab berbuka Puasa - Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W


ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

1.Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

2.Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”

(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

3.Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

4.Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:

Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.

(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

5.Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.”

(Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”

(Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

6.Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

(Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.
Ogos 2008

Sunday, 9 August 2009

CARILAH HATIMU.


Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.
Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu… Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendenganmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.
Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah… tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!

Aprill 2009

Thursday, 6 August 2009

Qurratu'ayun Ayat Cinta Kami.


Mata saya berkaca menatap ayat indah itu. Semakin lama saya menghayatinya, sebak kian melanda jiwa. Saya menyeka air mata dengan hujung telekung bercorak bunga warna coklat muda, hadiah dari suami tercinta. Belum pernah jiwa saya tersentuh sebegitu walau telah saban kali mengulangi ayat yang sama. Namun impaknya kali ini amat berbeza. Ayat yang sangat mudah dilafaz, tapi amat payah untuk direalisasikan dalam kehidupan moden hari ini. Bukan semudah mengungkap ayat-ayat cinta kala kasih bersemi.
Rasulullah SAW telah banyak kali menegaskan di sepanjang kehidupan Baginda. Antaranya sabda Baginda yang bermaksud :

“ Tidakkah ingin kalian aku khabarkan tentang perkara terbaik dan paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang? Iaitulah, isteri yang solehah, yang cirinya adalah menggembirakankan apabila memandang kepadanya. Jika disuruh, dia mentaatinya, dan bila kamu tiada, dia memelihara ( rahsia dan hartamu ) dengan sebaiknya.” ( Riwayat Abu Daud dan al Hakim )

WANITA SEBAGAI ISTERI PEMBANGUN JIWA
Sudah lama saya mendengar dan membaca kisah Sayyidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ummu Sulaim, Ummu Salamah dan lain-lainnya, tapi baru kali ini saya benar-benar menghayati apa yang tersirat di sebalik kisah mereka. Terlalu besar peranan seorang isteri untuk menjadi penenang jiwa seorang suami.
“Apa pandangan abang tentang peranan seorang isteri dengan merujuk kisah Sayyidatina Khadijah, Fatimah dan yang lainnya? “ Suatu petang, saya bertanya suami, ingin tahu.
“ Seorang isteri yang berperanan sebagai penyejuk dan penenang hati, bukan sahaja memberi kesan kepada suami, bahkan juga kepada negara, “ suami saya menjawab sambil memandang tepat ke anak mata saya.
“ Mengapa begitu besar kesannya? “ saya bertanya, supaya suami melanjutkan perbincangannya.
“ Jika hati, pemikiran dan sikap suami mampu ditenang oleh isteri dan anak-anak sebagai ‘cahaya mata’ penyejuk jiwa dan raga, maka sudah pasti dia akan menjadi lelaki yang bijak serta tenang dalam mengambil sebarang keputusan dalam kerjayanya. Kebijaksanaan itu akan turut dimanfaatkan oleh masyarakat dan dunia, ” ulas suami sambil memandang jauh ke luar jendela.
“ Seterusnya hasil dari ketenangan di rumah juga, suami akan melihat dunia sebagai amanah yang dígalas atas nama Allah Azza wa Jalla, dan bukan sebagai habuan kepada nafsu yang bermaharajalela. Dunia baginya merupakan tempat untuk membalas kebaikan keluarga, lalu dia menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh. Tidakkah beruntung seluruh warga alam andai semua lelaki bersikap begini? ” ujarnya lagi.
Saya mengangguk tanda sangat bersetuju dengan pandangannya itu. Memang benar, telah banyak kita melihat ramai lelaki yang nafsunya tidak selesai di rumah, akhirnya merosak anak gadis dan isteri orang di luar rumah. Mereka juga menjadi pelanggan setia, memeriahkan bisnes pelacuran di pinggir ibu kota. Mencetus caca marba dalam masyarakat serta membawa virus dosa dan akhirnya apabila kejahatan melata maka akan semakin kurang redha Allah terhadap masyarakat. Bala mula menimpa akibat dari nafsu lelaki yang tidak dirawat sebaiknya oleh isteri di rumah.
Juga, telah acap kali kita mendengar berapa ramai lelaki yang minda dan hatinya kusut, tidak tenang lantaran isteri yang gagal menyuntik kedamaian. Kesannya, suami yang gersang jiwanya ini akan bertukar ganas umpama serigala rimba. Segala keputusan diambil tanpa rujukan agama, pertimbangannya menjadi tempang akibat tiada damai di rumah. Sebagaimana seorang hakim membuat keputusan dalam keadaan diri resah gelisah dan marah, tentu saja hukuman yang salah dan tidak tepat akan terlaksana dan ini tidak dibenarkan oleh Nabi sa.w.


CIRI-CIRI WANITA PENENANG JIWA
Tidak dinafikan hari ini telah mula bangkit suara dan laungan sekumpulan wanita pejuang feminis, yang memandang hina kisah-kisah wanita solafussoleh ini. Mereka mendakwa Islam menganjurkan isteri menjadi ‘hamba’ kepada suami. Alangkah malangnya ‘pejuang wanita ‘ seperti ini disebabkan mereka berfikir menggunakan aqal bersalut nafsu dan bukan dengan mata hati bersuluh cahaya iman.
Mereka gagal melihat apa yang tersirat, bahawa dunia ini binasa disebabkan oleh tangan-tangan manusia sebagaimana yang pernah ditegaskan melaui firmanNya. Jika dulu, hanya tangan-tangan lelaki yang menjadi golongan majoriti membuat keputusan kononnya untuk pembangunan dunia, namun kini tangan-tangan wanita telah terheret sama menyumbang kepada kerosakan apabila mereka mula berjawatan dan turut sama membuat keputusan.

Bagi saya tiada lain yang lebih beerti selain kembali merujuk kepada srikandi Islam di zaman silam. Mereka merupakan contoh tauladan buat seorang isteri yang layak menjadi ‘qurratu’ayun’ seorang suami. Mereka memiliki segala yang diidamkan, antaranya :

1 ) Isteri yang cerdik. Kecerdikan seorang isteri bukan diukur dari segulung dua ijazah yang diraih dari universiti atau kolej-kolej tinggi. Akan tetapi, kecerdikannya terserlah pada sifat mengenali dan memahami keperluan suami semasa suka mahu pun duka. Dia pandai mengambil hati suami dengan perilaku yang manja dan lemah lembut. Tutur katanya halus dan berhati-hati agar suami tidak terasa hati. Gurauannya bersahaja sangat menyenangkan jiwa. Dia juga bijak mengangkat nilai suami pada pandangan orang lain dan sentiasa bersedia untuk diajak berbual apa sahaja tanpa rasa jemu dan perasaan layu.
Isteri yang pandai membaca riak rasa seorang suami sama ada gembira atau sebaliknya, menjadi penguat semangatnya untuk melakukan yang lebih baik pada esok hari. Kerana itu, ada pepatah mengatakan, di belakang seorang lelaki berjaya, ada seorang wanita bernama isteri yang sentiasa mendorong dan meniup semangat juangnya.

2 ) Sentiasa mendahulukan suami dari yang lain. Seorang isteri yang solehah dinilai dari ketaatannya kepada suami dalam apa jua perkara selagi ia tidak melangkaui batasan agama. Kesetiaan kepada suami didahulukan dari orang lain termasuk ibu dan bapa. Keizinan suami sentiasa diminta agar redhanya selalu mengiringi, sehinggakan untuk berpuasa sunat juga isteri perlu meminta izin suami sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud :
"Tidak halal bagi seorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa , sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu."(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal)

3 ) Mengurus rumahtangga. Tanggungjawab seorang isteri yang tidak kurang pentingnya ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Anak-anak dijaga makan dan pakai, begitu juga suami yang sentiasa dipenuhi keperluan dirinya. Rumah yang bersih, damai dan tenang akan menggembirakan penghuni yang berlindung di dalamnya. Jiwa yang tenang pasti akan melahirkan individu yang ceria gembira. Walaubagaimanapun, untuk menghias rumah, isteri perlulah mengikut kemampuan keperluan keluarga. Isteri harus pandai menghargai susah payah suami mencari nafkah buat perbelanjaan sehari-hari.
Suami mana yang tidak berbunga rasa sebaik menjengah ke dalam rumah, isteri menyambut dengan manja, anak-anak riang gembira dan rumah bersih senang dipandang mata.

4 ) Berhias hanya untuk tatapan mata suami. Isteri yang menyintai suami tidak akan membiarkan kecantikannya dilihat apatah lagi dinikmati oleh orang lain. Mata, bibir , tangan, kaki dan seluruh anggota tubuhnya hanya untuk santapan mata suami yang halal baginya. Oleh kerana itu, pakaian dan penampilannya di hadapan suami sentiasa dijaga. Pelupuk mata, pipi dan bibir yang disolek dengan warna menaikkan seri wajah hanya digunakan di hadapan suaminya. Akan tetapi bila berada di luar rumahtangga, semua itu ditinggalkan. Auratnya ditutup dengan rapi. Tidak juga dia memakai wangi-wangian yang boleh dihidu oleh lelaki lain agar keberkatan dalam rumahtangga tetap terpelihara.

QURRATU’AYUN AYAT CINTA KAMI
Saya kembali menatap sebaris ayat indah itu. Di dalamnya terkandung doa dan harapan. Doa kepada yang Esa serta pengharapan dari hati yang membacanya. Ia bagaikan ayat-ayat cinta yang menghidupkan seluruh jiwa saya untuk terus berbakti kepada anak-anak dan suami, malah melangkaui lebih jauh dari itu, suatu bakti kepada dunia melalui khidmat kasih setia kepada suami. Membantu suami agar tidak menjadi lelaki pembinasa masyarakat tetapi penyelamat dari fasad dunia. Saya membaca dan terus membaca dengan penuh keinsafan dalam jiwa.
“ Wahai Tuhan kami, kurniakan lah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
( al Furqan : 74 )
Semoga kita semua berusaha meraih redhaNya sebagai qurratu’ayun dalam hidup seorang suami, amin.


http://ummuhusna99.blogspot.com/
April 2009

Monday, 3 August 2009

Keluarga Hebat Dan Ihsan


Ceritanya Gini...
Suatu hari, seorang ustazah travel, Dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri tersebut adalah guru biasa. Sisuami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah. Waktu zohor masuk, abang yang tua mengajak semua adik- adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam.

Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu' dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku' apabila imam ruku'.. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam,dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah..., adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk... ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh. Cerita tak berakhir di situ.
Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu'. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh ntah berapa tahun sibuk mengambil wudhu' di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir.

Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat,si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat. Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ.

Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, "Anak-anak.. . hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa... ". Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah..., bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya... Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu... Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki... Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman... cuba kita tanya diri kita sendiri...

Kisah ini saya jumpa dalam blog seorang rakan blogger. Tertarik dengan kisah ini kerana dalam zaman yang serba mencabar ini payah dan jarang boleh kita jumpa dengan anak anak yang berjaya ditarbiyyah sedemikian rupa. Anak anak yang mempunyai sifat Ihsan.

Ihsan yang disebut didalam hadis Rasullullah SAW: "Engkau menyembah Allah seolah olah engkau melihat akan Dia. jika engkau tidak dapat melihat Dia maka sesungguhnya Dia melihat engkau."
Ibadat yang dilaksanakan menurut hakikat Ihsan hanya ditumpukan kepada Allah,tidak kepada yang lain ATAU kerana yang lain. Itulah yang dikatakan makam musyahadah iaitu mempersaksikan Tuhan dari dekat dalam mengerjakan ibadat. Ibadat seperti ini menyebabkan seseorang lebih bertanggungjawab di atas ibadatnya hingga dilakukan dengan penuh kejujuran samada dikhalayak ramai ataupun bersendirian. Kerana dia yakin apa yang dilakukannya dilihat oleh Tuhannya.

Mungkin anak anak ini tidak fahampun tentang Ihsan. Tetapi terapan akhlak seorang mukmin yang diasuh oleh ibubapanya melahirkan anak anak yang taat pada tanggungjawab sebagai seorang muslim walaupun tanpa disuruh dan diberitahu. Inilah anak anak yang hebat.

Bukan hebat hanya jika anak mendapat keputusan yang baik dalam exam sekolah,bukan hebat hanya jika anak jaguh dalam kokurikulum sekolah. Bukan juga hebat jika anak pandai bermain piano,muzik,menyanyi,menari. Malang sungguh keluarga muslim yang lebih berbangga jika anak anak hebat dalam semua ini sedangkan membaca Al quran merangkak rangkak seperti kura kura. Berhabis untuk kelas muzik tapi untuk kelas agama dikatakan membuang masa.

Hakikatnya berapa kerat agaknya keluarga yang terasuh seperti kisah ini. Dan sebenarnya soalannya lebih kepada diri sendiri. Apakah asuhan ini telah berjaya diterapkan dalam keluarga sendiri..anak anak..Apakah sifat Ihsan itu telah tertanam di jiwa anak anak dan diri sendiri? Atau adakah ia sekejap datang dan pergi? Sekejap merasakan Allah dekat dengan kita dan sekejap pula merasakan kita jauh dari perhatian Allah?

Semoga Taufik dan Hidayah Allah akan sentiasa menyuluh di jalan kehidupan ini. Semoga Allah memberi kemudahan dan keringanan dalam melaksanakan ibadat kepadaNya.
Salam ukhuwwah.


ummuasumaiyahmenulis.blogspot.com
Julai 2009


Sunday, 2 August 2009

Petua Tok Guru Nik Aziz Untuk Bangun Tahjud.


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمـٰنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡمُزَّمِّلُ
Wahai orang yang berselimut!.

قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلاً۬
Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

نِّصۡفَهُ ۥۤ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِيلاً
Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلاً
Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

إِنَّا سَنُلۡقِى عَلَيۡكَ قَوۡلاً۬ ثَقِيلاً
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّيۡلِ هِىَ أَشَدُّ وَطۡـًٔ۬ا وَأَقۡوَمُ قِيلاً
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.

Al-Muzammil:1-6


Saya kira masih ramai antara kita yang tahu mengenai kelebihan solat Tahajjud tapi masih ‘bercinta’ dengan gebar selesa di dini hari yang sepi. Susah betul mahu bangun pagi-pagi buta itu, bukan? Tahu dan mahu tapi belum mampu berpisah dengan tilam dan selimut. Apatah lagi saat orang lain lena dibuai mimpi. Sayang betul mahu korbankan waktu tidur itu, iya tak?

Alangkah Subuh ditangguh-tangguh, inikan pula mahu bangun Tahajjud!

Saya ingin berkongsi secangkir nasihat dari tokoh ulama bertaraf wali, Tuan Guru Nik Abdul Aziz (lebih mesra dipanggil Tok Guru) mengenai solat Tahajjud.

Dalam satu kuliah Jumaatnya seperti biasa. Dalam Dewan Zulkifli itu saya menadah hati untuk dicurahkan permata hikmah. Waktu itu saya masih di sekolah menengah.

Tok Guru berkata, “Kalau kita terjaga di tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah dari Allah. Allah kirimkan malaikatNya mengejutkan kita supaya kita bangun beribadah kepada Allah. Sebagai tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa (berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada Allah. Kemudian tidurlah.

Kalau kita sedar, kemudian kita terus sambung tidur tanpa ucapkan apa-apa (contoh beristighfar, bertahmid dan sebagainya). Kemudian malam kedua dan malam ketiga pun begitu juga. Kita bimbang malaikat tidak akan datang lagi mengejutkan kita.”

Selepas saya mengetahui hal itu, saya berusaha mengamalkan apa yang Tok Guru pesan. Rasa malu pada Allah bila terjaga pagi-pagi buta, Allah sedang tunggu permintaan kita untuk dikabulkan tapi kita menyombongkan diri dengan memejam rapat mata kita.

Begitulah saya lakukan bertahun-tahun sepanjang sekolah menengah itu. Jarang-jarang sekali, saya bangun untuk solat. Maklumlah, ruang bilik air di rumah orang tua saya ialah telaga yang beratapkan langit. Walaupun berdinding simen dan bersambung dengan dapur, saya jenis penakut. Kalau terdesak pun, saya akan kejutkan sesiapa untuk temankan. Nasib baik adik beradik ramai.

Macam-macam jugalah yang saya minta tapi pendek-pendek sahaja. Paling kurang, saya mohon ampun dan minta Allah sedarkan lagi saya malam berikutnya. Saya bimbang kehilangan anugerah agung itu. Anugerah yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad sebelum terfardunya solat 5 waktu.

Suweileh, Amman, Jordan

Tahun pertama di Jordan, saya masih liat bangun Tahajjud walaupun bab solat fardu, saya segera menunaikannya sebaik masuk waktu kecuali ada rukhsah syar’ie. Pesanan Hassan al-Banna itu dapat pula saya lunasi, alhamdulillah. Saya istiqamah dengan nasihat Tok Guru sebelum ini. Doa sahaja dalam selimut. Apalah pandangan Allah pada saya…!

Takdir Allah, seorang teman serumah yang baru saya kenali dan tinggal sebilik pula suka bangun Tahajjud. Bukan sekali sekala, tetapi setiap malam kecuali datang bulan. Saya tahulah dia bangun Tahajjud setiap malam sebab saya pun terjaga setiap malam juga, alhamdulillah. Masa-masa tertentu ada juga yang tidak sedar. Teman saya itulah yang kejutkan saya agar bangun Tahajjud.

Dalam diam saya kagumi dia tapi opss… teman saya itu sedar hanya dia yang bangun malam. 3 orang lagi rakan serumah membuta sahaja kerjanya. Jarang-jarang gagahkan diri untuk Tahajjud. Dia paling muda di antara kami berempat. Suatu hari, dia membebel pada kami menyebut tentang kepentingan Tahajjud.

Hmm…patutlah dia kelihatan biasa sahaja dengan Tahajjud, rupa-rupanya ahli keluarganya dilatih sejak kecil untuk bertahajjud. Bapanya salah seorang ulama di Perak (sekarang Allahyarham). Banyak didikan yang baik dari keluarganya dikongsikan dengan kami.

Sejak kena bebel itulah, saya mula rajin bangun malam. Itu pun banyak juga ’last minute’- menunggu saat azan Subuh dikumandangkan. Apa pun, syukur kepada Allah yang mengurniakan teman yang baik dan ikhlas. Khasiat Tahajjud ini memang besar.

Kita sambung lain kali pula ya berkenaan khasiat Tahajjud. Buku-buku pun ada yang cerita tentang Tahajjud dan kelebihannya. Bolehlah baca.

Akhir kata, memang benar apa yang Tok Guru pesan sebelum ini. Hargailah waktu sedar di tengah malam dengan memohon kepada Allah walau sedikit. Insya Allah, lama kelamaan, kita akan ada kekuatan untuk menunaikan Tahajjud.


keranacinta.wordpress.com
Mac 2009

Wednesday, 29 July 2009

Tradisi Kerja Lepas Subuh.


Pagi tadi selepas Subuh, saya sempat menyelesaikan dua tulisan untuk majalah Anis. Terasa idea meluncur laju tanpa tersekat-sekat. Lepas Subuh memang “prime time” untuk menulis. Fikiran, emosi dan hati masih tidak tercela oleh kesebukan, godaan dan kelalaian. Sejak puluhan tahun tradisi ini saya kekalkan. Walaupun sudah sebati, kadangkala terganggu juga. Ada masanya saya menulis waktu malam atau petang. Namun saya sering diperingatkan oleh rasa “tersekat-sekat”, berat dan perlahan. Kurang menjadi.

Malam semalam, fikiran masih ligat berfikir – betapa banyak “kesayangan-kesayangan” kita menjadi halangan dalam kehidupan. Akhirnya, saya tumpahkan segalanya dalam tulisan bertajuk Kill Your Darling. Begitu juga kelohan-kelohan hati sepanjang sambutan majlis Maulid Nabi tahun-tahun yang lalu. Saya pernah menjadi penceramah, ahli panel, pengacara dalam acara rasmi dan tidak rasmi – hati saya merintih kenapa program-program sedemikian belum benar-benar “landing” dalam hati masyarakat.

Al hasil, Maulud tinggal hanya soal basa-basi, jamuan dan laungan selawat… yang itu-itu juga. Tidak ke mana. Sekadar mengulang-ulang apa yang akhirnya menjadi tradisi dan terlalu bermusim sifatnya. Semua itu kemudiannya saya luahkan dalam tulisan – Sunyi Sekeping hati di kemeriahan Maulid Nabi, juga untuk majalah Anis.

Minggu lalu, saya masih asyik menulis buku dan menghabiskan kerja menghasilkan, menyemak dan menambah baik artikel-artikel dalam majalah SOLUSI edisi ke 4. Berbincang dengan Dr Sidek Baba tentang Jihad Ilmu – melayani impian, harapan dan visinya tentang tarbiah dan perjuangan. Ambil kesempatan berguru dengan keghairahan dan pengalamannya. Alhamdulillah, prinsip yang cuba dipraktikkan dalam hidup – what you see is what you get - ternyata memberi kebaikan. Ertinya, kita mesti melihat sisi positif pada setiap individu, situasi dan kondisi yang kita hadapi… barulah kita akan mendapat sesuatu yang positif juga. Bagaimana kita hendak mendapat yang positif, kalau yang kita lihat negatif? Kalau begitu yang kita praktikan, insya-Allah kita boleh belajar daripada sesiapa sahaja dan apa sahaja.

Sering juga saya peringatkan diri sendiri, jadilah orang yang rendah diri, kerana orang yang merendah diri boleh belajar bukan sahaja daripada orang yang baik dan bijak, malah daripada orang yang jahat dan dungu juga. Fira’un yang jahat mengajar kita tentang keyakinannya terhadap kehidupan selepas mati dan persediaan menghadapinya. Piramid adalah lambang komitmen Fir’aun tentang itu. Manakala mengenai ‘guru’ yang dungu pula Luqman Al Hakim pernah berkata, aku mengutip hikmah daripada orang yang bodoh… di mana kesalahannya, tidak akan aku lakukan!

Pagi tadi juga, saya menerima SMS daripada sahabat karib Zakaria Sungip, yang kini walaupun berlainan “bahtera” tetap mempunyai kesatuan hala. Dia tertarik dengan kaedah “melapangkan masa vs menunggu masa lapang” – satu kaedah yang “biasa-biasa” sahaja dalam mengharungi kesebokan tugasan dan tanggung-jawab. Itu yang saya belajar dalam usaha untuk terus belajar walaupun di tengah kesebokan “mengajar”. Lapangkanlah masa ditengah kesebokan memandu (apalagi ketika menghadapi kesesakan lalu-lintas) untuk belajar melalui kaset dan CD. Gunakan waktu senggang menunggu di bank atau di klinik dengan membaca buku.

Luahkan apa yang kita dapat, baca dan lihat kepada anak-anak, isteri dan sahabat. Belajar setiap masa. Atau jadilah “telinga’ (pendengar) yang baik dalam setiap komunikasi dan interaksi. Jangan cepat menyampuk dan bercakap. Diam, adalah satu kaedah belajar yang berkesan juga.

Namun, segala-galanya mesti bermula dengan muqaddimah yang baik. Lepas Subuh, waktu yang paling berkat untuk memulakan tugasan, pemikiran dan tindakan sesama insan seperti dinihari adalah waktu yang paling optimum berhubung dengan Tuhan. Menurut pakar psikologi, masa sepuluh minit selepas bangun tidur adalah waktu yang paling kritikal menentukan keceriaan dan kecemerlangan pada hari tersebut. Menurut mereka, jangan dicemari pembukaan hari dengan rasa-rasa yang negatif, kata-kata yang buruk, raut wajah yang masam. Nanti kesannya akan berpanjangan sepanjang hari.

Menjadi seorang muslim, kita tidak akan menghadapi pembukaan hari dengan yang negatif. Bayangkan sebaik bangun tidur, kita terus membaca doa. Terus membersihkan diri, berwuduk dan mendirikan solat. Mata kita merenung tempat sujud. Mulut kita membaca ayat Quran dan selawat. Hati dan perasaan kita terfokus kepada kepada Allah – zat yang Maha Suci, Baik, Penyayang, Pemurah dan lain-lain sifat kesempurnaan-Nya. Jadi apa yang dikatakan oleh pakar psikologi itu akan tercapai secara automatik bila kita atur kehidupan secara Islamik.

Baik, isterehat dulu ya. Nanti kita ketemu lagi. Insya-Allah.


Ketupat emak


Memberi lebih menggembirakan daripada menerima. Begitu yang selalu ditegaskan oleh pakar-pakar motivasi. Dalam Islam, kita memang digalakkan memberi berbanding menerima. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah, begitu maksud hadis. Tapi itu teorinya sahaja, dalam praktiknya payah hendak dirasakan memberi itu lebih menggembirakan, lebih baik. Memberi ertinya mengurangkan milik kita, bagaimana itu boleh menggembirakan?

Semua persoalan itu terjawab dari segi ‘rasanya pada hari raya tahun yang lalu. Seperti biasa saya pulang beraya di kampung bersama isteri dan anak-anak. Kami pulang agak lewat, tetapi sempatlah sembahyang raya di kampung. Selepas solat raya seperti tradisinya kami bermaaf-maafan dengan emak dan ayah. Meriah melihat anak, isteri, emak dan ayah berkumpul bersama.

Hari masih pagi bila kawan-kawan lama saya datang berkunjung. Kemudian, mereka beria-ria mengajak saya ke rumah mereka. Saya tidak patut menolak. Hari raya. Dari situ, melarat-larat ke rumah kawan-kawan yang lain. Lepas satu, satu. Tanpa disedari hampir sepuluh buah rumah semuanya. Hampir zuhur baru pulang ke rumah semula. Letih. Kenyang. Tiba-tiba adik bongsu saya datang dan berbisik, “bang, jangan lupa…”

Saya tersentak lantas berkata, “emak kat mana?”
“Dalam bilik.”
“Ketupat?”
“Macam biasa. Ada di balik pintu belakang,”jawabnya pendek.
Saya bergegas ke bilik emak.
“Emak, ketupat ada lagi tak?”
Seperti biasa emak senyum lantas bangun dari duduknya. Tangkas.

“Tulah, ingatkan kau dah lupa. Manalah tahu dah jumpa kawan-kawan…”
Kami bersama duduk di meja makan. Hampir zuhur begitu, tidak ada tetamu yang datang. Bapa dan anak-anak saya ada program sendiri. Isteri turut serta. Jadi tinggal saya dan emak. Adik bongsu di dalam bilik.

Kami berbual sambil makan ketupat. Itulah saat intim antara saya dengan emak sejak dahulu. Bukan sekadar makan ketupat tapi lebih dari itu. Semua itu membawa seribu satu makna dan rasa di sebalik pelbagai peristiwa. Suka duka kami bagai terjalin segalanya di sebalik jalinan daun ketupat, suapan dan kunyahan.

“Dulu kita susah…” emak berbicara sambil tangannya membelah sebiji ketupat untuk saya.
“Tapi emak tetap buatkan ketupat untuk saya setiap hari raya,” balas saya.
“Kekadang hanya tiga empat biji. Tanpa rendang, tanpa kuahnya.”
Dulu kami hidup susah. Adik-beradik ramai. Ayah seorang buruh. Setiap hari raya kami menyambutnya di bawah paras sederhana. Tapi, apa pun emak tetap buat ketupat untuk kami. Kekadang hanya empat atau lima biji. Kami adik-beradik makan beramai-ramai.

“Sekarang kita beli sahaja daun di pasar,” kata emak lagi. Dia sibuk memotong ketupat itu kecil-kecil. Begitulah saya dahulu, jika ketupat suka dimakan kecil-kecil. Emak masih ingat… sampai sekarang.
“Dulu susah benar. Puas kau ke sana ke sini mencarinya,” balas emak. Tersenyum. Ketupat bagaikan metafora yang melambang kasih-sayang antara kami. Masih ingat emak mengajar saya menganyam ketupat. Emak mengenalkan saya ketupat ‘jantan’ dan ketupat ‘betina’ – yang berbeza gaya mematikan anyamannya. Kekadang emak sengaja buat ketupat ‘kerbau’ hanya untuk menghiburkan saya.

“Emak, makan le…” pinta saya.
Dari tadi emak hanya mencuit sedikit, untuk memulakannya sahaja. Dia tahu saya tidak akan mula makan sebelum dia memulakan.
“Makan, makan… Emak puas tengok kau makan. Dari kecil, hinggalah sekarang dah beranak-pinak, emak masih syukur kerana masih mampu buat ketupat untuk kau…”
“Susah atau senang tetap ada ketupat…” kata saya.
“Selagi ada kasih sayang… selama emak hidup, insya-Allah.”
Perlahan suara emak. Emak telah tua. Tangannya mula terketar-ketar. Kaki emak tak kuat lagi berdiri dan mengangkat air. Adik bongsu saya menceritakan betapa ‘peritnya’ emak hendak menghasilkan ketupat kali ini.

“Emak tak payahlah susah-susah buat ketupat lagi…”
“Kau ingat emak susah? Tidak, emak gembira. Dari rumah ni masih kecil, masih rumah papan lagi hinggalah rumah ini dah besar, dah luas seperti sekarang… hati emak tetap gembira setiap kali membuat ketupat untuk anak-anak emak pada hari raya,” kata emak sambil mata tuanya merenung jauh. Saya yakin dia merenung masa silam dan masa depannya.
“Insya-Allah, anak-anak emak pun begitu. Kami akan sentiasa mendoakan emak.”
“Emak pun begitu. Selain takbir dan solat raya, emak paling gembira bila semua anak dan cucu berkumpul dan bermaaf-maafan. Dan jangan beritahu adik-adik kamu… satu lagi kegembiraan emak ialah bila dapat makan ketupat bersama dengan anak sulung lelaki emak ni,” kata emak seakan berbisik.

Begitulah emak, pandai mengambil hati saya. Tapi dengan adik-adik lain, tentu emak ada kata-kata khususnya tersendiri. Masing-masing rasa ‘dilebihkan’. Tetapi sebagai anak sulung memang saya yang banyak melihat derita dan kesusahan emak menjaga dan membesarkan adik-adik. Tetapi percayalah setiap kali kami duduk bersama menganyam ketupat menjelang raya, kemudian mengisinya dengan beras yang direndam… Dan keesokan harinya mencari kayu, menjaga api, menukar air dan kemudian menggantung ketupat yang masak di belakang pintu… kami berdua gembira. Ketupat bukan sekadar ketupat, ia cerita suka-duka kami, ia lambang jalinan kasih-sayang kami…

Ya, saya memahami rasa gembira emak. Rasa gembira hasil memberi. Justeru emak memberi dengan kasih-sayang. Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita beri. Allah memberi untuk kita memberi. Mulianya emak kerana tangannya selalu di atas, manakala tangan kita anak-anaknya selalu di bawah. Hidup akan kelam, duka dan kecewa bila kita hanya menerima… Ceriakanlah kembali dengan memberi.

Satu perkataan pendek yang menggambarkan seluruh pengajaran dari puasa dan Hari raya ialah: MEMBERI. Dan itulah pengajaran dari ketupat emak. Hidup mesti memberi!



Jan 2009


Kalau Hati Baik , Wajah Sentiasa Cantik.


Belajar dari ‘ayam’ tua.
“Mengapa dia tidak faham rintihan hati aku?” keluh seorang sahabat rapat kepada saya.
“Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri,” tambahnya lagi.
“Mengapa? Teruji sangatkah?”
“Apa tidaknya… di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian.”
“Kau menjaga pandangan?”
“Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu.”
“Ya, iman kita sering teruji,” balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.
“Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik… cantik. Tapi entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri.”
“Kita akan dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini,” pujuk saya untuk meredakannya.
“Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita hadapi ujian itu.”
Saya senyum. ‘Bantuan’ yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.

“Kau yang mesti mulakan dulu, insya-Allahlah isteri akan mengikut nanti,” cadang saya.
“Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat ’signal’ tu…”
“Amin.”
Saya termenung memikirkan ‘masalah kecil’ yang kekadang boleh mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias. “Apa guna, kita dah tua.” “Alah, awak ni tumpu ibadat lah.” “Dah tua buat cara tua.” Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.

Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik… (eh, seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.
“Tak berani poligami?”
Dia menggeleng kepala.
“Tak ada calon ke?” saya mengusik lagi.
“Ramai…”
Memang saya lihat pada usia awal 40′an dia tambah segak dan bergaya.
“Habis kenapa?”
Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.

“Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia… Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka.”
” Kau sudah berterus terang dengannya?”
“Tentang apa tentang poligami?”
“Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?”
“Aku takut melukakannya.”
“Tak palah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka,” saya berkata dengan nada sinis.
Dia faham maksud saya.
“Aku sedang mencari jalan berterus-terang,” dia mengaku juga akhirnya.

“Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik…”
“Lagi?”
“Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk… dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua,” saya senyum. Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana ‘ayam-ayam’ tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa… Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka – berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?

Mencari kecantikan isteri, bukan isteri yang cantik.
“Kita para suamipun banyak juga salahnya,” kata saya.
“Kita tak berhias?”
“Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu,” tambah saya lagi.
“Salah bagaimana?”
“Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!”
“Dalam makna kata-kata kau tu…”
“Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri… Di mana kecantikan sejati mereka selama ini.”
“Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga.”

“Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”
“Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi… aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya.”
“Kasih ke kasihan?” saya menguji.
“Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan.”

Tongkat ‘muhasabah diri’ vs tongkat Ali
“Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua.”
“Maksud kau?”
“Bila kita sedar kita telah tua… kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi.”
” Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?”
Saya diam.
“Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah.”

Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50′an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.
“Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi…” tegas sahabat saya itu.
“Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan.”
“Ya, kalau kita baik, isteripun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!”
Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Seperti imam Safie …pada usia-usia begini ramai suami yang mula mencari tongkat… Sayangnya, bukan ‘tongkat muhasabah diri’ tetapi tongkat Ali!



Jan 2009

Tuesday, 28 July 2009

Iktibar Batu Belah Batu Bertangkup: Ibu Tidak Boleh Merajuk


Cerita dongeng batu belah batu bertangkup pernah kita dengar. Setidak-tidaknya sekali terutamanya semasa kecil hati kita mungkin pernah merasa seram dan ditakut-takutkan oleh kisah seorang ibu menyerahkan dirinya ke dalam sebuah gua batu yang boleh menelan manusia. Lalu hati kita kecut, takut-takut ibu kita pula akan ditelan batu. Lalu kita pun berhenti menangis atau merajuk takut-takut ibu kita akan mengalami keadaan yang sama. Walaupun cerita ini jelas berunsurkan dongeng malah di sesetengah tempat terdapat elemen tahyul, namun cerita ini tetap masyhur disampaikan dari generasi ke satu generasi. Malah karyawan seni Melayu telah memertabatkan kisah ini menjadi sebuah filem suatu masa dahulu.

Diringkaskan kisahnya berlegar disekitar seorang balu miskin dengan dua orang anaknya yang masih kecil. Yang sulung, seorang perempuan, manakala yang bongsu pula seorang lelaki. Ibu tersebut terpaksa menyara dan memelihara kedua anak itu setelah suaminya meninggal dunia. Justeru ibu miskin tadi terpaksa menyara kehidupan anaknya dengan membuat berbagai-bagai kerja, dari bercucuk tanam, mengambil upah bekerja di rumah orang hinggalah menangkap ikan. Matlamatnya cuma satu, yakni janganlah kedua anaknya mati kebuluran.

Pada suatu hari, ibu tadi berjaya menangkap seekor ikan Temakul yang mempunyai telur. Setelah ikan ini siap dimasak, siibu tadi berpesan kepada anak perempuannya agar memberi anak lelaki kecilnya makan. Manakala dia terpaksa keluar kerana masih ada kerja yang hendak dibuatnya. Sebelum pergi siibu mengingatkan anak perempuan agar menyimpan sedikit telur ikan Temakul yang telah siap dimasak untuk dimakannya sewaktu pulang ke rumah nanti. Sepeninggalan ibunya, kakak tadipun memberi adiknya makan. Setelah habis bahagian siadik, kakaknya menjadi bimbang kerana siadik masih belum puas, dia terus menerus minta tambah sedangkan tidak ada lagi telur ikan yang tinggal kecuali yang telah disimpan untuk siibu.

Siadik terus menangis, merayu-rayu dan merengek-rengek minta tambah. Setelah beberapa lama, sikakak tidak sampai hati, lalu memberi baki telur ikan Temakul bahagian siibu untuk adiknya. Telur ikan itupun habis semuanya. Tidak lama kemudian siibu pun pulang. Alangkah kecewa hatinya apabila didapati telur ikan yang sangat diinginkannya telah habis dimakan oleh anaknya. Ia kecewa, marah dan benar-benar terkilan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk keluar membawa dirinya ke batu belah batu bertangkup untuk ditelan. Dia pun berlari ke tempat batu itu sambil berkata, “batu belah batu bertangkup, telanlah aku, ambillah aku… aku keempunan telur ikan temakul.” Begitu diseru berulang-ulang sambil berlari dengan deras menuju batu belah batu bertangkup. Melihat keadaan itu, sikakak pun mengejar ibunya sambil mengendung adiknya. “Ibu, ibu… jangan, jangan tinggalkan kami.” Pendek cerita, siibupun ditelan batu dan tinggallah kedua anak tadi menjadi yatim piatu.

Cerita itu terus bersambung dengan pelbagai episod lagi. Hinggalah kononnya kisah ini berakhir dengan ‘happy ending’ bila siadik lelaki berkahwin dengan puteri raja dan sikakak juga turut berkawin dengan putera raja. Namun apa yang hendak diiulas menerusi tulisan ini cukup hanya setakat itu sahaja. Sebenarnya, fokus kisah ini boleh diberikan ditujukan kepada dua subjek. Pertama, subjek pendidikan, kedua subjek komunikasi. Dalam soal pendidikan, jelas terdapat kepincangan yang besar pada karektor ibu dalam kisah ini. Sebagai ibu, perbuatan merajuk atas perbuatan anak (dalam kes ini sehingga sanggup membunuh diri) adalah salah. Ibu adalah individu yang mesti mengasehi anaknya sepenuh hati yakni secara ‘love without condition’. Maksudnya, cinta tanpa syarat. Apa sahaja sanggup dikorbankan demi kebahagian anak, hatta diri sendiri.

Dalam kisah ini, jelas kelihatan jiwa siibu terlalu kecil dan rapuh, sehingga begitu terkesan dengan perbuatan anaknya yang masih kecil dan belum matang berfikir. Sedangkan dalam proses mendidik anak, kesabaran dan kebijaksanaan sangat diperlukan. Seorang ibu adalah juga seorang pendidik yang benar-benar merasakan tugas mendidik anak ialah amanah besar daripada Allah. Siibu harus sedar bahawa dia sedang memikul tugas warisan para rasul khususnya nabi Muhammad SAW. Jika seorang jurutera, doktor, peniaga dan juruterbang berdepan dengan benda atau persoalan yang berbentuk fizikal, lain halnya pula dengan siibu yang berdepan dengan karenah anak yakni manusia yang punya jiwa, akal, nafsu dan perasaan. Oleh itu seorang ibu sedikit-sebanyak mesti memiliki kesabaran para Rasul.

Jika kita buka lembaran sejarah, banyak iktibar yang boleh kita ambil khususnya tentang kesabaran para Rasul menghadapi karenah umatnya. Beberapa kesilapan para Rasul kadangkala diperbetulkan oleh Allah terutamanya apabila mereka ‘berasa hati’ dengan umatnya. Walaupun telah sekian lama berdakwah dan tetap ditolak seruannya, namun Allah terus mengingatkan para Rasul-Nya agar tidak berasa kecewa, apalagi merajuk bila berdepan dengan kedegilan umat. Dan beberapa insiden telah berlaku yang merupakan didikan lansung dari Tuhan agar para Rasul tidak mengulangi kesilapan mereka. Nabi Yunus AS misalnya, telah ditelan ikan kerana bertindak meninggalkan kaumnya. Begitu juga yang terjadi kepada Nabi Zakariya AS, Nabi Yahya AS dan lain-lain. Bukan itu sahaja bahkan setiap Rasul merasakan kesilapan masing-masing apabila dihadapkan di mahkamah Allah di Padang Mahsyar kelak. Oleh hal yang demikian, para Rasul tidak berani menunaikan permintaan umat masing-masing untuk memohon kepada Allah bagi mempercepatkan perbicaraan di Padang Mahsyar. Hanya Nabi Muhammad sahaja yang sanggup memohon kepada Allah untuk dipercepatkan perbicaraan itu.

Nabi Muhammad saw telah menunjukkan keunggulan berbanding para Rasul yang lain apabila baginda tidak sedikitpun berasa hati apalagi merajuk terhadap karenah umatnya. Baginda telah menunjukkan ketinggian peribadi apabila sering mendoakan orang yang menentangnya. Peristiwa di Taif misalnya, menunjukkan bagaimana baginda menolak tawaran para malaikat untuk menghancurkan penduduk Taif yang menghinanya. Bukan itu sahaja, bahkan baginda mendoakan agar generasi kemudian penduduk Taif akan mendapat hidayah. Inilah sifat mulia yang menjadi syarat untuk menjayakan proses pendidikan. Tetapi inilah yang tidak ada pada siibu dalam kisah batu belah bertangkup ini. Sifat mudah merajuknya, bukan sahaja membinasakan dirinya tetapi juga kedua anak yang ditinggalkannya. Siibu telah merajuk atas sebab yang sangat remeh, yakni sekadar tidak dapat makan telur ikan, bukan sebab-sebab besar yang boleh dianggap penting dalam hidup. Sikap yang sepatutnya diambil oleh iibu ialah berlapang dada dengan sikap anak yang belum boleh berfikir apalagi merasai keinginan dan perasaannya.

Anak yang belum baligh, dan mungkin dalam kes ini belum mumaiyiz, sekali-kali tidak boleh dilayan sebagai orang dewasa kerana mereka masih tidak boleh berfikir, menilai dan bertindak dengan betul. Bukan sahaja ibu-bapa, malah Allah sendiripun tidak meletakkan sesuatu tanggung-jawab atau kewajiban terhadap anak-anak yang masih belum mumaiyiz dan belum baligh. Hanya apabila baligh barulah anak-anak dikira mampu menilai, berfikir, memilih memutuskan dan seterusnya bertindak dengan betul. Ketika itu barulah input berbentuk ilmu, ajaran dan didikan boleh diterima, difahami dan diamalkan oleh anak-anak. Dan ini hanya dapat dicapai apabila seorang anak itu mencapai usia baligh. Bila baligh barulah sianak dianggap layak untuk diberi pertanggung-jawapan dan dihukum sekiranya mengabaikan tanggung-jawab itu.

Islam sangat mementingkan tahap akil baligh ini. Ia telah diletakkan sebagai syarat wajib yang perlu ada pada seseorang muslim sebelum diwajibkan melakukan sesuatu perintah. Ini bermakna jika seseorang belum baligh, maka dia belum wajib melaksanakan sesuatu hukum. Manusia yang masih kecil tidak tahu bagaimana menilai yang baik dan buruk untuknya. Fikirannya ketika itu hanya selapis sahaja, nampak seronok, nampak sedap, nampak suka… terus dibuat. Tanpa memikirkan apa akibat buruk yang mungkin berlaku. Samada akibat buruk itu berlaku di dunia ataupun di akhirat.

Mengambil kira hakikat ini, kesalahan ibu dalam cerita ini ialah kerana dia menganggap anak-anak sepertinya juga. Dia terlalu mengharap anak-anak itu akan memahami, bersimpati terhadapnya dan melakukan tindakan yang selaras dengan kehendaknya. Tetapi realitinya tidaklah sebegitu. Anak-anak mempunyai kelemahan yang banyak. Justeru mereka belum mampu berfikir dan menilai seperti mana orang dewasa. Dengan yang salah ini, sering terjadi para ibu memarahi merajuk, kecewa bahkan menghukum anak-anaknya tanpa mempertimbangkan kelemahan-kelemahan anak-anak itu. Dalam konteks ini Rasulullah telah berpesan berpesan “suruhlah anak-anak sembahyang pd umur 7 tahun. Pukullah mereka jika tidak sembahyang apabila umur 10 tahun.”

Kenapa anak-anak 7 tahun tidak boleh dipukul? Ini kerana kalau mereka melakukan kesalahan pada usia itu, bukanlah kerana kedegilan atau keengganan mereka tetapi kerana mereka belum cukup matang untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Sebab itu diperingkat ini, memberi ilmu, membimbing dan menunjukkan teladan yg baik lebih utama dr menghukum. Saidina Ali juga telah memberi panduan bahawa anak-anak yg berumur 7 tahun ke bawah hendaklah diberi kasih sayang secara banyak bermain-main bersama mereka. Supaya dengan itu anak-anak meyakini bahawa ibu-bapa memang kasihkan mereka. Setelah mereka berumur 10 tahun ke atas, barulah menurut Saidian Ali, mereka itu boleh didisiplinkan dengan adab-adab dan peraturan.

Malangnya ibu dalam kisah ini, tidak mengikut panduan-panduan yg tepat dalam mendidik dan menangani karenah anak-anaknya. Dia melakukan kesalahan besar kerana menyangka anak-anaknya mementingkan diri dan tak menyayanginya kerana memakan telur tembakul. Sedangkan sebenarnya, anak itu sayang kepadanya. Tetapi oleh kerana fikiran mereka tidak dapat menjangkau fikiran dan perasaan si ibu, si kakak memberi telur temakul kepada adiknya. Bukan kerana mementingkan adik lebih dari ibunya, tetapi semata-mata kasihan melihat adik yang menangis-nangis meminta telur tersebut. Dan si anak kecil juga, kerana terlalu kecil, apa yg difikirkan hanyalah makan. Dia belum boleh berfikir tentang perasaan dan kehendak ibunya. Apalah yang boleh difikir oleh anak sekecil itu, melainkan lapar, sakit, bermain dan sebagainya?

Subjek kedua dalam kisah ini ialah masalah komunikasi antara ibu dan anak-anak. Dalam kisah ini, jelas tidak adanya komunikasi berdasarkan simpati dan empati antara kedua-dua belah pihak iaitu pihak si ibu dengan pihak si kakak tadi. Dalam komunikasi yang baik, sikap ‘seek to understand then to be understood’ – sikap memahami orang lain terlebih dahulu barulah orang memahami diri kita sangat perlu. Kita mesti cuba menyelami perasaan, keadaan dan juga kesusahan yang dihadapi oleh orang lain sebelum membuat sesuatu tanggapan, atau suatu penilaian terhadapnya. Dalam ini misalnya, si ibu gagal menyelami perasaan sikakak yang simpatikan kepada adiknya. Dan ibu juga gagal perasaan siadik yg begitu sukakan telur ikan.

Sedangkan si ibu boleh membuat pelbagai alasan bagi pihak anaknya, tentang kenapa anaknya bertindak demikian. Contohnya, si ibu boleh beranggapan bahawa anaknya terlalu lapar. Mungkin telur ikan itu yg paling sedap pernah dirasainya dan pelbagai alasan yg lain. Apabila kita meletakkan diri kita pada kedudukan orang yg sedang kita berkomunikasi dgnnya, maka mudahlah kita membuang rasa negatif seperti sikap prasangka, prajudis dan marah yg tidak diketahui puncanya. Dalam perhubungan, kita tak boleh mementingkan diri sendiri. Yakni kita terlalu memikirkan diri kita tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Kalaulah si ibu dapat menyelami dilema yang dihadapi oleh anak perempuannya, dan kelaparan yang dialami oleh anak lelakinya, maka sudah pasti dia rela mengorbankan telur ikan itu.

Si ibu berada di satu keadaan yang boleh menyelami perasaan seorang anak, sedangkan sianak tidak mampu menyelami perasaan siibu. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu tersebut ialah menahan sabar, menahan lidahnya, menahan perasaan dan berkata pada dirinya sendiri… “anakku hanya seorang budak lelaki yang kecil, terlalu kecil untuk mengerti penderitaanku.” Dia harus sedar bahawa anak itu tidak boleh dilayani sebagai seorang dewasa. Dan dia telah meminta terlalu banyak daripada anaknya yang masih kecil. Siibu harus sedar… bahawa Tuhan pun tidak menghukum anak yang masih kecil. Kesimpulannya, jiwa siibu dalam kisah batu belah batu bertangkup ini terlalu kecil… Terlalu kecil untuk memainkan peranan yang terlalu besar. Ya, orang yang berjiwa kecil tidak akan mampu mendidik sekalipun seorang anak yang kecil!


http://genta-rasa.com
Dis 2008


LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin