Tuesday, 27 April 2010

Bertasbih Dengan Jari Atau Dengan Tasbih


”Jangan guna tasbih, tasbih tu bid’aah? Pakcik tak boleh guna” kata seorang pemuda dengan keras dan lantang kepada pakcik imam sebuah surau kampung. Pakcik imam menjawab sambil tersenyum, ”Takpe, saje je nak guna tasbih ni, biasanya pakcik guna jari”.

Begitulah gambaran satu senario yang mungkin berlaku dalam masyarakat kita. Tulisan ini tidak mahu membincangkan soal cara dan uslub pemuda tersebut menegur pakcik imam tadi. Situasi di atas agak keras, kasar dan tidak sesuai. Agak keterlaluan jika terus membidas seseorang dengan kata-kata bid’ah. Jika ingin menegur ada cara dan uslub yang lebih baik. Tulisan sederhana ini hanya ingin mengenengahkan isu penggunaan tasbih dan jari dalam zikir, antara kedua-dua cara manakah yang lebih baik? Alat tasbih di sebut subhah dalam bahasa Arab dan dikenali dengan nama tasbih dalam masyarakat Melayu. Ada segelintir orang memang suka menggunakan tasbih, sehingga setiap masa dalam poket baju melayunya ada tasbih. Manakala segelintir lagi, langsung tidak suka menggunakan tasbih, bahkan dia mampu juga berzikir. Zaman sekarang sebagai ganti kepada rantai, muncul rekaan terbaru sejenis alat yang diperbuat daripada besi mengandungi nombor, orang yang berzikir hanya memetik dengan ibu jari atas butang yang disediakan mengikut bilangan yang dikehendaki. Tetapi, antara penggunaan jari dan alat-alatan seperti itu yang manakah lebih baik?. Guna rantai tasbih atau guna jari? Walaupun tujuan kedua-duanya adala sama, iaitu untuk membilang zikir yang dibaca, tapi ia tetap ada perbezaan.

Sebenarnya ramai cendekiawan Islam yang menulis berkenaan hukum atau sejarah penggunaan rantai tasbih. Mungkin yang terawal ialah Imam al-Suyuti (wafat 911H) dalam tulisan beliau yang bertajuk ”al-Minhah fi al-subhah”. Kemudian diikuti oleh muridnya Ibn Tulun (wafat 953H) dengan nama ”al-Mulihhah fi ma warada fi asl al-subhah”. Selepas itu, muncul al-Sheikh Abd al-Hayy al-Laknawi (wafat 1304H) yang mengarangkan kitab ”Nuzhat al-Fikr fi subhat al-zikr”. Beliau hanya menyebut riwayat dan hukumnya. Namun kesemua karangan tersebut cenderung kepada pensyariatan menggunakan alat tasbih itu. Satu karya semasa yang menarik minat penulis ialah ”al-Subhah tarikhuha wa hukmuha” karangan al-Sheikh Bakr Abu Zayd. Beliau mengkaji sejarah kewujudan penggunaan tasbih dalam peribadatan umat-umat lain seperti Budha, Hindu dan Nasrani serta bagaimanakah kemasukannya dalam Islam melalui puak Rafidah, dan ahli sufi. Menurut beliau, dalam sejarah orang Arab sebenarnya mereka tidak pernah mengenali nama ’al-subhah’. Penggunaan tasbih adalah tashabbuh (meniru) cara puak-puak agama lain sedangkan sunnah mengajar kita menggunakan jari.

Berzikir menggunakan jari adalah satu sunnah dalam Islam sama ada jari kanan atau kiri. Ini adalah amalan turun temurun di kalangan orang-orang Islam. Selepas zaman sahabat dan zaman awal tabi’in baru masuk penggunaan zikir dengan biji atau batu yang disusun dengan benang. Kemudian ia dikenali dengan nama al-subhah dan menjadi lambang gerakan sufi yang melampau atau rafidah. Lebih teruk lagi, ada yang mendakwa elok digantung pada leher dan menjadi lambang para malaikat.

Hal yang perlu diketahui ramai ialah, sabit dalam sunnah sama ada secara qawli, fi’li atau taqriri bahawa yang diajar ialah mengira zikir dengan menggunakan jari. Cara inilah yang dilakukan zaman berzaman. Ia membuktikan bahawa Islam ini mudah dan hukum-hukumnya berada dalam lingkungan kemampuan umat Islam. Namun, apakah penggunaan alat tasbih yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat kita itu salah dan terus boleh dilabelkan sebagai bid’ah? Tidak sesekali perlu dilabelkan seperti itu, bahkan ini mungkin akan mengundang perbalahan dan pertelingkahan dalam masyarakat.

Dari segi sejarahnya, Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam membilang zikir dengan jari jemari. Tiada satu hadis sahih yang diriwayatkan tentang zikir menggunakan batu atau biji-bijian. Kebanyakan hadis yang disebut adalah hadis yang lemah. Selepas itu muncul alat subhah atau rantai tasbih. Sumber-sumber sejarah menyatakan bahawa subhah ini adalah benda baru yang dimasukkan dalam agama Islam. Ada pendapat mengatakan bahawa ia mula dikenali sejak 800M. Ia adalah antara cara peribadatan kalangan penganut budha, hindu dan lain-lain. Banyak sumber-sumber sejarah yang dikemukakan oleh Syeikh Bakr Abu Zayd r.h antaranya ialah al-mawsu’ah al-arabiyyah al-muyassarah, dairah al-ma’arif al-Islamiyyah dan fatawa Rashid Rida.

Maka, ditegaskan bahawa rantai tasbih atau biji tasbih yang digunakan untuk membilang tasbih atau zikir yang dilakukan oleh seseorang tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. Bahkan pada zaman sahabat ataupun tabi’in rantai tasbih ini masih tidak digunakan. Oleh kerana itu, sesetengah pakar sejarah berpendapat ia mula dikenali dalam masyarakat Islam apabila dibawa masuk oleh masyarakat non muslim. Justeru, sebahagian ulama mengkategorikan ia sebagai bid’ah. Dalam Islam, semenjak zaman para al-salaf al-soleh, mereka membilang bilangan tasbih dan zikir mereka dengan menggunakan jari jemari. Ada riwayat yang mengatakan sebahagian al-salaf membilang tasbih dan zikir mereka dengan menggunakan batu-batu kecil. (Al-Sharbasi, Yas’alunaka fi al-Din wa al-Hayah 6/477). Namun riwayat-riwayat tersebut dihukumkan lemah oleh ulama. (Bakr Abu Zayd, al-Subhah 7-16).

Justeru, kesimpulan yang saya boleh buat di sini, tidak perlulah dilabelkan seseorang pembawa bid’ah sekiranya niat dan tujuan ia menggunakan alat tasbih adalah hanya untuk membilang zikirnya. Sheikh Uthaimin dan al-Sharbasi ada menegaskan sekiranya seseorang mempunyai niat ikhlas menggunakan rantai tasbih untuk membantunya membilang jumlah tasbih dan zikir, maka ia tidak salah. Manakala jika sekiranya, seseorang menggantungkan rantai tersebut pada tengkuk dan lehernya semata-mata kerana tujuan riya’, menunjuk-nunjuk atau sebagainya, ia adalah perbuatan yang dilarang. Begitu juga sekiranya ia sentiasa memegang rantai tasbihnya untuk menunjuk-nunjuk atau hanya untuk bermain-main tanpa berzikir sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang awam, maka ia wajib dihindari. InsyaAllah, mudahan-mudahan masyarakat Islam di Malaysia tidak ada yang melakukan perbuatan seperti itu.

Namun yang perlu ditekankan ialah lebih afdhal baginya menggunakan jari jemarinya sendiri. Hal ini kerana menggunakan jari adalah cara sunnah yang diajarkan Nabi s.a.w. serta ditunjukkan oleh para sahabat r.a. Tambahan pula, jari-jari yang digunakan untuk membilang zikir-zikir tersebut akan menjadi saksi untuk kita pada hari akhirat nanti. Firman Allah Taala (Yasin : 65) :
Maksudnya : “Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami, dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa Yang mereka telah usahakan”.
Sabda Nabi s.a.w kepada wanita :
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ اعْقِدْنَ بِالْأَنَامِلِ فَإِنَّهُنَّ مَسْئُولَاتٌ مُسْتَنْطَقَاتٌ

Maksudnya : “Wahai sekalian wanita, gunalah jari jemari (untuk membilang zikir) kerana sesungguhnya ia akan disoal dan berkata-kata”.
Oleh itu, untuk memperbaiki dan mencantikkan lagi zikir kita, seeloknya kita mengikut cara tunjuk ajar sunnah Nabi s.a.w. Mudah-mudahan Allah Taala menerima segala amalan dan niat ikhlas kita untuk menjadi pengikut setia Rasulullah s.a.w.

Petikan dari artikel us. Nik Ab Rahim dalam Solusi, ruangan Maqasid.


Facebook/Ustaz Zahazan Mohammed
April 2010

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin